Prinsip Hidup Untuk Dijadikan PanduanSampel
Kunci Bagi Kedamaian yang Berterusan
Prinsip Hidup 12: Kedamaian dengan Allah adalah hasil kesatuan dengan Allah.
Memang diketahui umum bahawa setiap kehidupan pasti akan menghadapi ujian. Tiada seorang pun dikecualikan daripada masalah yang sering muncul pada masa yang paling tidak disangka. Apabila kesusahan melanda, salah satu soalan yang kita mungkin menanya diri adalah mengapa. Kita mungkin mula membimbangkan kesannya terhadap kehidupan kita. Walaupun reaksi sebegitu adalah normal, kita juga memerlukan satu lagi respons yang lain—iaitu, mengadu pada Dia yang memegang semua ketenangan dan keyakinan dalam genggaman-Nya.
Paulus memperingatkan kita supaya “Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus” (Filipi 4:6-7).
Bagaimanakah kita boleh mengubah perasaan risau apabila kita mengalami tekanan? Salah satu langkah pertama adalah mengenal kerisauan—kebalikan kedamaian. Ia merupakan kipas yang menyemarakkan api keraguan dan kekeliruan, dan ia berupaya membuat kita rasa tidak berdaya kerana kerisauan dan ketakutan. Apabila kita menyerah kepada kerisauan, kita kehilangan fokus dan pemikiran rohaniah. Kunci bagi mengatasi kerisauan hanya ditemui dalam hadirat Allah.
Menerima jadual waktu Allah dan pembatasan yang ditetapkan-Nya kepada situasi tertentu membantu menghilangkan kerisauan yang semakin meningkat. Oleh itu, benarkan Dia untuk membekali anda sesuai dengan waktu-Nya. Apabila anda menerima kehidupan sebagai hadiah daripada Allah, anda akan memperoleh belas kasihan dan kasih karunia, pengampunan dan harapan, kedamaian dan keyakinan yang kekal.
Biarlah kedamaian-Nya memenuhi hati anda—hari ini dan setiap hari. Curahkan semua perasaan anda kepada-Nya. Allah memahami dan mengetahui bahawa hidup ini adalah sukar—tetapi Dia mempunyai satu penyelesaian. Kedamaian kita terletak pada Juruselamat kita yang mengasihi kita tanpa syarat. Dia telah berjanji untuk menjaga kita dan membawa kita ke dalam dakapan Bapa yang penyayang.
Perihal Pelan
Sepanjang lebih 60 tahun pelayanannya, Dr. Charles Stanley telah menyenaraikan 30 Prinsip Hidup yang telah memimpin dan membantunya untuk bertumbuh dalam pengetahuan, pelayanan dan kasih kepada Allah. Sertainya sementara dia membantu anda untuk menerokai setiap prinsip ini dengan lebih mendalam, mengajar anda cara untuk menerapkannya setiap hari, dan membawa anda untuk menikmati kehidupan berkelimpahan yang dikehendaki Kristus untuk anda.
More