Kekaguman yang Tak Makan Dek Zaman | Pelan Bacaan Krismas daripada New Life Church Sampel
Hari 2
Sering kali kesibukan pada waktu Krismas adalah begitu padat sehinggakan jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin terlepas suara Tuhan. Kita menjadi begitu sibuk dengan rancangan dan senarai tugas kita sehinggakan kita mungkin terlepas detik yang penting. Kita tidak mahu diganggu! Kita ada hal yang perlu dilaksanakan! Namun, kerapnya Allah bekerja dengan terbaik melalui gangguan.
Dalam bacaan hari ini, kita melihat bahawa Ananias diganggu oleh Allah. Saya pasti Ananias telah membuat rancangan harian yang tidak melibatkan melayani seorang pembunuh. Walau bagaimanapun, ia diminta oleh Allah untuk pergi mencari Saulus, pembunuh orang Kristian, dan menyembuhkan masalah penglihatannya. Semasa Ananias mendengar perintah itu, pada asasnya ia berkata, "Pastikah Engkau Allah?" Tidakkah Allah tahu bahawa Saulus telah membunuh pengikut Yesus? Namun, respons Tuhan ialah, "Pergilah."
Pada musim Krismas ini anda mungkin akan menghadapi keadaan yang membuat anda ingin bertanya, "Pastikah Engkau Allah?" Dia mungkin meminta anda untuk meminta maaf meskipun pasangan andalah yang bersalah. Menjemput ahli keluarga yang telah renggang daripada anda untuk makan malam meskipun suasana itu pastinya tidak menyenangkan. Memaafkan ibu bapa walaupun mereka tidak patut dimaafkan.
Jika anda sudah mengikut Yesus cukup lama, anda akan tahu memang biasanya bagi Allah untuk meminta kita untuk melakukan sesuatu menentang kerelaan kita. Biasanya, hal itu adalah menyusahkan, memalukan, ataupun berbahaya. Ketaatan dan kesenangan jarang-jarang sekali bersinonim. Menjadi taat bermakna mendengar firman Allah dan melaksanakannya. Ketaatan bukanlah ketaatan jika perkara itu adalah idea kita. Ketaatan melibatkan pertentangan kehendak. Ketaatan bermaksud mengetepikan pilihan kita untuk menjajarkan kehendak kita dengan kehendak Allah kerana kita mempercayai bahawa Dia mempunyai cara yang lebih baik.
Disebabkan Ananias mempercayai Allah dan mempertaruhkan nyawanya untuk mencari Saulus, ia hadir semasa Saulus menerima Roh Kudus dan menyaksikan sisik ikan jatuh daripada mata Saulus. Kemudian, Ananias membaptisnya! Ananias memainkan peranan penting dalam salah satu mukjizat pertaubatan dan transformasi penentu iman yang terbesar dalam sejarah: Saulus kepada Paulus. Paulus akan menjadi salah seorang misionari Kristian dan ahli teologi yang terhebat sepanjang zaman, menulis 13 daripada 27 kitab dalam Perjanjian Baru. Walau bagaimanapun, ketaatan Ananias mendahului semua pelayanan Paulus yang luar biasa. Anda tidak mungkin tahu apa yang Allah boleh lakukan dengan satu tindakan taat yang setia.
Tindakan: Adakah apa-apa yang Tuhan minta anda untuk lakukan yang belum ditaati lagi? Apakah langkah yang boleh anda ambil ke arah ketaatan hari ini?
Perihal Pelan
Pelan tiga minggu ini meneliti kekaguman yang tak makan dek zaman terhadap kedatangan Allah kepada kita melalui Anak-Nya, Yesus. Pelan ini direka bentuk untuk bermula pada hari Isnin supaya setiap hujung minggu merangkumi kandungan yang lebih pendek yang dimaksudkan untuk rehat dan renungan pada musim cuti. Sertai kami sementara kami mengkaji maksud kelahiran Kristus terhadap masa depan, masa sekarang dan masa lalu kita.
More