Sikap Sampel

Attitude

HARI 3 DARIPADA 7

Sebenarnya Dia Ilahi

Demi menjadi hamba yang baik, seseorang itu harus memantapkan kedudukannya dalam kasih Kristus dengan kerendahan hati.—Basil dari Kaisarea

Dalam ayat hari ini, Paulus memetik him lama untuk menggambarkan kerendahan hati yang sempurna. Yesus, meskipun Dia ialah Allah, datang ke bumi dan menjadi manusia. Dia mati di salib untuk kita, mengorbankan diri-Nya kerana kasih-Nya yang besar bagi kita. Yesus menjadi contoh sikap kerendahan hati yang muktamad—tetapi bagaimana kita memperolehnya?

Paulus menangani isu pembandingan antara orang Kristian, dalam sesetengah keadaan disebabkan oleh latar belakang agama atau status sosio-ekonomi yang berbeza. Banyak antara kita masih menghadapi masalah yang sama sekarang ini. Pernahkah anda rasa sikap anda bertambah negatif apabila anda membandingkan diri dengan orang lain? Pernahkah anda melayan orang secara berbeza kerana mereka memiliki lebih banyak atau kurang wang daripada anda? Pernahkah anda rasa kecewa dengan orang yang kelihatan, bertindak, atau bertutur secara berbeza daripada anda?

Apabila kita membandingkan diri dengan orang lain, memanglah lebih mudah untuk lupa betapa berharganya orang itu pada mata Allah. Daripada perspektif Allah, setiap orang telah dicipta mengikut gambar-Nya, dikasihi sepenuhnya oleh Dia, dan wajar menerima nyawa Yesus. Apabila kita mendekati orang lain dengan mana-mana keadaan fikiran yang lain, kita bertindak di luar kerendahan hati yang ditunjukkan oleh Yesus dan menimbulkan kerenggangan hubungan dan luka yang tidak patut terjadi.

Sikap kerendahan hati boleh mengubah segala-galanya. Kerendahan hati menolong kita untuk lebih menghargai orang lain dan menjemput mereka untuk melihat diri sebagaimana Yesus melihat mereka. Secara praktis, mengamalkan kerendahan hati mungkinlah mempertahankan rakan kerja daripada ejekan, memastikan semua orang yang duduk bersama-sama di meja makan diperkenalkan, meminta maaf kepada anak anda, atau duduk bersama dengan orang yang bersendirian. Ini bermakna mendoakan berkat bagi orang yang tidak bersetuju dengan anda, dan cuba memahami pandangan mereka. Yesus menghargai hidup kita sebagai bernilai seperti nyawa-Nya sendiri, oleh itu marilah kita mengikuti jejak-Nya dan memandang orang di sekeliling kita sebagai berharga—wajar menerima masa, kemuliaan, dan perhatian kita.

Doa: Allah, Engkau telah mencipta manusia menurut gambar-Mu. Kami semua amat berharga pada mata-Mu sehinggakan Engkau menjalankan hidup-Mu—dan akhirnya mengorbankan hidup-Mu—untuk menyelamatkan kami daripada diri kami sendiri. Tolonglah saya untuk mengamalkan kerendahan hati-Mu yang luar biasa dalam kehidupan seharian saya, dan pimpinlah saya untuk melayan orang lain dengan kasih yang telah Engkau tunjukkan kepada saya. Dalam nama Yesus, amin.

Hari 2Hari 4

Perihal Pelan

Attitude

Bagaimanakah kita menemui sikap yang betul untuk setiap situasi? Apakah sikap yang betul? Pelan Alkitab tujuh hari ini menemui jawapan dalam hidup dan ajaran Kristus. Izinkan dorongan harian, doa renungan, dan ayat Alkitab yang berkuasa ini membentuk minda Kristus dalam diri anda.

More

Kami bersyukur kepada Life.Church kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.life.church/