Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel

Noel: Christmas Is For Everyone

HARI 1 DARIPADA 12

Betapa Indah Nama-Nya

Oleh Danny Saavedra

"Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah. Sejak permulaan, Firman itu bersama-sama Allah. Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia."—Yohanes 1:1-3 (BM)

Apakah perkara pertama yang anda ketahui tentang seseorang apabila anda diperkenalkan kepada mereka? Nama mereka! Mengapa? Ini kerana nama membantu kita mengingati orang, untuk mengecam mereka, untuk mengenali siapa yang berkomunikasi dengan kita atau orang yang dirujuk. 

Dahulu, nama digunakan untuk memaksudkan sesuatu. Dewasa ini, banyak orang kelihatannya menamakan anak mereka berdasarkan nama yang dirasakan indah atau bergaya atau popular, jarang meneliti asal dan etimologi nama itu ataupun kepentingan budaya dan warisannya. Pada zaman purba, nama diberikan untuk sebab khusus. Ishak ("dia tertawa") diberikan kerana ketawa Abraham dan Sara apabila Allah memberitahu mereka bahawa mereka akan mendapat seorang anak lelaki meskipun mereka sudah tua. Yakub ("tumit") diberikan nama ini kerana dia dilahirkan dengan "tangannya memegang tumit Esau" (Kejadian 25:26 BM).

Nama dalam Alkitab betul-betul penting kerana ia kerap memberitahu kita sesuatu tentang seseorang itu. Ini sangat benar tentang Allah yang mempunyai banyak nama yang amat penting. Daripada El Shaddai kepada Jehovah-Raah, setiap nama Allah dalam Alkitab menyatakan sesuatu tentang-Nya. Antara semua nama yang diberikan kepada Allah dalam Alkitab, nama yang paling menarik dan unik adalah nama yang diberikan kepada-Nya dalam Yohanes 1:1 (TB, penegasan ditambahkan): "Pada mulanya adalah Firman . . ."

Perkataan Yunani yang dilihat di sini untuk Firman ialah logos. Konsep logos adalah satu idea yang berkuasa, rumit, dan indah. Cara paling mudah untuk menjelaskan falsafah Yunani di sebaliknya adalah logos adalah sebab atau rasional yang tidak dinyatakan di sebalik sesuatu. Pada asasnya, istilah ini menggambarkan satu koleksi perkara yang dikumpulkan dalam fikiran dan dinyatakan dengan kata-kata. Ia dianggap sebab universal yang wujud dalam semua perkara; hukum yang mengikat yang memelihara segala sesuatu yang wujud.

Dalam budaya Ibrani, idea ini merujuk kepada kuasa dinamik kehendak Allah. Mereka kerap menggunakan istilah memra—satu perkataan yang terbit daripada perkataan Aramia untuk "berfirman"—untuk menggambarkan aktiviti dan kehendak kreatif Allah. 

Pemahaman konsep ini, serta terminologi yang digunakan dalam Yohanes 1:1, mengingatkan kembali catatan penciptaan yang terdapat dalam Kejadian 1. Di sana, kita melihat Allah berfirman dan segala sesuatu dalam alam semesta pun ada. Ibrani 11:3 (BM, penegasan ditambahkan) menjelaskan ini dengan lebih lanjut, bahawa, "Kerana beriman, kita mengerti bahawa alam ini diciptakan oleh firman Allah, maka apa yang dapat dilihat dijadikan daripada apa yang tidak dapat dilihat." 

Maka, dalam Yohanes 1:1 (BM) apabila ia mengatakan, "Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah," rasul itu memberitahu kita bahawa Yesus Kristus, Anak Allah, merupakan penjelmaan Firman Allah yang hidup. Dia ialah Allah dalam bentuk manusia, gambar (eikón: ungkapan, cerminan, dan perwakilan agung; bayangan) Allah yang tidak kelihatan (Kolose 1:15); Dia yang dengan firman akan kehendak Tuhan mewujudkan segala sesuatu pada mulanya (Kejadian 1:1-2; Mazmur 33:9; Ibrani 11:3). Dia adalah sifat, hati, kehendak, dan fikiran Allah Bapa yang dinyatakan kepada dunia. Dia adalah, seperti yang dipercayai orang Yunani, sebab universal yang wujud dalam segala sesuatu (Yohanes 1:3); hukum yang mengikat yang memelihara segala sesuatu yang wujud (Kolose 1:15-17). 

Tahukah anda? Yohanes 1:14 (BM) mengatakan bahawa Firman itu, Dia yang memelihara alam semesta dan melalui-Nya semua ciptaan telah dicipta, "menjadi manusia dan tinggal antara kita," Ini adalah maksud musim Natal. Allah telah menjadi manusia! Dia amat mengasihi kita sehinggakan Dia meninggalkan syurga untuk membuka jalan untuk kita memasuki syurga dan menghabiskan keabadian bersama dengan-Nya! Inilah sebabnya dalam Matius 1:23 (BM) kita melihat malaikat mengkhabarkan kepada Yusuf, "Anak itu akan dinamakan Imanuel" (yang bererti "Allah menyertai kita"). Anak Allah telah diutus untuk menyatakan fikiran dan hati Bapa-Nya—Firman-Nya—kepada dunia . . . dan untuk menyelamatkan kita. Ini adalah sebab mengapa malaikat itu mengarahkan Yusuf untuk menamakan Dia Yesus (Yeshua: Allah ialah keselamatan) "kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka" (Matius 1:21 BM).

Apabila kita bersiap sedia untuk meraikan hari Natal dalam beberapa hari, ingatlah bahawa Imanuel, Yesus kesayangan kita, Firman yang abadi, Raja dan Penyelamat kita, telah datang ke dunia supaya kita boleh mengenali Allah dengan mendalam dan mengalami hadirat-Nya secara intim, dan supaya kita boleh diselamatkan. Dia datang dengan rela hati memberikan kita "hak menjadi anak Allah" (Yohanes 1:12 BM). Esok, kita akan belajar mengapa Allah perlu datang . . .

Hari 2

Perihal Pelan

Noel: Christmas Is For Everyone

Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Calvary Chapel Ft. Lauderdale kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://CalvaryFTL.org