Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel
Anak yang Dijanjikan, Gambaran Yesus
Oleh Danny Saavedra
"Allah yang akan menyediakan anak domba untuk korban bakaran bagi-Nya, anakku."—Kejadian 22:8 (TB)
Pernahkah anda diminta melakukan sesuatu yang gila; sesuatu yang begitu gila, yang anda tidak pernah rasa anda perlu lakukan? Jika ya, anda tidak bersendirian. Dalam Kejadian 22, Allah memberikan perintah yang pelik kepada Abraham.
Allah meminta Abraham untuk mengorbankan anak lelakinya. Tunggu, apa? Anda maksudkan anak yang dijanjikan itu? Anak yang akan menghasilkan satu bangsa yang besar? Ya, anak itu. Allah berfirman, “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi . . . persembahkanlah anakmu sebagai korban . . ." (Kejadian 22:2 BM).
Ini pastinya menyayat hati, keseksaan yang tidak dapat diperikan bagi Abraham. Dapatkah anda bayangkan diri diminta mengorbankan orang yang paling disayangi? Adakah anda akan taat seperti Nuh atau lari dalam arah yang bertentangan seperti Yunus? Pertimbangkan betapa tidak munasabah dan gilanya permintaan Allah itu. Ishak ialah anak kesayangan Abraham dan masa depan perjanjian Allah bergantung padanya. Ishak merupakan satu mukjizat, anugerah Allah terhadap iman Abraham dan Sara.
Walau bagaimanapun, Abraham mendengar Allah dan segera mentaati-Nya secara beriman. Ada kalanya dalam kehidupan kita, kita perlu membuat pilihan yang kelihatan mustahil dan sukar . . . pilihan yang mungkin tidak difahami. Namun, apabila kita memahami sifat Allah, apabila kita memahami kasih-Nya terhadap kita, apabila kita menyedari bahawa kehendak-Nya sentiasa demi kebaikan kita dan kemuliaan-Nya, kita boleh mentaati-Nya secara beriman kerana kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya (Roma 8:28).
Abraham mengetahui bahawa kehendak Allah tidak akan bercanggah dengan janji-Nya, jadi bapa yang taat ini berpegang pada janji yang mengatakan, "melalui Ishak, engkau akan mendapat keturunan yang sudah Aku janjikan itu" (Kejadian 21:12 BM). Abraham mempercayai bahawa walaupun Allah membenarkan dia untuk mempersembahkan anaknya sebagai korban, dia berupaya membangkitkan Ishak daripada kematian (Ibrani 11:17-19). Melalui ini, kita melihat sifat sebenar iman. Ia tidak menuntut penjelasan; ia bergantung pada janji. Itulah sebabnya mengapa Abraham berupaya mengatakan kepada hambanya, "Aku dan anakku akan pergi ke sana untuk menyembah Tuhan; nanti kami balik kepada kamu" (Kejadian 22:5 BM, penegasan ditambahkan) dan sebab mengapa dia dapat memberitahu anaknya, "Allah sendiri akan menyediakan anak domba itu . . ." (Kejadian 22:8 BM, penegasan ditambahkan).
Satu perkara yang kerap hilang dalam cerita ini adalah iman dan ketaatan Ishak. Sering kali, apabila kita menggambarkan cerita ini, kita membayangkan Ishak sebagai seorang anak kecil. Namun, kebanyakan sarjana alkitabiah mempercayai bahawa dia berumur antara 18 dan 33 tahun—yang paling utama, dia mestilah cukup besar dan kuat untuk mengangkat semua kayu untuk korban bakaran itu.
Kita melihat persamaan yang menakjubkan antara cerita Ishak ini dan rancangan penebusan Allah melalui Yesus, Anak Domba Allah yang datang untuk menanggung dosa dunia. Kebanyakan sarjana mempercayai bahawa Ishak sedar apa yang sedang berlaku. Dia mengangkat kayu untuk mempersembahkan dirinya sebagai korban dan berdiam apabila dia ditempatkan atas mazbah. Dia tidak membantah apabila Abraham mengangkat pisau, diam sahaja. Dia rela mengorbankan diri demi bapanya . . . seperti Yesus! James E. Goodman menggambarkan Ishak sebagai, "mengetahui dan rela, senyap jika tidak diam sepenuhnya, dan yang paling penting tidak menderita." Clement dari Aleksandria menulis, "Dia (Yesus) ialah Ishak . . . kerana Dia merupakan anak Abraham sebagai Kristus, Anak Allah dan korban seperti Tuhan."
Pada akhirnya, Allah menghalang Abraham dan menyediakan domba yang lain. "Abraham menamakan tempat itu 'TUHAN Menyediakan Apa Yang Diperlukan.' Sampai sekarang pun orang berkata, 'Di atas gunung-Nya TUHAN menyediakan apa yang diperlukan'” (Kejadian 22:14 BM). Hari Natal adalah perayaan waktu Allah menyediakan Anak Domba!
Adakah Tuhan meminta sesuatu yang kelihatan gila daripada anda hari ini? Adakah Dia memanggil anda untuk melakukan sesuatu yang anda tidak faham, sesuatu di luar dugaan anda? Barangkali Dia sedang mencabar anda untuk berpindah ke bandar atau negara yang lain, menerima pekerjaan yang baru, atau memulakan pengajian Alkitab di rumah atau tempat kerja anda. Barangkali Dia sedang memimpin anda untuk berkongsi injil dengan jiran, rakan sekelas, atau rakan sekerja anda. Ikutlah Abraham dan menghormati panggilan itu! Apabila anda melangkah secara beriman dan taat, Tuhan setia memberkati anda, memelihara anda sepanjang perjalanan itu, dan melakukan sesuatu yang betul-betul luar biasa dalam dan melalui anda!
Perihal Pelan
Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!
More