Noel: Hari Natal adalah untuk Semua OrangSampel

Noel: Christmas Is For Everyone

HARI 5 DARIPADA 12

Dia adalah Segala-galanya untuk Semua Orang

Oleh Danny Saavedra 

"Sebab seorang anak telah lahir untuk kita, seorang putera telah diberikan untuk kita; lambang pemerintahan ada di atas bahunya, dan namanya disebutkan orang: Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, Raja Damai."—Yesaya 9:5 (TB)

Tidak dapat dinafikan bahawa telefon pintar adalah alat yang berguna kepada semua orang. Saya tidak percaya ada seseorang yang tidak mendapat faedah dalam sesetengah cara yang bermakna daripada memiliki telefon pintar. Demikian juga, api adalah berguna kepada semua manusia—haba, memasak, bahan api; sebut sahaja, api membekalkan semua itu. 

Terdapat pelbagai produk dan sumber dalam dunia ini yang telah dicipta untuk semua orang, untuk menjadikan kehidupan lebih baik. Dalam sesetengah cara, kisah hari Natal adalah untuk semua orang! Walau siapa pun anda, apa pun yang telah anda lakukan, apa pun bahasa yang dituturkan, apa pun asal negara dan budaya anda, kisah hari Natal berkuasa mengubah sesiapa sahaja dan setiap orang, untuk menjadikan kehidupan kita lebih menakjubkan, bermakna, memuaskan, dan dipenuhi sukacita. Mengapa? Kerana ia adalah kisah tentang bagaimana Yesus, Anak Allah yang merupakan segala sesuatu dan melalui-Nya segala sesuatu dipelihara dan wujud (Yohanes 1:3; Kolose 1:17), telah datang untuk menyelamatkan semua orang (Yohanes 3:16, 36, 6:40, 11:25). 

Lebih daripada 700 tahun sebelum Dia dilahirkan, nabi Yesaya telah meramalkan kedatangan-Nya—kedatangan Mesias, Anak yang dijanjikan yang akan meremukkan kepala ular dan melalui-Nya semua bangsa dunia akan diberkati—untuk umat Israel. Yesaya diberikan bayangan sekilas, penglihatan di mana dia ditunjukkan bahawa harapan dan masa depan manusia tidak bergantung pada diri sendiri, tetapi pada Anak yang akan diberikan—diserahkan Bapa sebagai tebusan untuk banyak orang (Yesaya 53). Anak ini adalah segala sesuatu yang kita perlukan, segala sesuatu yang kita inginkan, dan segala sesuatu yang diharapkan. 

Bagaimana ia dijelaskan? Yesaya menghuraikan:

Penasihat Ajaib 

Segala kebijaksanaan berasal daripada-Nya! Amsal 2:6-7 (BM) mengatakan, "TUHANlah yang memberikan hikmat. Pengetahuan dan pengertian berasal daripada-Nya. Dia memberikan pertolongan dan perlindungan kepada orang yang tulus hati dan jujur." Dialah sumber segala kebijaksanaan dan pemahaman. Dia memimpin kita ke jalan yang betul dan mengajar kita cara menjalankan kehidupan yang dipenuhi makna dan kepuasan. Dia mengenali kita lebih daripada kita mengenali diri, dan Dia memahami kita! Sebagai manusia sepenuhnya, Dia mengetahui keadaan kita. Ibrani 4:15 (BM) mengingatkan kita, "Imam Agung kita ini bukanlah imam yang tidak dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita. Sebaliknya, kita mempunyai Imam Agung yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi Dia tidak berbuat dosa!"

Allah yang Perkasa

"Dialah yang berkuasa selama-lamanya!" (1 Petrus 5:11 BM). Kekuatan, kuasa, keberanian, ketekunan . . . semuanya berasal daripada-Nya. Firman sentiasa mengingatkan kita bahawa kuasa-Nya sedia ada untuk semua orang yang mencari-Nya! Mazmur 46:2 (BM) mengisytiharkan, "Allah perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan" sementara Filipi 4:13 (TB) mengingatkan kita, "Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku." Dalam 2 Korintus 12:9 (TB), Dia meyakinkan kita, kata-Nya, "Cukuplah kasih karunia-Ku bagimu, sebab justru dalam kelemahanlah kuasa-Ku menjadi sempurna." 

Bapa yang Kekal

Penyelamat kita bersatu dengan Bapa. Dialah jalan kepada Bapa. Dalam Yohanes 14:9 (BM), Dia mengatakan, "Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa." Ibrani 1:3 (BM) mencerminkan-Nya sebagai: "Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa." Dia ada sebelum anda, sahabat, dan Dia akan sentiasa ada bersama anda. Dialah Bapa semua orang percaya (Yohanes 8:58), iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir.   

Raja Damai

Yesus datang supaya kita dapat berdamai dengan Allah. Dia datang untuk mendamaikan kita dengan Bapa dengan merapatkan jurang dan melunaskan upah dosa kita. Sebelum kembali ke syurga, Dia berkata, "Damai sejahtera Kutinggalkan bagimu. Damai sejahtera-Ku Kuberikan kepadamu" (Yohanes 14:27 TB). Kedamaian-Nya, yang melampaui segala akal, berkuasa melindungi kita, untuk memberikan kita harapan, keyakinan, dan ketenangan. Dia menjemput kita untuk pergi kepada-Nya untuk kelegaan, "Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu" (1 Petrus 5:7 BM). 

Sahabat, tiada satu pun benda yang anda perlukan atau inginkan yang tidak diberikan Kristus Yesus. Tiada satu pun benda yang baik dan indah dalam seluruh keabadian yang tidak disediakan oleh hubungan dengan Yesus untuk semua orang. Kuasa, kebijaksanaan, kedamaian, kasih, kasih karunia, belas kasihan, kebaikan, kemuliaan, dan kekuatan-Nya adalah untuk kita semua. Ia sedia ada kepada semua orang yang menerima-Nya. Setiap janji, setiap berkat, setiap pemberian yang baik dan sempurna . . . adalah untuk anda! 

Hari 4Hari 6

Perihal Pelan

Noel: Christmas Is For Everyone

Selama 12 hari berikutnya, kita akan meneliti kisah Natal dan bukan sahaja menyedari sebab ia adalah cerita teragung yang pernah diceritakan, malah bagaimana hari Natal betul-betul untuk semua orang!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Calvary Chapel Ft. Lauderdale kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://CalvaryFTL.org