Salib & MahkotaSampel
Darah Yesus yang Berharga
Bila kali terakhir anda dengar khutbah atau menyanyikan lagu tentang darah Yesus? Sesetengah gereja hari ini mendapati konsep ini ketinggalan zaman ataupun mengerikan. Lagu yang menyebut tentang "darah" telah dikeluarkan daripada buku him. Namun, tanpanya, tiada harapan untuk hubungan dengan Allah, tiada jaminan keselamatan, dan tiada keyakinan bahawa doa kita didengar.
Alkitab tidak pernah mengelak daripada menyebut tentang darah. Sebenarnya, konsep darah beralir seperti benang merah daripada Kejadian hingga Wahyu. Jika anda menghapuskan rujukan tentang darah daripada Alkitab, apa yang tinggal cumalah buku sejarah dan sastera. Apa jua yang Allah rasa sepenting ini tidak harus diketepikan.
Imamat 17:11 memberitahu kita bahawa Allah telah memberikan darah untuk menghapuskan dosa kerana "nyawa tiap-tiap makhluk" terkandung di dalam darahnya. Perkataan "penebusan," seperti yang digunakan dalam Perjanjian Lama, bermaksud "penutup." Melalui sistem korban penyembahan yang ditetapkan oleh Tuhan, dosa manusia telah ditutup oleh darah binatang yang tidak bersalah.
Keseriusan dosa dinyatakan oleh kos penebusan yang agung—hukumannya ialah kematian; dan mesti dibayar oleh orang yang bersalah itu ataupun seorang pengganti yang boleh diterima. Demi menutupi pelanggaran, binatang yang dipersembahkan mestilah tidak bercacat cela. Setiap korban di mazbah merupakan penggenapan hukuman mati yang dikehendaki oleh hukum Allah.
Sistem korban mengajar umat bahawa Tuhan adalah kudus, pelanggaran mesti dihukum, dan penebusan dosa hanya berlaku melalui penumpahan darah. Pengaturan ini merupakan bayangan apa yang bakal berlaku. Disebabkan pengorbanan binatang boleh menutupi dosa, satu "anak domba utama" diperlukan untuk menghapuskan semua dosa manusia.
Pada suatu hari, ketika Yohanes Pembaptis berada di Sungai Yordan, “Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia" memasuki sejarah manusia (Yohanes 1:29). Korban sempurna untuk dosa sudah sampai. Dia "dipilih oleh Allah sebelum dunia ini diciptakan" dan datang ke dunia ini untuk menggenapi rancangan penebusan Tuhan yang menakjubkan dengan mencurahkan darah-Nya yang berharga (1 Petrus 1:18-20).
Yesus bukanlah manusia sahaja; Dia ialah Anak Allah yang telah menjadi manusia. Kelahiran-Nya adalah luar biasa kerana seorang anak dara mengandung kerana kuasa Roh Kudus. Memandangkan tiada dosa dipindahkan kepada-Nya daripada bapa duniawi-Nya, Yesus ialah Anak Domba Allah yang tidak bercacat cela—Dia merupakan satu-satunya orang yang tidak berdosa, oleh itu, satu-satunya korban yang sesuai untuk kesalahan seluruh bangsa manusia.
Perihal Pelan
Sebahagian besar daripada Perjanjian Baru ditulis supaya kita akan mengenali Yesus Kristus, keselamatan yang diperoleh melalui kematian-Nya di salib, dan janji kebangkitan-Nya. Dalam renungan ini, Dr. Charles Stanley merenungkan darah Yesus yang berharga, kebangkitan, dan hadiah hidup sejati dan kekal yang diperoleh bagi pihak anda. Sertainya dalam mengingati upah yang dibayar oleh Yesus dan raikan kedalaman kasih Bapa yang besar.
More