Prinsip Hidup Untuk Dijadikan PanduanSampel

Life Principles To Live By

HARI 23 DARIPADA 36

Kebaikan dan Berkat Allah

Prinsip Hidup 23: Anda tidak dapat memberi lebih daripada Allah.

Ini adalah fakta: Anda tidak dapat memberi lebih daripada Allah.

Nabi Perjanjian Lama, Maleakhi, mempercayai prinsip ini. Melalui dia, Allah telah memerintah umat-Nya untuk membawa seluruh persepuluhan mereka kepada-Nya dan berkata, “‘Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik’” (Maleakhi 3:10).

Memberikan persepuluhan bermaksud memberi sebahagian daripada pendapatan kita kepada Allah untuk pekerjaan-Nya. Segala sesuatu yang kita miliki adalah pemberian daripada Allah; oleh itu, persepuluhan hanya sebahagian kecil daripada apa yang Dia telah berikan kepada kita. Jika kita mentaati Firman Allah dan memberi bahagian yang diminta-Nya dengan sukacita, Dia akan memberkati kita dan pekerjaan kerajaan-Nya.

Beberapa tahun yang lalu, Allah memimpin kami untuk membeli sebuah bangunan baru untuk pengembangan First Baptist Atlanta. Kami mula berdoa agar Dia akan menyediakan dana yang kami perlukan. Saya juga berdoa secara khusus agar Dia menunjukkan kepada saya apa yang Dia mahu saya berikan. Saya telah memberi dari segi kewangan tetapi merasakan ada sesuatu yang lain yang diingini-Nya.

Tidak lama kemudian, Dia mula mendorong saya untuk memberi peralatan kamera saya untuk dana bangunan. Saya amat meminati fotografi … ia merupakan hobi kegemaran saya. Namun, petunjuk Allah adalah sangat kuat dan khusus. Saya tidak dapat mengelak daripada membuat keputusan yang tepat itu. Saya sedar bahawa ketaatan saya akan membawa berkat. Jika Dia mahu kamera saya, saya mahu memberi kepada-Nya. Lagipun, Dia ialah pemiliknya.

Beberapa hari kemudian, saya menjual peralatan saya dan memberi wang itu kepada dana bangunan. Ramai di kalangan jemaat kami juga memberi harta peribadi mereka. Pada waktu menandatangani perjanjian untuk bangunan baru itu, kami memiliki wang yang diperlukan dan tidak perlu membuat pinjaman sesen pun.

Beberapa bulan kemudian, seorang wanita menekan loceng pintu rumah saya. Apabila saya membuka pintu, saya mendapati dia sedang memegang dua beg yang besar. “Kamu Charles Stanley?” dia bertanya. Saya buntu fikiran tetapi menjawabnya, “Ya.”

 “Ini untuk kamu.” Dia meletakkan beg tersebut di lantai dan pergi. Saya melihat kandungan beg itu dan segera melihat peralatan kamera saya! Allah telah mengembalikan setiap kanta dan badan kamera kepada saya. Demikiankah cara Allah bekerja? Saya rasa ya. Banyak kali, Dia menguji kita untuk melihat di manakah kesetiaan sebenar kita. Adakah dalam "benda" atau dalam-Nya?

Allah mencabar kita untuk memberi-Nya kesempatan untuk membuktikan diri-Nya dan telah berjanji untuk memberkati kita sebagai balasan (Amsal 3:9-10). Pemazmur bertanya, “Apakah yang dapat aku persembahkan kepada TUHAN untuk segala kebaikan-Nya terhadap aku?” (Mazmur 116:12). Soalan ini boleh ditafsirkan, “Bagaimana saya boleh membayar balik semua kebaikan-Nya kepada saya?”

Jawapannya adalah kita tidak mampu membayar balik. Tiada seorang pun yang mampu berbuat demikian kerana tiada orang yang mampu memberi lebih daripada Tuhan.

Hari 22Hari 24

Perihal Pelan

Life Principles To Live By

Sepanjang lebih 60 tahun pelayanannya, Dr. Charles Stanley telah menyenaraikan 30 Prinsip Hidup yang telah memimpin dan membantunya untuk bertumbuh dalam pengetahuan, pelayanan dan kasih kepada Allah. Sertainya sementara dia membantu anda untuk menerokai setiap prinsip ini dengan lebih mendalam, mengajar anda cara untuk menerapkannya setiap hari, dan membawa anda untuk menikmati kehidupan berkelimpahan yang dikehendaki Kristus untuk anda. 

More

Kami ingin berterima kasih kepada In Touch Ministries kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://intouch.cc/lp-journal