Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel

Noel: Christmas Is For Everyone

HARI 8 DARIPADA 12

Sebuah Lagu yang Indah

Oleh Danny Saavedra

"Maria berkata, “Hatiku menyanjung Tuhan; jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku, Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya. Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan. Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka. Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina. Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan. Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya. Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!"—Lukas 1:46-55 (BM)

Kira-kira setahun sebelum ini, isteri saya hamil, tetapi keguguran. Kami rasa takut hendak memberitahu orang lain selepas kejadian itu, tetapi kali ini rasanya berbeza. Saya betul-betul rasa Tuhan memberitahu saya ini adalah benar. Disebabkan ini, kami tidak membenarkan ketakutan merampas sukacita dan keterujaan kami, jadi, kami memutuskan untuk memberitahu kawan kami pada malam itu. 

Seluruh hidup saya, saya ingin menjadi seorang bapa, jadi apabila waktu itu tiba, sukacita saya meluap-luap, sehinggakan kami menamakan anak lelaki kami Jude, yang bermaksud pujian! Saya memuji Allah setiap hari dengan sepenuh hati saya kerana anak saya Jude yang menakjubkan, baik hati, bertenaga, unik, kreatif, dan mengagumkan. 

Hari ini, kita akan melihat salah satu petikan yang paling indah dalam Alkitab, satu koleksi kata-kata yang paling indah yang pernah ditulis . . . Ia digelar Kidung Magnificat; ia merupakan nyanyian pujian Maria kepada Tuhan. 

Bayangkan anda ialah Maria. Beberapa hari sebelumnya, malaikat Tuhan telah menampakkan diri kepada anda dan memberitahu anda akan mengandung melalui Roh Kudus dan melahirkan Mesias yang dinanti-nantikan, yang dijanjikan kepada Abraham . . .

Dia yang akan meremukkan kepala ular sekali dan untuk selama-lamanya . . .

Keturunan yang oleh-Nya semua keluarga di dunia ini akan diberkati . . . 

Raja yang akan diberikan takhta Daud selama-lamanya . . .

Penyelamat yang akan membebaskan semua manusia . . .

Responsnya terhadap berita yang mengejutkan ini? "Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan" (Lukas 1:38 BM). Wau! Kemudian, dia mengemas dan melawat sepupunya yang juga mengandung. Sebaik saja dia memberikan salamnya, Elisabet berseru melalui Roh bahawa Maria diberkati di antara semua perempuan kerana telah dipilih untuk menjadi ibu Tuhan. Pada waktu inilah Maria tidak dapat menahan sukacita dan keterujaannya lagi! Dia berseru, "Hatiku menyanjung Tuhan; jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku."

Jika anda perasan, terdapat beberapa persamaan yang ketara antara nyanyian pujian Maria dan Puji-pujian Hana yang tercatat dalam 1 Samuel 2. Berkenaan ini, ahli teologi Alexander MacLaren menulis, "Mestikah perempuan kampung yang sederhana ini menjadi pemuisi kerana dia ialah ibu Tuhan kita? Apakah yang lebih mungkin bahawa dia menyatakan emosinya dalam bentuk yang biasa kepadanya, terutamanya bahawa puji-pujian Hana memberikan warna kepada nyanyiannya? Mazmur purba ini menyediakan acuan yang sesuai untuk emosi indahnya, dan ketidakhadiran 'keaslian' nyanyian itu menyokong keikhlasannya." Pernahkah anda mengalami suatu waktu dalam kehidupan anda dan segera lagu, mazmur, atau petikan Alkitab terlintas di fikiran anda yang membantu anda menyatakan perasaan anda? Berkemungkinan besar itulah yang berlaku kepada Maria! Dia ingat Puji-pujian Hana dan menyesuaikannya untuk menyatakan sukacita, kesyukuran, dan kegembiraannya yang tidak dapat diduga.

Sahabat, hari Natal akan tiba dalam kurang daripada seminggu, saya ingin mengingatkan anda tentang sesuatu: Kidung Magnificat Maria boleh menjadi nyanyian anda juga! Kita boleh menyanyikan kata-katanya kepada Tuhan. Seperti Maria yang berseru, "Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya," kita juga harus melaungkan pujian ini dengan sukacita yang penuh melimpah dan tidak tertahan. Disebabkan Yesus, kita boleh berseru dengan kuat tentang perkara besar yang telah dilakukan Tuhan untuk kita! Setiap hari, kehidupan kita boleh menjadi Kidung Magnificat yang berjalan, bercakap, hidup, bernafas kepada Allah kita. 

Luangkan masa pada hari ini untuk menyatakan Kidung Magnificat anda kepada Yesus. Ucapkan, nyanyikan, atau tuliskannya. Anda boleh menggunakan lagu penyembahan, petikan Alkitab, atau mazmur yang bermakna dan menyesuaikannya dengan kehidupan anda. Lafazkan sukacita dan kesyukuran anda kepada Allah dan Bapa kita yang agung hari ini!

Hari 7Hari 9

Perihal Pelan

Noel: Christmas Is For Everyone

Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Calvary Chapel Ft. Lauderdale kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://CalvaryFTL.org