Duduk dalam Keheningan: 7 Hari untuk Menantikan Janji AllahSampel
HARI 4
DUDUK DALAM KEHENINGAN: MENURUT KEHENDAK-NYA
Banyak antara kita fikir semua perkara akan berjalan lancar jika kita melakukan kehendak Allah. Allah tidak menjanjikan jalan yang senang. Walau bagaimanapun, Dia berjanji untuk menyertai kita dan melindungi kita dalam kehendak-Nya. Semasa kita berjalan di sepanjang jalan Allah, banyak antara kita berasa kurang senang dengan penentangan kerana kita menjangka Allah untuk menyelesaikan segala-galanya mengikut kehendak kita. Apabila ketidakselesaan timbul, kita mula meragui suara Allah dan kehendak-Nya bagi hidup kita.
Kadang kala, kita mengalami ketidakselesaan dan kesusahan kerana kita bergerak pada waktu yang salah, dan ada kalanya itu merupakan sebahagian daripada kehendak Allah. Semasa kita mentaati suara Allah, halangan kecil ini mengajar dan menguatkan kita sementara kita berada di tempat yang paling selamat; kehendak Allah.
Jika kita ingin melihat salah satu catatan Alkitab yang terbaik tentang berada di bawah kehendak Allah, kita harus melihat perjalanan Yusuf dan Maria untuk melahirkan anak Allah di dunia ini. Semasa mereka mencari tempat untuk melahirkan Yesus, mereka pastinya telah berdoa dan meminta Allah untuk memimpin mereka serta memberikan tempat yang istimewa untuk kelahiran Yesus. Apabila doa mereka kelihatannya tidak dijawab, saya tertanya-tanya jika mereka rasa Allah telah mengabaikan mereka dalam janji yang telah diberikan-Nya kepada mereka. Mereka mungkin mula meragui janji Allah; banyak antara kita akan meragu-ragu. Walaupun demikian, Yusuf dan Maria meneruskan dengan beriman; mereka tidak meninggalkan rancangan itu kerana keadaan itu berbeza daripada janji yang diterima.
Sekiranya anda berjalan dalam apa yang kelihatan seperti cara Allah yang bukan konvensional untuk menyatakan tujuan ke dalam hidup anda, terus berdoa dan mempercayai Allah, meskipun di "tempat yang sunyi". Jangan berputus asa atau meragui tujuan Allah dalam hidup anda kerana semua itu berjalan mengikut kehendak-Nya, bukan kehendak anda. Berdoalah hari ini tentang "tempat sunyi" anda, bertekad untuk bergerak dalam Kehendak Allah dan Kehendak-Nya sahaja.
Perihal Pelan
Ada kalanya kita menerima janji Allah, tetapi kita tidak melihat diri kita selaras dengan janji yang diberikan oleh Allah itu. Ataupun, kadang-kadang kita berada di persimpangan hidup kita, bergantung pada Allah untuk menunjukkan arah, tetapi kita hanya mendengar kesunyian. Renungan 7 hari ini akan berbicara kepada hati anda tentang cara bergerak ke arah Kehendak Allah bila Allah nampaknya diam.
More