Penyembahan: Kajian MazmurSampel
Apakah yang dikatakan?
Pemazmur berlindung kepada Yang Maha Tinggi dan tinggal di bawah naungan Yang Maha Kuasa. Ia mengakui Allah dan berseru kepada-Nya, yang berjanji untuk menyertainya semasa kesusahan menimpa.
Apakah maksudnya?
Allah membuat janji yang unik kepada bangsa Israel; sesetengahnya nyata dalam petikan hari ini. Bayangkan mereka memiliki perlindungan kudus seperti itu sehinggakan mereka tidak perlu takut akan bencana, wabak, atau serangan musuh – asalkan mereka hidup taat kepada Tuhan Maha Kuasa. Janji-Nya melindungi mereka seperti sayap ayam betina yang melindungi anak ayam. Penulis tanpa nama mazmur ini hidup secara yakin dengan janji tersebut. Ia tidak perlu berlari kepada Tuhan apabila kesusahan melanda; ia sudah berlindung dalam Dia apabila kesulitan menimpa. Allah tidak menjauhkannya daripada semua masalah tetapi berjanji untuk menyertainya semasa kesusahannya.
Bagaimana saya harus memberikan respons?
Yesus tidak pernah menjanjikan pengikut-Nya kesenangan bila mereka menjalankan hidup yang menyenangkan hati-Nya; sebenarnya Dia mengatakan hal yang bertentangan. Orang Kristian sepanjang zaman dianiayai kerana iman mereka dalam Kristus. Meskipun sekarang ini, anda mungkin mengenali orang percaya yang salih dan setia yang menderita kerana penyakit yang teruk atau tragedi yang lain. Walau bagaimanapun, kita memiliki janji bahawa Tuhan mendengar apabila kita berdoa (1 Yohanes 5:14-15) dan menyertai kita sepanjang setiap kesusahan yang dihadapi (Matius 28:20). Memanglah mungkin untuk berehat tanpa ketakutan dalam kedamaian-Nya, menyedari bahawa tiada apa-apa dapat menyentuh hidup anda melainkan Tuhan anda yang penyayang membenarkannya. Adakah anda tinggal di bawah naungan-Nya hari ini?
Kitab
Perihal Pelan
Mazmur merupakan koleksi sajak dan lagu yang ditulis lebih daripada 1,000 tahun lalu. Sementara Mazmur mengandungi pujian yang girang dan ratapan yang menyedihkan, seluruh kitab itu bersaksi tentang kasih Allah yang setia terhadap umat-Nya dalam setiap keadaan. Sebagai teras penyembahan Perjanjian Lama, setiap mazmur menjangka kemuncak pujian Allah dalam kematian dan kebangkitan Yesus Kristus.
More