Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel

Noel: Christmas Is For Everyone

HARI 3 DARIPADA 12

Abraham: Bapa Orang Beriman

Oleh Danny Saavedra

"Jika kamu milik Kristus, maka kamu keturunan Abraham dan akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah."—Galatia 3:29 (BM)

Seperti yang telah dilihat semalam, Allah telah mencipta alam semesta yang sempurna. Pada hari keenam, Dia mencipta untuk diri-Nya anak dalam gambar dan rupa-Nya, takhta ciptaan-Nya. Kemudian, keadaannya menjadi tidak kena apabila Adam dan Hawa memberontak menentang Allah dan membawa dosa serta kematian ke dalam dunia. Namun, ini bukanlah penamat cerita itu. Allah mempunyai satu rancangan. Dengan kemunculan kematian, Allah kita yang menakjubkan dan berbelas kasihan juga memberikan janji kehidupan. 

Dalam Kejadian 3, Allah menjelaskan bagaimana ia akan berlaku: Perempuan akan mengalami kesakitan semasa bersalin . . . tetapi kehidupan baru akan terhasil. Kehidupan baru itu akan pada suatu hari nanti menghasilkan Anak yang akan meremukkan kepala ular yang jahat itu (Kejadian 3:15). Berkenaan nubuatan ini, John Gill menulis, "Mesias, keturunan terkemuka perempuan itu, (akan) meremukkan kepala ular purba, iblis, iaitu, memusnahkannya . . . menggagalkan dan mengalahkan semua rancangan jahatnya, dan menghancurkan semua perbuatannya, membinasakan seluruh empayarnya, melucutkan kuasa dan kedaulatannya, dan terutamanya kuasanya ke atas kematian, dan kezalimannya terhadap tubuh dan jiwa manusia; semuanya dilakukan oleh Kristus, apabila Dia menjadi manusia."

Hari ini, kita akan meneliti lelaki beriman yang melaluinya Allah telah memilih untuk membawakan Anak yang dijanjikan itu. Anak lelaki ini ialah Abraham, dengan penuh kasih sayang dikenali sebagai bapa orang beriman. Sekarang, anda mungkin menanya diri, "Mengapakah Allah memilih Abraham?" "Apakah yang isitimewa tentangnya?"

Kita diperkenalkan kepada Abraham, keturunan Sem, buat pertama kalinya dalam Kejadian 12. Di sini, Allah mengarahkannya untuk berangkat dan meninggalkan rumahnya dan segala keselesaannya, untuk membawa keluarganya ke sebuah negeri asing. Perkara yang menarik adalah Abraham tidak diberitahu tentang negeri yang akan ditujui. Allah memberitahunya untuk "pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu" (Kejadian 12:1 BM). Walau bagaimanapun, berserta panggilan yang sangat besar ini adalah satu janji: "Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar . . . Melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi" (Kejadian 12:2-3 BM). Pada masa inilah kita melihat sebab Allah memilihnya. 

Abraham tidaklah istimewa, berbakat, atau benar. Allah memilih Abraham kerana Dia tahu Abraham akan taat. John McArthur menulis, "Sebaik sahaja dia memahami firman Allah, dia mula mengemas. Ia adalah ketaatan serta-merta. Ia mungkin mengambil beberapa hari, ataupun beberapa minggu atau bulan, untuk membuat persediaan terakhir untuk perjalanan itu, tetapi dalam fikirannya dia sudah dalam perjalanannya. Sejak itu, segala sesuatu yang dilakukannya berkisar pada mentaati panggilan Allah." 

Yakobus 2:23 (TB, penegasan ditambahkan) memberitahu kita, "Lalu percayalah Abraham kepada Allah, maka Allah memperhitungkan hal itu kepadanya sebagai kebenaran.' Karena itu Abraham disebut: Sahabat Allah." Pada umur 75 tahun, Abraham menerima panggilan Allah dan berangkat bersama dengan keluarganya. Hal yang menarik tentang janji Allah untuk menjadikannya bangsa yang besar dan memberkati seluruh dunia melalui keturunan Abraham adalah Abraham dan isterinya Sara tidak mempunyai anak. Bagaimanakah Allah boleh menghasilkan satu bangsa yang besar daripada lelaki dan perempuan tua yang tidak mempunyai anak? Abraham tertanya-tanya tentang ini juga! Jadi, Allah mendedahkan rancangan-Nya dan memberitahu Abraham bahawa dia akan memperoleh seorang anak, dan akhirnya keturunannya akan melebihi bilangan bintang! Dan tahukah anda, meskipun kemungkinan yang tipis, meskipun logik dan keadaannya, Abraham mempercayai Allah! 

Kisah Abraham mengajar kita tentang peranan kita dalam rancangan keselamatan Allah. Bukanlah perbuatan, tetapi iman dan penyembahan. Dalam Kejadian 12, Abraham menerima janji dengan beriman, dan sejurus selepas itu dia membina sebuah mazbah, tempat penyembahan. Mengapa? Kerana dia memahami dengan jelasnya bahawa tidak kedudukannya di hadapan Allah dan tidak juga janji Allah kepadanya bergantung kepada siapa dia atau apa yang dilakukannya, tetapi bergantung kepada kesetiaan Allah. 

Semasa anda melalui hari ini, ingatlah ada kuasa dalam penyembahan Allah kerana siapa Dia dan kekuatan yang diberikan-Nya kepada anda. Seperti yang kita perhatikan pada Abraham, ia bukanlah tentang apa yang kita boleh lakukan, tetapi apa yang telah dilakukan Dia. Maka, percayalah janji-Nya dan menyembah-Nya, kerana "kamu percaya kepada Kristus Yesus, maka kamu menjadi anak-anak Allah dan bersatu dengan Kristus Yesus. Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus . . . Jika kamu milik Kristus, maka kamu keturunan Abraham dan akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah" (Galatia 3:26-27, 29 BM).

Hari 2Hari 4

Perihal Pelan

Noel: Christmas Is For Everyone

Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Calvary Chapel Ft. Lauderdale kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://CalvaryFTL.org