Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel

Noel: Christmas Is For Everyone

HARI 9 DARIPADA 12

Perjalanan Yusuf

Oleh Danny Saavedra

"Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya. Malaikat itu berkata, 'Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka' . . . Apabila Yusuf terjaga, dia melakukan apa yang dikatakan oleh malaikat Tuhan itu. Dia berkahwin dengan Maria."—Matius 1:20-21, 24 (BM)

Pernahkah anda menyatakan kesanggupan untuk melakukan sesuatu tetapi mendapati ia adalah lebih daripada yang dijangkakan? Sesuatu yang memberikan anda kesesalan seorang pembeli? Apakah maksud saya? Pernahkah anda membeli sebuah kereta yang dirasakan berkeadaan baik tetapi mendapati beberapa bulan kemudian bahawa ia memerlukan sebuah radiator yang baru dan kos membaikinya adalah tinggi? Pernahkah anda menerima pekerjaan dengan huraian kerja tertentu tetapi diberikan tugas serta tanggungjawab di luar kepakaran anda tanpa kenaikan gaji, jawatan baru, ataupun pengurangan tanggungjawab yang lain? Sering kalinya pada waktu demikian, kita rasa, saya tidak mendaftar diri untuk ini!

Pada pendapat anda, bagaimanakah perasaan Yusuf apabila dimaklumkan bahawa tunangnya, yang belum ditidurinya, mengandung? Apakah perasaannya apabila Maria mula membuat dakwaan ganjil, sukar dipercayai, dan gila tentang malaikat, penghamilan suci, dan Mesias? Dia mendakwa bahawa dia mengandung kerana kuasa Roh Kudus, tetapi ia pasti sukar diterima Yusuf. Berkemungkinan besar Yusuf tidak mempercayainya. Secara terus-terang, siapakah yang akan mempercayainya? Saya dapat membayangkan pada waktu itu Yusuf pasti mengalami kekesalan seorang tunang.

Apakah yang akan anda lakukan pada masa itu? Bagi kebanyakan daripada kita, apabila kita menghadapi situasi yang melebihi jangkaan kita, atau apabila keadaan tidak berjalan seperti yang dipersetujui (televisyen kabel sesiapa pun?), kita akan membuat aduan kepada perkhidmatan pelanggan, mendesak supaya dapat bercakap dengan pengurus, dan membuat ancaman akan membatalkan akaun sehingga kita mendapat apa yang diinginkan. Dalam situasi Yusuf ini, kebanyakan orang akan memalukan Maria secara terbuka. Sesetengah orang mungkin menggunakan undang-undang dan memastikan Maria direjam dengan batu sampai mati. Namun, Yusuf bukanlah seperti kebanyakan orang . . .

Sementara Yusuf tidak banyak disebut dalam Injil, dan kita tidak mempunyai banyak maklumat tentang kehidupannya, inilah yang kita ketahui: Dia seorang yang tulus hati (Matius 1:19 TB). Tidak banyak watak dalam Alkitab digambarkan sebagai "seorang yang tulus hati." Ini menempatkan Yusuf bersama dengan tokoh alkitabiah yang betul-betul elit seperti Nuh, Daniel, dan Ayub. Dalam Matius 1:19 (BM, penegasan ditambahkan), kita diberitahu, "Yusuf seorang yang taat kepada hukum agama, tetapi dia tidak mahu mempermalukan Maria di hadapan umum. Oleh itu Yusuf berniat memutuskan pertunangan itu secara diam-diam." Tidak mempermalukan, tiada kematian; dia memilih penyelesaian diam-diam yang penuh belas kasihan.

Walau bagaimanapun, malaikat menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpinya dan memberitahunya untuk memperisteri Maria, kerana anak dalam rahimnya ialah Penyelamat. Sekali lagi, Yusuf boleh memberitahu dirinya, saya tidak mendaftar diri untuk ini. Membesarkan Penyelamat? Saya cuma seorang tukang kayu. Saya tidak dilengkapkan untuk ini. Ini adalah lebih daripada yang dijangkakan. Saya tidak mahu mengikut serta. Namun, dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, apabila dia bangun, dia melakukan apa yang dikatakan oleh malaikat Tuhan itu.

Yusuf berhadapan dengan situasi yang sukar. Dia diminta berkahwin dengan perempuan yang mengandung sebelum perkahwinan mereka dan menahan kritik, umpatan, dan rasa malu yang menyusul. Anda tidak membaca tentang perkahwinan besar-besaran untuk Maria dan Yusuf. Berkemungkinan besar mereka berkahwin walaupun dibantah kedua-dua pihak keluarga mereka. Walau bagaimanapun, Yusuf dengan berani menahan semua ini dan menunjukkan kesetiaannya kepada Tuhan dengan membesarkan Yesus seperti anak kandungnya. Dia taat apabila berhadapan dengan situasi yang menggentarkan.

Dalam kehidupan kita, kita mungkin menghadapi situasi yang sukar, yang menyebabkan kita berkata, saya tidak mendaftar diri untuk ini. Kita mungkin menghadapi pelbagai pencubaan, kita mungkin dipanggil untuk melaksanakan penglihatan yang mustahil, atau untuk melangkah keluar daripada zon selesa kita. Begini: Allah kerap memberikan kita lebih daripada yang dijangkakan. Dia kerap menempatkan kita dalam situasi yang tidak mungkin dikendalikan sendiri. Dia melakukan ini supaya kita akan setia, taat, dan bergantung sepenuhnya pada kekuatan, kebijaksanaan, dan arahan-Nya untuk mengharungi semua itu.

Seperti Yusuf, marilah kita menyatakan kesanggupan untuk bersifat taat dan setia, walau apa pun kosnya. Ingatlah apa yang didaftarkan—untuk menerima kasih karunia Allah dengan menyerahkan kehidupan kita kepada-Nya dan mengikuti Anak-Nya. Berpautlah pada janji bahawa cukuplah kasih karunia-Nya bagi kita; bahawa dalam kelemahanlah kuasa-Nya menjadi sempurna . . . terutamanya ketika kita menghadapi lebih daripada yang dijangkakan dan lebih daripada yang dapat dikendalikan.

Hari 8Hari 10

Perihal Pelan

Noel: Christmas Is For Everyone

Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Calvary Chapel Ft. Lauderdale kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://CalvaryFTL.org