Salib & MahkotaSampel
Penebusan & Pengampunan
Tanpa darah Kristus, tiada orang yang dapat menjalin hubungan dengan Bapa syurgawi. Disebabkan Allah itu kudus, dosa kita menghalang sebarang peluang untuk berhubungan dengan-Nya. Walau bagaimanapun, dengan penyayang, Dia telah merancang dan memulakan perdamaian dengan bangsa manusia yang telah berdosa. Darah Yesus menyediakan segala sesuatu yang diperlukan untuk mendekati Bapa syurgawi.
"Menebus" bermaksud "membeli balik sesuatu." Yesus Kristus telah datang ke salib dengan tujuan utama membeli kita daripada kehidupan yang diperhambakan oleh dosa. Anda mungkin fikir anda ialah orang yang agak baik dan tidak rasa diperhambakan oleh dosa. Namun, walau betapa bermoral seseorang itu pun, setiap manusia sudah berdosa (Rm 3:23).
Demi membebaskan kita, satu upah perlu dibayar. Namun, kepada siapa? Yesus tidak membayar iblis; Dia menanggung akibat yang ditetapkan oleh Allah untuk memenuhi keadilan kudus-Nya. Berdasarkan Yehezkiel 18:20, "Orang yang berdosa akan mati." Kos penebusan kita ialah darah Anak Allah yang sempurna—dan Dia membuat pengorbanan ini mengambil tempat kita. Disebabkan Bapa telah menerima bayaran Kristus, kita telah dibebaskan daripada ikatan dosa dan telah menerima kuasa Roh Kudus, yang membolehkan kita untuk hidup dalam kebebasan ketaatan terhadap Bapa.
Berhubung dengan pengampunan dosa kita, kebanyakan orang mempunyai idea bahawa Tuhan akan mengampunkan mereka kerana mereka bermohon pada-Nya. Hal yang mereka tidak faham adalah dasar pengampunan-Nya bukanlah permohonan mereka, tetapi pembayaran hutang mereka oleh Kristus. Tuhan tidak dapat mengampunkan kesalahan hanya kerana seseorang memohon agar Dia berbuat demikian. Kekudusan-Nya tidak membenarkan-Nya untuk tidak mengendahkan dosa; dosa mesti dihukum. Keadilan-Nya tidak membenarkan-Nya untuk mengampunkan pelanggaran tanpa bayaran.
Melalui kematian penggantian Anak Allah yang sempurna sahajalah Bapa mempunyai asas yang sah untuk mengampunkan sesiapa yang mendekati-Nya secara beriman dan dalam pertaubatan (Ef 1:7). Kita tidak dapat melakukan apa-apa untuk memperoleh pengampunan-Nya. Pengampunan kita hanya diberikan apabila darah Kristus dikenakan pada kehidupan kita.
Perihal Pelan
Sebahagian besar daripada Perjanjian Baru ditulis supaya kita akan mengenali Yesus Kristus, keselamatan yang diperoleh melalui kematian-Nya di salib, dan janji kebangkitan-Nya. Dalam renungan ini, Dr. Charles Stanley merenungkan darah Yesus yang berharga, kebangkitan, dan hadiah hidup sejati dan kekal yang diperoleh bagi pihak anda. Sertainya dalam mengingati upah yang dibayar oleh Yesus dan raikan kedalaman kasih Bapa yang besar.
More