Salib & MahkotaSampel

Cross & Crown

HARI 5 DARIPADA 7

Kebangkitan—Mengapakah Ia Penting

Bagaimana kalau Yesus Kristus tidak bangkit daripada kematian? Bagaimana pula dengan kita? Apakah keyakinan kita tentang apa-apa dalam kehidupan? Keyakinan dan fikiran kita tentang kematian, serta harapan kita tentang kewujudan selepas hidup ini akan dipengaruhi.

Allah tahu bahawa kebangkitan Yesus akan menimbulkan banyak soalan dalam fikiran kita; sebab itulah Dia memimpin Paulus untuk memberikan kita beberapa jawapan. Dalam 1 Korintus 15:14, rasul Paulus menangani isu utama: Bagaimana kalau kebangkitan tidak berlaku? Dia menulis, "Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka."

Ini bermaksud jika kebangkitan tidak berlaku, iman kita adalah kosong dan tidak berdasar; kita ialah saksi palsu, menyebarkan dusta; semua usaha kita demi kepercayaan adalah tidak bernilai; dan membaca Alkitab serta berkongsi berita baik membazirkan masa sahaja (1 Kor 15:17). Semua pengikut Kristus yang meninggal dunia dengan kepercayaan bahawa mereka ditakdirkan untuk kehidupan kekal mati semata-mata, harapan mereka akan syurga cumalah delusi (1 Kor 15:18). Hal yang paling teruk adalah kita masih hidup dalam dosa kita (1 Kor 15:17), masih bersalah, dan harus mati sebagai hukuman bagi dosa kita (Rm 6:23). Paulus meringkaskan semua ini sedemikian: "Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini" (1 Kor 15:19).

Syukurlah, harapan kita tidak terbatas dalam kehidupan ini kerana Yesus betul-betul telah bangkit daripada kematian. Allah, dalam kebijaksanaan-Nya, telah memberikan kita bukti yang tidak dapat disangkal. Untuk permulaan, kubur dijaga oleh askar Roma, yang pasti akan dihukum mati jika mereka gagal mematuhi perintah. Meskipun langkah berjaga-jaga ini bertujuan menghalang pengikut Kristus daripada mencuri mayat-Nya dan membuat dakwaan palsu bahawa Dia telah bangkit (Mat 27:62-66), kubur itu tetap kosong. Satu lagi tanda adalah kehidupan yang berubah—sesuatu yang penting perlu berlaku supaya murid-murid Kristus yang berasa takut itu menjadi pembawa injil yang berani walaupun menghadapi ancaman ganas (Yoh 20:19).

Yang paling penting, Yesus sendiri berjanji bahawa Dia akan bangkit daripada kematian (Mat 16:21). Dia mendakwa bahawa Dia dan Bapa satu (Yoh 10:30), jadi Dia sama ada Anak Allah yang hidup, ataupun Dia itu pembohong. Walau bagaimanapun, rekod menunjukkan bahawa Dia tidak pernah berbohong (Yoh 14:6). Segala sesuatu yang dijanji atau diramal oleh Dia telah berlaku, seperti yang dinyatakan-Nya, kecuali ramalan yang belum berlaku (seperti kedatangan kedua-Nya). Ini juga akan berlaku pada suatu hari nanti sebagaimana yang diramalkan oleh-Nya, kerana tiada kepalsuan tentang Anak Allah yang tidak berdosa (Yoh 7:18).

Hari 4Hari 6

Perihal Pelan

Cross & Crown

Sebahagian besar daripada Perjanjian Baru ditulis supaya kita akan mengenali Yesus Kristus, keselamatan yang diperoleh melalui kematian-Nya di salib, dan janji kebangkitan-Nya. Dalam renungan ini, Dr. Charles Stanley merenungkan darah Yesus yang berharga, kebangkitan, dan hadiah hidup sejati dan kekal yang diperoleh bagi pihak anda. Sertainya dalam mengingati upah yang dibayar oleh Yesus dan raikan kedalaman kasih Bapa yang besar.

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada In Touch Ministries kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://intouch.cc/yv-easter