Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel

Noel: Christmas Is For Everyone

HARI 2 DARIPADA 12

Dosa: Sebab Hari Natal Adalah Untuk Semua Orang

Oleh Danny Saavedra

"Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi: Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka."—Roma 3:22-24 (BM)

Setiap tahun kita meraikan hari Natal. Ia adalah masa indah tentang kegembiraan dan berita baik. Kita menghiasi pokok, menggantungkan lampu, menyanyikan karol yang indah, dan memberikan hadiah yang baik. Setiap tahun orang Kristian suka mengingatkan orang lain bahawa "Yesus adalah sebab untuk musim ini." Namun, berapa kerapkah kita betul-betul duduk dan merenungkan mengapa Dia adalah sebab untuk musim ini? Mengapakah ada musim ini? Mengapakah Yesus meninggalkan syurga dan datang ke dunia ini?

Jawapan ringkasnya? Dosa kita. Tuhan amat mengasihi kita. Dia telah mencipta kita menurut gambar dan rupa-Nya (Kejadian 1:27 TB). Kita merupakan takhta ciptaan Allah, dicipta untuk memuliakan-Nya dan menikmati hubungan yang sempurna dalam hadirat-Nya selama-lamanya sebagai anak kesayangan-Nya. Ini adalah nasib kita, pengalaman yang diniatkan untuk dialami kita . . . Ia adalah apa yang dialami Adam dan Hawa. Mereka berjalan bersama dengan Allah, bercakap dengan Allah, dan menikmati hadirat-Nya. Mereka mengerjakan panggilan mereka dan menikmati buah Taman (Kejadian 2:15-16). Walau bagaimanapun, semua itu menjadi tidak kena . . . apabila kejatuhan berlaku.

Adam dan Hawa membenarkan keangkuhan dan gerak hati mementingkan diri mereka—keinginan mereka untuk menjadi "seperti Allah"—untuk mengaburkan pertimbangan mereka. Disebabkan mereka membenarkan diri mereka diperdayakan oleh ular itu, mereka, dan kita semua, hidup di luar kasih karunia. Pada waktu itu, Paulus memberitahu kita, "Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa" (Roma 5:12 BM). Bahagian yang paling teruk adalah apa yang dicari-cari kita, untuk menjadi seperti Allah, sudah dimiliki mereka. Mereka adalah menurut gambar dan rupa-Nya dan teraan-Nya ada pada hati dan jiwa mereka.

Dalam Sin and Redemption, John Garnier menyatakan bahawa, "Dosa, dengan demikian menyebabkan pengasingan dan permusuhan dengan Allah, ataupun, dengan kata lain, pemisahan moral antara orang yang berdosa dan Allah, iaitu kematian rohani; dan bertentangan dengan ini adalah didorong, atau diberikan hidup, iaitu, didamaikan dengan Allah." Dosa Adam dan Hawa telah menjangkiti semua anak mereka, setiap manusia dalam sejarah kemanusiaan. Ia menyebabkan perselisihan, suatu pemisahan antara kita dan Allah yang kudus dan sempurna. Setiap anak yang dilahirkan sejak itu telah dilahirkan mati dari segi rohani, terpisah daripada Allah—kecuali Seorang. Maka, jika kita telah dilahirkan mati dari segi rohani, sebaik sahaja kematian fizikal berlaku, ia menjadi kematian yang kekal tanpa peluang perdamaian.

Dalam Roma 6:23 (BM), Paulus berkata, "Kematian adalah upah dosa." Dosa di Taman Eden telah membawa kematian rohani serta-merta kepada semua manusia, dan hutang terakhir untuk dosa manusia adalah kematian lengkap yang berlaku semasa kematian fizikal, oleh itu, demi melunaskan hutang dosa (iaitu, kematian), sesuatu (atau seseorang) yang lain perlu mati di tempat orang yang berdosa itu. Atas sebab ini, tindakan pengorbanan menjadi perlu untuk menjelaskan hutang dosa. Mengapa? Disebabkan kematian adalah upah dosa dan "tanpa penumpahan darah tidak ada pengampunan" (Ibrani 9:22 TB).

Contoh pertama keadaan ini dilihat sejurus selepas kejatuhan. Dalam Kejadian 3:21 (BM), "Kemudian TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya." Perhatikan bahawa, untuk mengenakan pakaian pada Adam dan Hawa untuk menyembunyikan rasa malu mereka, Allah perlu membunuh binatang, untuk mencurahkan darahnya. Namun, "Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa" (Ibrani 10:4 BM). Ia tidak memadai. Inilah yang menjadikan kisah Natal begitu berkuasa!

Kisah Natal adalah tentang saat rancangan mulia Allah menjadi kenyataan. Bagaimana? "Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal" (Yohanes 3:16 BM). Yesus, Anak Allah yang sempurna, berkata, "Inilah Aku . . ." (Ibrani 10:7 BM) dan Dia "menyerahkan diri-Nya karena dosa-dosa kita . . . menurut kehendak Allah dan Bapa kita (Galatia 1:4 TB). Dia menjelaskan upah dosa kita, sekali dan untuk selama-lamanya, demi memberikan kita anugerah Allah, iaitu "hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan" (Roma 6:23 BM). Oleh Yesus, kita boleh memuliakan dan menikmati Allah lebih intim daripada Adam dan Hawa. Kita bukan sahaja dapat berjalan bersama dengan Allah, malah kita memiliki Roh Allah dalam kita!

Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

Noel: Christmas Is For Everyone

Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Calvary Chapel Ft. Lauderdale kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://CalvaryFTL.org