Salib & MahkotaSampel
Sebab Dia Hidup
Kenyataan bahawa Yesus Kristus telah bangkit daripada kematian memberikan kita dasar mutlak yang tidak dapat dipersoalkan lagi bagi hal-hal lain yang kita percayai. Pertama, kita mempunyai keyakinan mengetahui bahawa Allah kita hidup. Yesus bukanlah pengkhutbah atau guru bergerak semata-mata; Dia mendakwa bahawa Dia ialah Mesias, Anak Allah yang hidup (Mat 16:16-17). Tuhan memberitahu murid-murid-Nya bahawa melihat Dia bermaksud melihat Bapa (Yoh 14:9); dan sebenarnya, itu merupakan salah satu sebab Dia datang—untuk menyatakan Bapa syurgawi supaya kita boleh memahami sifat-Nya.
Semua sistem kepercayaan yang lain mempunyai peribadi yang dikatakan allah mereka, tetapi kita tahu bahawa pemimpin mereka telah dikuburkan, lalu mempersoalkan "ketuhanan" allah tersebut. Kristus telah bangkit daripada kematian untuk mengesahkan dan menetapkan sekali untuk selama-lamanya bahawa Allah kita ialah satu-satunya Allah yang benar, Pencipta segala sesuatu. Dia yang telah mencipta kita tidak boleh dibentuk oleh kita. Dia yang kita sembah adalah hidup—tidak mati, bukannya tidak bernyawa, ataupun satu idea yang difikirkan dalam fikiran manusia. Pertimbangkan: Melainkan anda percaya bahawa Yesus Kristus sudah bangkit daripada kematian, anda sama adanya menyembah sesuatu atau tidak menyembah apa-apa, satu situasi yang dianggap bodoh oleh Yesaya dan dikatakan menimbulkan rasa belas oleh Paulus. Mengapa? Kerana orang tanpa Kristus yang hidup tidak mempunyai keyakinan tentang apa-apa.
Anda mungkin tertanya-tanya, Sekiranya Kristus itu hidup, di manakah Dia? Apakah yang sedang dilakukan-Nya? Alkitab menyatakan dengan jelas bahawa Yesus berada di sebelah kanan Bapa, memohon kepada Bapa bagi kita (Ibr 7:25; 10:12). Dia ialah Allah hidup yang mengambil berat, mengasihi, mendengar, dan menjawab doa kita. Dialah Tuhan kita yang maha pengampun, sentiasa memohon bagi kita di hadapan Bapa. Dalam pada itu, Tuhan Yesus ialah Allah Anak, yang menyediakan tempat untuk setiap orang yang mempercayai-Nya (Yoh 14:2). Dia jugalah Penyelamat yang telah bangkit yang berjanji dengan murid-murid-Nya bahawa, walaupun Dia akan pergi, Dia tidak akan meninggalkan mereka sendirian seperti yatim piatu—Yesus meyakinkan mereka bahawa Dia akan mengutus Roh Kudus untuk mengajar dan memimpin setiap pengikut-Nya sehingga Dia kembali lagi (Yoh 14:16, 18).
Jadi sekarang ini, setiap orang percaya didiami Roh Allah yang hidup, sejak ia menerima Kristus sebagai Penyelamat. Sebagai orang Kristian, kita ditera selama-lamanya dengan hari penebusan apabila kita dipanggil pulang ke syurga. Allah kita hidup dan aktif dalam dan melalui hidup anak-anak-Nya, dan Dia bersedia untuk menyelamatkan sesiapa sahaja yang sanggup mengakui dosa dan menerima hadiah pengampunan yang diberikan oleh-Nya dengan rela.
Perihal Pelan
Sebahagian besar daripada Perjanjian Baru ditulis supaya kita akan mengenali Yesus Kristus, keselamatan yang diperoleh melalui kematian-Nya di salib, dan janji kebangkitan-Nya. Dalam renungan ini, Dr. Charles Stanley merenungkan darah Yesus yang berharga, kebangkitan, dan hadiah hidup sejati dan kekal yang diperoleh bagi pihak anda. Sertainya dalam mengingati upah yang dibayar oleh Yesus dan raikan kedalaman kasih Bapa yang besar.
More