Menemui Kebenaran Allah Dalam Ribut KehidupanSampel
Pengajaran yang Diperoleh
Dalam bukunya, Walking with God through Pain and Suffering, Tim Keller berkata, "Kamu tidak betul-betul menyedari bahawa Yesus sahajalah yang kamu perlukan sehingga Yesus sahajalah yang kamu miliki."
Di World Help, kami melihat kebenaran ini ternyata banyak kali semasa melayani orang di seluruh dunia. Apabila pentadbir rumah kanak-kanak di Nepal melihat pelayanan mereka menjadi runtuhan batu akibat gempa bumi, mereka melakukan satu-satunya perkara yang mereka dapat lakukan--mereka memandang Yesus. Apabila seorang balu di Rwanda bergelut untuk memberi makan anak-anaknya, naluri pertamanya ialah berdoa. Kita mendengar cerita demi cerita tentang orang yang terdorong ke arah dakapan Allah oleh dugaan.
Penderitaan menunjukkan kepentingan iman kita. Penderitaan menempatkan kita di tempat di mana kita tidak dapat bergantung pada diri sendiri. Dalam 2 Korintus 4, kita diingatkan bahawa ketika perkara yang biasanya menjadi tempat pergantungan kita gagal, batin kita menjadi lebih kuat. Kita menjadi lebih dekat dengan sumber kekuatan sebenar, dan kita belajar menetapkan pandangan kita pada Dia.
Maka, memanglah penting untuk berpaut pada pengajaran yang telah diperoleh ketika menghadapi dugaan dan penderitaan.
Satu-satunya cara kita boleh mensia-siakan penderitaan kita ialah melupakannya dan meninggalkan wawasan berharga yang diperoleh daripada menanggungnya.
Jika perlu, binalah monumen fizikal dalam hidup anda untuk mengingati kesetiaan Allah semasa dugaan anda. Banyak patung, buku, dan lagu dihasilkan untuk tujuan ini. Walau bagaimanapun, monumen anda tidak perlu menakjubkan dari segi visual. Orang Israel menggunakan timbunan batu untuk mengingati pemeliharaan Allah dan untuk mengingatkan anak mereka. Apa-apa sahaja yang membuat anda ingat adalah baik.
Anda boleh tetap yakin bahawa Yesuslah segala sesuatu yang kita perlukan. Apabila dunia di sekeliling kita kelihatan huru-hara dan tidak dapat dipercayai, kita memiliki harapan yang teguh. Marilah kita bersukacita kerana itu hari ini!
Doa: Ya Allah, saya tahu penderitaan saya mendekatkan saya kepada-Mu. Tolonglah saya untuk belajar dan bertumbuh dalam iman saya semasa saya menghadapi dugaan dalam hidup ini. Tolonglah saya untuk mengingati pengajaran tersebut meskipun keadaan saya bertambah baik. Terima kasih kerana kesabaran-Mu terhadap saya semasa Engkau terus menjadikan saya orang yang selaras dengan kehendak-Mu. Amin.
Perihal Pelan
Sebagai orang Kristian, kita tidak lali terhadap masalah di dunia ini. Sebenarnya, Yohanes 16:33 berjanji bahawa anda akan menderita. Jika anda menghadapi ribut kehidupan sekarang ini, renungan ini adalah untuk anda. Pelan ini merupakan peringatan akan harapan yang menolong kita mengharungi ribut kehidupan. Sekiranya anda tidak menghadapi sebarang pergelutan sekarang ini, pelan ini akan memberikan anda dasar yang akan menolong anda mengharungi dugaan masa depan.
More