Prinsip Hidup Untuk Dijadikan PanduanSampel

Life Principles To Live By

HARI 13 DARIPADA 36

Mendengar Allah, Berjalan Bersama Allah

Prinsip Hidup 13: Mendengar Allah adalah perlu untuk berjalan bersama Allah.

Salah satu pengajaran terpenting yang kita boleh peroleh adalah bagaimana mendengar Allah. Dalam kehidupan kita yang rumit dan sibuk, tiada yang lebih mendesak, tiada yang lebih diperlukan, dan tiada yang lebih mendatangkan kepuasan daripada mendengar apa yang Allah mahu bicarakan kepada kita dan mentaati-Nya.

Anda mungkin bertanya, “Masihkah Tuhan berbicara kepada kita pada hari ini?” Alkitab meyakinkan kita bahawa Dia masih berbuat demikian. Kitab Ibrani bermula dengan: “Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi … Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya” (Ibrani 1:1-2). Allah kita tidak berdiam. Bapa syurgawi kita adalah hidup dan aktif. Dia berbicara kepada kita seorang demi seorang dan dengan cara di mana kita boleh mendengar-Nya, menerima pesanan-Nya, dan mentaati-Nya. Dia tidak berkesudahan, mempunyai kemampuan penuh untuk berkomunikasi kepada setiap seorang daripada kita, di mana jua kita berada—di tengah-tengah keadaan kita—secara peribadi.

Ini mungkin salah satu konsep terpenting yang anda akan belajar berkenaan cara mendengar Allah. Apabila Tuhan berbicara, Dia berbicara kepada anda. Firman Allah mengandungi kebenaran-Nya; oleh itu, kita harus mengambil hati terhadapnya. Benarkan Roh Kudus-Nya untuk membuka hati anda supaya anda memperoleh pengertian yang lebih mendalam tentang Alkitab. Apabila anda berbuat demikian, anda boleh mula menuntut janji-Nya bagi kehidupan anda. Anda juga akan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam akan kehendak, perlindungan, dan kasih-Nya.

Allah serius tentang hubungan-Nya dengan anda. Dia berbicara untuk kebaikan anda, dan ianya penting untuk anda mendengar-Nya dan memberikan respons dengan mentaati-Nya. Ada kalanya, Dia akan mencabar anda untuk mengubah pemikiran anda atau melepaskan perasaan dan pendapat yang tidak sihat. Kadang-kadang, Dia akan memerintah anda untuk mengubah sesetengah aspek tingkah laku anda. Namun, dengan setiap perintah yang diberi-Nya, anda boleh rasa pasti bahawa ia adalah demi kebaikan anda. Dia mahu memberi dorongan dan mematangkan anda supaya anda boleh menjalani kehidupan dengan sukacita dan kekuatan yang lebih besar. Dia juga mahu mengubah anda supaya menyerupai Anak-Nya, Yesus Kristus—membantu anda menjadi yang terbaik yang anda mampu.

Belajar mendengar Allah dengan membaca Firman-Nya adalah perkara paling penting yang anda boleh lakukan kerana tiada cara lain untuk menikmati kehidupan indah dan berkelimpahan yang diberikan-Nya. Oleh itu, berikan perhatian sepenuhnya kepada apa yang Dia mahu bicarakan, dan Dia pasti akan “memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui” (Yeremia 33:3).

Hari 12Hari 14

Perihal Pelan

Life Principles To Live By

Sepanjang lebih 60 tahun pelayanannya, Dr. Charles Stanley telah menyenaraikan 30 Prinsip Hidup yang telah memimpin dan membantunya untuk bertumbuh dalam pengetahuan, pelayanan dan kasih kepada Allah. Sertainya sementara dia membantu anda untuk menerokai setiap prinsip ini dengan lebih mendalam, mengajar anda cara untuk menerapkannya setiap hari, dan membawa anda untuk menikmati kehidupan berkelimpahan yang dikehendaki Kristus untuk anda. 

More

Kami ingin berterima kasih kepada In Touch Ministries kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://intouch.cc/lp-journal