Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel

Noel: Christmas Is For Everyone

HARI 11 DARIPADA 12

Hadiah yang Terbaik

Oleh Danny Saavedra

"Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal."—Yohanes 3:16 (BM)

Memandangkan hari ini ialah hari sebelum hari Natal, saya rasa kita boleh berterus-terang dengan diri dan mengakui bahawa kita SUKA menerima hadiah! Siapakah yang tidak suka menerima hadiah? Sungguh mengagumkan. Sungguh-sungguh, apakah yang tidak disukai tentang menerima benda yang baik daripada orang yang mengasihi anda? Secara peribadi, saya suka menerima hadiah daripada orang lain. Ia memuaskan keperluan batin saya untuk persetujuan dan penerimaan. Mengapa? Kerana menerima hadiah daripada orang lain membuat saya rasa seolah-olah mereka betul-betul mengasihi, menghargai, dan menerima saya yang sedia ada.

Sebelum kita memulakan pengajian hari ini, saya ingin menanya anda . . . apakah hadiah terbaik yang pernah anda terima? Saya ingat akan hadiah terbaik yang pernah diberikan kepada saya masa kecil adalah Nitendo 64, dilengkapkan dengan Super Mario 64. Saya menghabiskan berjam-jam dan amat seronok bermain konsol itu.

Sehingga hari ini, saya masih suka menerima hadiah. Namun, jika saya berterus-terang dengan anda, sebagai orang dewasa—terutamanya sebagai seorang bapa—saya memerhatikan sesuatu yang menarik. Tiada hadiah yang saya terima pada zaman dewasa ini membuat saya rasa seperti zaman kanak-kanak, tetapi apabila saya memberikan anak lelaki atau anak perempuan saya hadiah yang diinginkan mereka, melihat keterujaan dan kegembiraan pada wajah mereka, merasakan kegirangan, dakapan gembira, dan mendengar "Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih, ayah!" membawa kembali perasaan menakjubkan tahap N64 itu.

Semasa saya memikirkan sebab kita meraikan hari Natal sekarang, saya terkenang akan Matius 7:11 (BM), yang mengatakan, "Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu. Lebih-lebih lagi Bapa kamu yang di syurga; Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada Dia!" Sesungguhnya, Bapa syurgawi kita tahu cara memberikan hadiah!

Yohanes 3:16 memberitahu kita bahawa Allah telah memberikan Anak tunggal-Nya supaya setiap orang yang percaya akan menerima hadiah hidup yang kekal. Roma 8:32 (TB) menjelaskannya dengan lebih lanjut lagi, "Ia, yang tidak menyayangkan Anak-Nya sendiri, tetapi yang menyerahkan-Nya bagi kita semua, bagaimanakah mungkin Ia tidak mengaruniakan segala sesuatu kepada kita bersama-sama dengan Dia?" sementara 2 Korintus 8:9 (TB) mengatakan, "Karena kamu telah mengenal kasih karunia Tuhan kita Yesus Kristus, bahwa Ia, yang oleh karena kamu menjadi miskin, sekalipun Ia kaya, supaya kamu menjadi kaya oleh karena kemiskinan-Nya."

Mengapakah Dia memberikan kita hadiah ini? Mengapakah Raja syurga datang dan tinggal antara kita? 1 Timotius 1:15 (BM) memberitahu kita, "Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa." Dalam Roma 6:23 (BM) kita diberitahu secara jelas, "Kematian adalah upah dosa." Inilah yang patut kita terima. Inilah hutang kita kepada Allah kerana dosa kita. Dalam dosa kita dipisahkan daripada Allah yang kudus dan sempurna. Walau bagaimanapun, Tuhan kita, dipenuhi kasih, kasih karunia, dan belas kasihan, membuat rancangan untuk merapatkan jurang besar itu dengan memberikan kita "anugerah Allah," iaitu "hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita." Dia mencapai ini dengan "mengutus Anak-Nya yang tunggal ke dalam dunia supaya melalui Anak-Nya kita beroleh hidup sejati dan kekal" (1 Yohanes 4:9 BM).

Sebagai pengikut Kristus, kita menerima hadiah yang terus memberi selama-lamanya—satu hadiah yang tidak akan lapuk, tidak akan rosak, tidak akan lusuh, tidak akan kehabisan, dan tidak akan kehilangan nilainya; hadiah terbaik yang pernah diketahui dunia ini . . . dan kita hanya perlu percaya. Yesus telah membayar harga tertinggi dan mutlak untuk membeli hadiah ini untuk kita supaya Dia boleh memberikannya kepada kita dengan rela hati! Itulah sebabnya Yohanes 3:16 merupakan ayat yang paling terkenal dalam Alkitab, kerana ia merupakan ungkapan paling berkuasa dan mudah akan kasih Allah kepada kita. Tahukah anda? Adakah anda menyedari perasaan Allah setiap kali seseorang menerima hadiah-Nya ini? Yesus memberitahu kita dalam Lukas 15:7 (TB) bahawa ada sukacita di syurga kerana satu orang berdosa yang bertaubat dan menerima hadiah Yesus!

Maka, pada hari ini, semasa anda bersiap sedia untuk meraikan kelahiran Yesus esok, semasa anda menyediakan makan malam hari sebelum hari Natal atau bersedia untuk ke gereja, ketahuilah bahawa bukan anda sahaja yang meraikannya . . . Anda boleh tetap yakin bahawa Bapa kita yang berada di syurga meraikan waktu anda dan saya menjadi anak-Nya, dan ketahuilah bahawa ada sukacita yang lebih besar di syurga apabila orang datang untuk mengenali-Nya.

Hari 10Hari 12

Perihal Pelan

Noel: Christmas Is For Everyone

Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Calvary Chapel Ft. Lauderdale kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://CalvaryFTL.org