Prinsip Hidup Untuk Dijadikan PanduanSampel

Life Principles To Live By

HARI 18 DARIPADA 36

Mangsa atau Pemenang?

Prinsip Hidup 18: Sebagai anak Allah yang berdaulat, kita tidak akan menjadi mangsa keadaan.

Kehidupan ini sememangnya tidak mudah. Kita menghadapi pelbagai gelora di sepanjang kehidupan. Perlumbaan itu adalah nyata, pertempuran masih berterusan, dan pengalaman pahit mungkin menusuk hati kita. Akan tetapi, keadaan kita tidak harus menentukan siapa kita atau cara kita bereaksi. Sebaliknya, sebagai orang percaya, tindak-tanduk kita dalam setiap situasi haruslah memuliakan Tuhan Yesus, dan identiti kita haruslah sentiasa berdasarkan keselamatan yang telah diberikan-Nya kepada kita.

Allah tahu bahawa kehidupan Kristian tidaklah mudah. Apabila anda menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat anda, Dia telah menetapkan perjalanan hidup anda. Sebagai Tuhan anda yang berdaulat, Dia telah menetapkan semua liku, belokan, lencongan, bukit dan lembah. Dia tahu semua kesukaran yang anda akan hadapi. Dia memahami bahawa anda akan sentiasa bercanggah dengan dunia, daging, dan iblis sehingga anda kembali bersama dengan-Nya. Namun, Dia bukan sahaja menetapkan jalan anda, dengan harapan anda akan mencari jalan anda sendiri. Dia telah mengutuskan Roh Kudus untuk diam dalam anda, memimpin anda, dan mendorong anda. Ketabahan memerlukan sesuatu yang tidak datang dengan mudah—kepercayaan pada Allah berdaulat yang tidak kelihatan. Walau bagaimanapun, Roh Kudus akan mengingatkan anda tentang kesetiaan dan kuasa-Nya (Yohanes 14:26), supaya anda boleh tetap komited kepada-Nya.

Apabila keadaan menjadi sukar—dan ia pasti terjadi—anda tidak boleh melarikan diri. Anda tidak boleh berputus asa. Semakin lama anda tetap setia mentaati Tuhan, dalam apa pun keadaan, iman anda akan menjadi semakin kuat. Anda bersedia untuk pelayanan yang lebih besar dan mengembangkan pelayanan anda. Anda menjadi lebih kuat, setia, dan taat.

Dia yang menanggung salib tinggal dalam anda, maka anda telah dilengkapi sepenuhnya untuk apa pun panggilan-Nya. Oleh itu, mintalah Dia untuk memenuhi anda dengan kuasa dan kebijaksanaan-Nya, dan taatilah semua perintah-Nya untuk anda. Ingat, anda tidak akan menjadi mangsa keadaan, kerana Allah anda yang berdaulat boleh menggunakan segala sesuatu yang berlaku pada anda sebagai berkat buat anda dan untuk kemuliaan-Nya.

Hari 17Hari 19

Perihal Pelan

Life Principles To Live By

Sepanjang lebih 60 tahun pelayanannya, Dr. Charles Stanley telah menyenaraikan 30 Prinsip Hidup yang telah memimpin dan membantunya untuk bertumbuh dalam pengetahuan, pelayanan dan kasih kepada Allah. Sertainya sementara dia membantu anda untuk menerokai setiap prinsip ini dengan lebih mendalam, mengajar anda cara untuk menerapkannya setiap hari, dan membawa anda untuk menikmati kehidupan berkelimpahan yang dikehendaki Kristus untuk anda. 

More

Kami ingin berterima kasih kepada In Touch Ministries kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://intouch.cc/lp-journal