Lelaki di Salib Tengah: Pelan Bacaan 7 Hari PaskahSampel
DIA MENGHEMBUS NAFAS-NYA YANG TERAKHIR
“Yesus berseru dengan kuat, ‘Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!’ Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.” LUKAS 23:46 (AVB)
Keringkasan kata-kata ini menunjukkan kita kepada kebenaran yang tidak dapat dinyatakan melalui tangisan.
Lukas, yang teliti, memberikan kita “catatan yang teratur” tentang penyaliban Yesus— catatan yang diterangkannya pada permulaan Injilnya, merupakan hasil penyiasatan yang teliti dan ditulis supaya pembacanya “dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar” (Lukas 1:3-4). Lukas tidak memasukkan kehibaan dalam penulisannya. Sebaliknya, Lukas menulis agar kita dapat memahami kebenarannya. Maka penghembusan nafas terakhir Yesus dicatatkan dengan frasa yang mudah: “Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.”
Hal yang Lukas mahu kita pertimbangkan ialah kawalan Yesus terhadap nafas terakhir-Nya. Dia memilih untuk menyerahkan roh-Nya ke dalam tangan Bapa-Nya yang penyayang. Dia sedar bahawa kerja-Nya sudah selesai. Dosa telah dilunaskan, tirai telah koyak, dan umat-Nya boleh memasuki hadirat Bapa-Nya selama-lamanya. Berserta dengan segala sesuatu yang telah dikatakan oleh Yesus sebelum penyaliban-Nya, kata-kata terakhir-Nya menyangkal tanggapan bahawa kematian-Nya cumalah kematian seorang mangsa yang tidak berdaya yang dilanda keadaan yang kejam. Dia memberitahu murid-murid-Nya beberapa bulan sebelum bahawa Dia akan pergi ke Yerusalem dan “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan ... Dia akan dibunuh” (Lukas 9:22). Yohanes memberitahu kita bahawa Dia telah menjelaskan kepada mereka, “Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali. Tidak seorang pun dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan Aku berhak mendapatnya kembali” (Yohanes 10:17-18).
Yesus tidak pergi ke salib tanpa dapat berbuat apa-apa tetapi secara rela. Selaras dengan tujuan Bapa, Dia memilih masa Dia akan mengorbankan nyawa-Nya untuk kawanan domba-Nya (Yohanes 10:11). Di sinilah kita melihat sumber hayat menghembuskan nafas-Nya yang terakhir secara rela dan mengingatkan kita tentang kewibawaan mutlak-Nya serta kasih-Nya yang tidak habis-habis. “Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir” supaya anda boleh menghirup udara segar yang bersih yang tersedia bagi anda saat anda dilahirkan semula. “Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir” supaya suatu hari nanti anda akan berdiri dalam ciptaan terpulih dan menghirup udara yang tidak akan rosak atau reput. Dia yang berdaulat ke atas udara yang anda hirup menghembuskan nafas terakhir-Nya secara berdaulat. Dia patut menerima pujian dan pemujaan anda.
- Bagaimanakah Allah sedang memanggil saya untuk berfikir secara berbeza?
- Bagaimanakah Allah mengatur semula kesukaan hati saya—apakah yang saya kasihi?
- Apakah yang Allah panggil saya untuk lakukan semasa saya menjalankan hari saya hari ini?
Perihal Pelan
Hampir setiap orang bersetuju bahawa dunia ini porak-peranda. Namun, bagaimana kalau ada penyelesaiannya? Pelan Paskah tujuh hari ini bermula dengan pengalaman unik pencuri di salib dan mempertimbangkan mengapa satu-satunya jawapan yang sebenar bagi keporak-perandaan ditemui dalam pelaksanaan hukuman mati seorang lelaki yang tidak bersalah: Yesus, Anak Allah.
More