Kekaguman yang Tak Makan Dek Zaman | Pelan Bacaan Krismas daripada New Life Church Sampel
Hari 18
Antara semua nabi, Yesaya paling banyak dipetik dalam Perjanjian Baru. Rasul Yohanes mengatakan bahawa Yesaya "sudah melihat kemuliaan Yesus lalu berkata-kata tentang Dia."
Bayangkan itu! Yesaya melihat Yesus duduk di takhta syurgawi-Nya lebih daripada 700 tahun sebelum Dia dilahirkan! Pada waktu yang dipenuhi kekaguman ini, Yesaya betul-betul menyedari bahawa ia, salah seorang daripada nabi yang paling hebat, tidak memadai.
Apabila Yesaya melihat Yesus, ia berseru, "Malangnya aku! Aku binasa! Sebabnya aku seorang yang najis bibir." Yesaya mengingati dan menyesali perkara yang telah dikatakan dan dilakukannya yang tidak mencapai kekudusan Allah.
Namun, Allah kita yang berbelas kasihan tidak meninggalkan Yesaya tanpa harapan! Allah segera mengutus malaikat kepada Yesaya, mengingatkannya bahawa kesalahannya telah dihapuskan dan dosanya sudah diampunkan.
Seperti Yesaya, kita boleh rasa demikian juga—binasa, najis bibir—kerana itu adalah benar. Kita mengingati perasaan patah semangat apabila kita mengucapkan kata-kata yang diharapkan boleh ditarik balik, terkejut bahawa kita mengucapkan sesuatu yang begitu melukakan. Kita mengingati waktu hidup seseorang dapat dipulihkan jika kita berani berucap, tetapi kita teragak-agak.
Alkitab mengatakan bahawa tiada seorang pun yang baik; tanpa Penyelamat, kita tidak dapat berdiri di hadapan Allah. Seperti Yesaya, kita mengingati dan menyesali kesalahan kita. Kita berharap kita boleh memutar balik masa dan memilih jalan yang berbeza, tetapi kita tidak dapat berbuat demikian. Sesetengah kenangan yang menimbulkan penyesalan mungkin bukanlah kesalahan kita, tetapi kita menanggung penderitaan kenangan tersebut, membuat kita rasa tidak layak atau tidak suci.
Oleh itu, kita memiliki janji harapan yang berkuasa apabila kita menyedari bahawa kita dibenarkan oleh darah yang dicurahkan oleh Yesus demi kita. Seperti Yesaya, rasa bersalah kita dihapuskan, dan dosa kita diampunkan.
Kebenarannya ialah Allah mengasihi anda. Itulah sebab Yesus datang, dan itulah sebab kita meraikan kelahiran-Nya. Imanuel. Allah menyertai kita.
Tindakan: Luangkan masa untuk mengucapkan syukur kepada Allah kerana masa lalu anda kurang berkuasa daripada kasih dan kasih kurnia Allah terhadap anda. Pilihlah untuk memaafkan sesiapa yang telah melukakan anda, dan jemputlah Allah untuk menggantikan sebarang bohong yang anda percaya tentang diri anda dengan kebenaran bahawa Dia sentiasa mengasihi anda dan sentiasa menyertai anda. Bersyukurlah kepada-Nya kerana Yesus telah menjadikan anda layak dan benar di hadapan Bapa kita yang baik.
Perihal Pelan
Pelan tiga minggu ini meneliti kekaguman yang tak makan dek zaman terhadap kedatangan Allah kepada kita melalui Anak-Nya, Yesus. Pelan ini direka bentuk untuk bermula pada hari Isnin supaya setiap hujung minggu merangkumi kandungan yang lebih pendek yang dimaksudkan untuk rehat dan renungan pada musim cuti. Sertai kami sementara kami mengkaji maksud kelahiran Kristus terhadap masa depan, masa sekarang dan masa lalu kita.
More