Setiap Bahasa: Mendengar Allah yang Berbilang BahasaSampel
Kasih itu penyabar
Kata-kata ini adalah biasa dalam banyak majlis perkahwinan dan khutbah. Namun, seperti banyak perkara dalam hidup ini, memanglah berguna untuk memandang hal yang biasa dengan pandangan baru—dalam keadaan ini, melalui pandangan bahasa selain daripada bahasa Inggeris.
Mengapa? Bukan kerana penterjemah Alkitab bagi bahasa lain ialah ahli teologi yang lebih baik atau mempunyai wawasan rohani yang baru, tetapi kerana bahasa mereka memaksa mereka untuk mengungkapkan teks asal dalam cara yang dapat mendedahkan kebenaran yang tidak dapat diakses secara langsung oleh kita.
Apakah yang mungkin "dibongkar" oleh bahasa lain dalam kenyataan seperti "kasih itu penyabar"? Marilah bermula dengan "kasih".
"Kasih" ialah kata nama abstrak—satu perkataan yang menggambarkan sesuatu yang tersembunyi. Dalam bahasa Inggeris (dan Yunani Koine, bahasa asal Perjanjian Baru) terdapat banyak kata nama abstrak, dengan perkataan seperti kematian, kebebasan, kekucar-kaciran, pengetahuan, dan demokrasi. Bahasa lain mempunyai kurang kata nama abstrak ataupun tiada langsung.
Kata nama abstrak kerap dibentuk dengan menukarkan kata kerja menjadi kata nama, seperti keadaannya dengan "kasih". Walau bagaimanapun, dalam bahasa yang tiada kata nama abstrak, "kasih" kekal sebagai kata kerja, maka memerlukan dua perincian tambahan: orang yang mengasihi dan siapa (atau apa) yang dikasihi oleh orang itu.
Jika anda ialah seorang penterjemah Alkitab yang ditugaskan untuk menterjemahkan "kasih itu penyabar" kepada bahasa di mana kasih ialah kata kerja yang tidak dapat ditukar menjadi kata nama, anda perlu membuat kesimpulan tentang maklumat penting berkenaan siapa yang mengasihi siapa. Dua bahasa tersebut ialah bahasa Lamogai, bahasa yang dituturkan di Papua New Guinea, dan bahasa Tezoatlán Mixtec, bahasa yang dituturkan di Mexico. Memandangkan teks Yunani asal tidak memberikan bukti langsung tentang subjek dan objek kasih ["siapa (who)" dan "siapa (whom)"], anda perlu melihat konteksnya, maklumat di sekitar ayat yang dikaji ini.
Dave Brunn, seorang penterjemah Lamogai yang menterjemahkan 1 Korintus 13:1-3, menyedari bahawa Paulus sentiasa merujuk kepada dirinya ("Kalaupun aku dapat bertutur dalam semua lidah manusia…," "aku hanya seperti gong tembaga yang berbunyi bising…," dsb). Dave menyimpulkan bahawa jika Paulus memasukkan dirinya, maka "siapa (who)" yang mengasihi itu mestilah "orang (people)."
John Williams, seorang penterjemah Tezoatlán Mixtec, menjelaskan bahawa "pada mulanya, pasukan penterjemah berfikir bahawa ia mungkinlah Allah mengasihi kita, tetapi [kemudian] kami memerhatikan selepas mengatakan kasih itu penyabar dan penyayang, lapan kenyataan seterusnya mengatakan sifat yang bukan sifat kasih," dan menyimpulkan bahawa kenyataan negatif tersebut tidak dapat dikaitkan dengan Allah.
Bagi objeknya, "siapa (whom)", nampaknya jelas bahawa ini juga bercakap tentang "orang (people)", kerana seperti yang dijelaskan oleh Dave, "Bilakah kita paling kerap menunjukkan ciri seperti kesabaran, kebaikan hati, bercakap besar, kesombongan, dan kemarahan? Biasanya dalam hubungan kita dengan orang lain."
Oleh itu, penterjemahan anda seharusnya seperti ini: "Orang yang mengasihi orang bertindak sabar terhadap orang itu" atau "Semasa kita mengasihi orang lain, kita menahan apa yang dilakukan oleh mereka di dalam hati kita."
Cubalah membaca 1 Korintus 13:4-7 lagi, kali ini mengungkapkan semula ayat kasih menjadi kenyataan tindakan peribadi dengan nama anda sebagai subjek dan orang—barangkali orang yang khusus—sebagai objek. Bagaimanakah ini mengubah perspektif anda terhadap kerja keras kasih? Bagaimanakah ini meregangkan otot kasih peribadi anda?
Kitab
Perihal Pelan
Komunikasi Allah dengan manusia dirancang untuk "setiap bangsa, suku dan bahasa" dari mula lagi. Sementara semua bahasa sama-sama cekap dalam mengungkapkan mesej Alkitab, setiap bahasa memiliki keupayaan tersendiri untuk menyampaikan mesej alkitabiah tertentu dalam cara yang luar biasa mengayakan yang tidak dilakukan oleh bahasa lain. Pelan Alkitab ini meneroka tujuh harta karun tersebut yang akan memperluas cara anda fikir tentang Allah dan berita baik-Nya.
More