Lebih Berani: Menyelidiki Iman Berani Orang yang Tidak SempurnaSampel

Bolder: A Look at the Audacious Faith of Imperfect People

HARI 1 DARIPADA 7

Hari 1: Petrus

Kebanyakan orang yang pernah membaca Alkitab atau menonton sesuatu rancangan tentang Alkitab pernah mendengar cerita tentang Petrus yang berjalan di atas air dan dicabar untuk "turun dari perahu" dengan iman yang berani. Yesus berjalan di atas air tercatat dalam tiga daripada empat kisah tentang hidup Yesus (dalam Matius, Markus, dan Yohanes), tetapi hanya satu catatan yang menyebut tentang penglibatan Petrus dalam Matius. Perhatikan bahawa dalam catatan Matius, Yesus memberikan arahan langsung kepada murid-murid. Sebenarnya Matius menggambarkan Yesus menyuruh mereka untuk naik perahu. Ketiga-tiga catatan memetik Yesus yang berkata, "Aku Yesus. Jangan takut." Yesus memberitahu murid-murid-Nya agar jangan takut. Perasaan takut adalah tidak perlu kerana Dia ialah Yesus dan Dia hadir. Namun, idea siapakah yang meminta Petrus turun dari perahu? Itu idea Petrus. Yesus bersetuju dengan idea itu, tetapi Yesus tidak memintanya untuk berbuat demikian. Perkara yang diminta Yesus daripada Petrus—jangan takut—gagal dilakukan oleh Petrus (ay. 30). Walau bagaimanapun, marilah kita lihat bahagian akhir kisah itu. Murid-murid-Nya berasa kagum dan sujud menyembah. Mereka yakin bahawa sesungguhnya Yesus ialah "Anak Allah.”

Tingkah laku berlebih-lebih dan sering kali semberono ini agak biasa bagi Petrus seperti yang diperhatikan dalam catatan injil. Kita melihat Petrus membuat tuntutan besar yang tidak ditepati (contohnya, ia menafikan bahawa ia mengenal Yesus sejurus selepas ia berkata bahawa ia akan mati bersama-sama dengan Yesus), kita melihat ia mengerat telinga seseorang, beberapa kali kita melihat ia bercakap dengan tidak berfikir, dan kita melihatnya menegur Yesus. Namun, kita juga melihat Petrus memimpin gereja awal secara luar biasa. Dalam Kisah Rasul-rasul 2, kita melihat Petrus—dipenuhi Roh Kudus—menyembuhkan lelaki yang lumpuh, berjuang semasa dianiayai, dan menyampaikan khutbah yang berkuasa yang membuat tiga ribu orang mempercayai Yesus. Adakah ini orang yang sama?

Yesus kerap membetulkan Petrus (dan syukurlah Dia menyembuhkan orang yang telinganya dikerat oleh Petrus!), tetapi Yesus menerima Petrus, walaupun ia bertindak dengan tidak berfikir, dan memilih Petrus untuk mula membangunkan Jemaat-Nya. Mengapa? Petrus jelasnya lemah dalam pelbagai lingkungan, dan sering gagal. Namun, Yesus melihat sesuatu dalam Petrus yang boleh diguna-Nya. Petrus perlu bertumbuh, tetapi ramuannya sudah ada. Petrus rela mempersembahkannya, rela dibetulkan dan diarah semula oleh Yesus bila perlu, dan ia menetapkan pandangannya pada Yesus.

Soalan Renungan/Perbincangan:

1. Apakah yang anda pelajari dengan membaca tiga catatan peristiwa yang sama oleh tiga orang yang berbeza?

2. Mengapakah hanya satu catatan yang menyebut tentang penglibatan Petrus?

3. Sesetengah sarjana percaya bahawa injil Markus itu sebenarnya catatan Petrus tentang hidup Yesus, dan Markus menulis bagi pihaknya. Jika ini adalah benar, mengapakah ia tidak mahu memberitahu semua orang tentang waktu ia berjalan di atas air?

4. Apakah satu kelebihan dan satu kelemahan yang anda boleh serahkan untuk digunakan oleh Yesus?

Hari 2

Perihal Pelan

Bolder: A Look at the Audacious Faith of Imperfect People

Keberanian tidak perlu besar-besaran dan dihebahkan untuk dilihat oleh semua orang; keberanian cumalah tindakan membawa apa jua yang anda miliki kepada Yesus dan mempercayai Dia dengan hasilnya. Sertailah kami untuk pengembaraan tujuh hari ini untuk membincangkan iman berani orang yang tidak sempurna.

More

Kami berterima kasih kepada Berea kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: http://berea.org