Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel

Noel: Christmas Is For Everyone

HARI 12 DARIPADA 12

Berita Baik untuk Dikongsikan dengan Semua Orang

Oleh Danny Saavedra

"Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku di kalangan kami. Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu. Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan. Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar."—Lukas 1:1-4 (BM, penegasan ditambahkan)

"Setelah para malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu bercakap sesama mereka, 'Marilah kita pergi ke Betlehem dan melihat perkara yang berlaku itu, yang sudah diberitahukan oleh Tuhan kepada kita.' Mereka segera pergi, lalu menjumpai Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. Apabila para gembala melihat bayi itu, mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu. Tetapi Maria menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya."—Lukas 2:15-19 (BM, penegasan ditambahkan)

Berdasarkan sebuah eksperimen sosiologi 2010, berita baik bergerak lebih laju daripada berita buruk. Dr. Jonah Berger, pakar cakap mulut (word of mouth), pemasaran tular (viral marketing, dan pengaruh sosial (social influence) yang terkenal di seluruh dunia telah merumuskan pendapatan kajian yang terperinci ini dengan menyatakan, "Sekiranya saya membaca cerita yang mengubah cara saya memahami dunia ini dan diri saya, saya ingin memberitahu orang lain tentang maksudnya."

Tidakkah itu menakjubkan dan agak mengejutkan? Banyak orang percaya bahawa berita buruk bergerak jauh lebih laju daripada berita baik, tetapi itu bukan keadaannya. Saya rasa ia seperti ungkapan lama, "Kamu menangkap lebih banyak lalat menggunakan madu berbanding cuka." Pertimbangkannya . . . Sama ada makanan terbaik yang pernah dicuba, wayang hebat yang baru ditonton, buku yang menambat perhatian yang tidak dapat dilepaskan, hadiah terbaik yang diterima, memperoleh pekerjaan impian anda, ataupun pengumuman yang baik serta mengubah kehidupan, apabila sesuatu yang menakjubkan berlaku, perkara pertama yang biasanya ingin kita lakukan adalah berkongsi dengan orang lain!

Hari Natal adalah perayaan berita terbaik yang pernah diterima manusia: kelahiran Yesus. Tidak seperti burger yang paling lazat ataupun apa berita mengujakan pun yang berkemungkinan hanya memberikan kesan terhadap anda atau sekumpulan kecil orang sahaja, kedatangan Yesus Kristus, Penyelamat dunia, adalah berita baik untuk semua orang! Ia adalah jenis berita yang kita harus kongsikan dengan sedaya upaya, secara teruja dengan tidak segan kepada setiap orang yang ditemui. Tiada berita yang harus bergerak lebih laju daripada berita baik bahawa Allah telah menyediakan jalan untuk kita, orang yang berdosa, untuk didamaikan kepada hubungan yang benar dengan-Nya, menebus dosa kita, dan menerima kita ke dalam keluarga-Nya sebagai anak.

Dalam petikan hari ini, kita melihat dua contoh orang keluar berkongsi berita baik tentang Yesus. Pertama, kita melihat Lukas yang mendengar dan pastinya telah melihat perkara yang menakjubkan—perkara yang dia sedar perlu dikongsikan dengan semua orang.

Lukas, orang Yunani yang diberi penghormatan menjadi satu-satunya orang bukan Yahudi untuk menulis sebuah kitab dalam Alkitab, juga dirujuk sebagai "doktor yang kita kasihi" oleh rasul Paulus. Sementara doktor membawa idea yang glamor dan prestij dalam dunia hari ini, pada zaman gereja awal, sering kalinya doktor adalah hamba. Berkemungkinan besar Teofilus ialah tuannya, berkemungkinan pemerintah Roma, kerana secara umumnya, gelaran "yang terhormat" dikhaskan untuk orang dalam kedudukan berkuasa dalam Empayar Roma. Namun, Lukas dengan yakinnya berkongsi dengannya mesej Kerajaan yang lebih besar daripada Roma, dan seorang Raja yang lebih agung daripada Kaisar.

Dalam pengenalannya, Lukas memberitahu Teofilus bahawa mesej yang diterimanya daripada saksi berkenaan kehidupan dan pelayanan Yesus perlu dikongsikan, supaya dia—dan seterusnya semua orang lain yang membaca kitab Lukas dan Kisah Rasul-rasul—boleh memahami mesej harapan. Daripada perincian mengagumkan yang ditemui dalam Injil, memanglah jelas bahawa Lukas bercakap dengan beberapa orang yang utama, berkemungkinan besar termasuk Maria, Petrus, Yohanes, dan orang lain yang pernah berjalan bersama dengan Kristus.

Beberapa hari yang lepas, kita membaca tentang gembala yang merupakan kumpulan pertama untuk menerima berita menakjubkan bahawa Penyelamat telah dilahirkan. Walau bagaimanapun, mereka tidak menyimpan berita ini. Sebaliknya, "mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. Semua orang yang mendengarnya hairan . . .” (Lukas 2:17 BM).

Semasa kita meraikan hari Natal hari ini, saya berdoa agar kita mengingati bahawa kita telah dipanggil untuk berkongsi mesej keselamatan melalui Yesus kepada semua orang yang ditempatkan Allah dalam kehidupan kita. Seperti gembala dan Lukas, kita memiliki mesej yang menakjubkan untuk seluruh dunia, dan kita tidak boleh menyimpannya!

Hari ini, semua orang berkongsi segala sesuatu. Daripada gambar, kepada emosi, kepada kata-kata hikmah, suapan Facebook, Twitter, dan Instagram kita tidak pernah kekurangan kandungan. Kita telah menyaksikan kuasa Kristus yang mengubah hati kita dan memberikan kita kedamaian . . . kini, kita mesti berkongsi berita yang mengagumkan ini dengan keterujaan dan sukacita yang sama semasa kita memuat naik gambar dalam Instagram! Luangkanlah masa pada hari ini untuk berkongsi secara kreatif tentang apa yang sedang dilakukan Yesus dalam kehidupan anda.

Hari 11

Perihal Pelan

Noel: Christmas Is For Everyone

Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Calvary Chapel Ft. Lauderdale kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://CalvaryFTL.org