Penyembahan: Kajian MazmurSampel
Apakah yang dikatakan?
Orang yang mempercayai Tuhan tidak bergoyang. Mereka akan menyemai dengan air mata dan menuai dengan bahagia. Anak mereka ialah anugerah Tuhan. Diberkatilah setiap orang yang takut akan Dia.
Apakah maksudnya?
Bahagian Nyanyian Ziarah ini menggambarkan keyakinan, sukacita, dan berkat umat pilihan Allah. Mazmur 125 mencerminkan keyakinan yang diberikan oleh Allah kepada orang yang mempercayai-Nya. Keselamatan yang dirasakan semasa memasuki kubu Yerusalem adalah simbolik bagaimana perlindungan Allah menyelubungi seluruh bangsa mereka. Mazmur 126 mengingati bagaimana Allah mengubah tangisan kegelisahan menjadi nyanyian sukacita apabila Dia menyelamatkan Israel daripada orang Asyur (1 Raja-raja 18-19). Mazmur 127, ditulis oleh Raja Salomo, mempertimbangkan berkat rumah yang salih dan sukacita anak-anak. Penulis Mazmur 128 merenungkan kerja yang membahagiakan dan rumah yang diberkati orang yang takut akan Tuhan dan mentaati-Nya. Semasa penyembah menaiki bukit Yerusalem, mazmur ini mengingatkan mereka untuk takut, percaya, dan taat kepada Tuhan dalam setiap aspek kehidupan mereka – sebagai rakyat, ahli keluarga, dan pekerja.
Bagaimana saya harus memberikan respons?
Jika orang yang berinteraksi dengan anda setiap hari diminta untuk mengatakan sesuatu tentang anda sebagai ibu bapa, anak, adik-beradik, pekerja, bos, pelajar, atau rakyat – apakah yang akan mereka katakan? Cara anda menjalankan setiap peranan anda menggambarkan anda sebagai pengikut Yesus Kristus. Aspek hidup anda yang manakah tidak betul-betul menggambarkan sukacita mempercayai dan mentaati Tuhan? Fikirlah tentang perubahan yang perlu dibuat di rumah, tempat kerja, atau sekolah anda untuk lebih memuliakan Allah.
Perihal Pelan
Mazmur merupakan koleksi sajak dan lagu yang ditulis lebih daripada 1,000 tahun lalu. Sementara Mazmur mengandungi pujian yang girang dan ratapan yang menyedihkan, seluruh kitab itu bersaksi tentang kasih Allah yang setia terhadap umat-Nya dalam setiap keadaan. Sebagai teras penyembahan Perjanjian Lama, setiap mazmur menjangka kemuncak pujian Allah dalam kematian dan kebangkitan Yesus Kristus.
More