Kekaguman yang Tak Makan Dek Zaman | Pelan Bacaan Krismas daripada New Life Church Sampel

Timeless Wonder | a Christmas Reading Plan From New Life Church

HARI 11 DARIPADA 19

Hari 11

Dalam Matius 2, kita melihat seorang pemimpin jahat yang ketakutan, Raja Herodes, yang ingin sangat memusnahkan sebarang ancaman terhadap pemerintahannya. Raja Herodes mendengar berita bahawa Kristus telah dilahirkan daripada ahli ilmu bintang dari Timur. Ahli ilmu bintang tersebut ingin menyembah "Raja orang Yahudi", maka mereka menanya Herodes di mana mereka dapat menemui Dia.

Semasa anda membaca bab ini, anda akan melihat rancangan mahir yang digunakan oleh ahli ilmu bintang tersebut untuk mencari lokasi Yesus di Betlehem. Walau bagaimanapun, Herodes tidak berniat untuk menyembah Yesus ini. Herodes bertujuan untuk menipu dan bermulalah pemburuannya.

“Mereka berangkat, lalu di tengah perjalanan mereka nampak bintang yang pernah dilihat oleh mereka di sebelah timur. Alangkah sukacitanya ahli-ahli kaji bintang itu apabila mereka nampak bintang itu. Bintang itu mendahului mereka, lalu berhenti di atas tempat Anak itu. Mereka masuk ke dalam rumah itu dan nampak Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka sujud menyembah Anak itu, dan mereka mengeluarkan emas, kemenyan dan mur, lalu mempersembahkan semua hadiah itu kepada-Nya.”

Sesudah ahli ilmu bintang tersebut menemui Kristus, mereka boleh tunduk pada tekanan Raja Herodes untuk kembali menghadapnya dengan maklumat tentang lokasi Yesus. Namun, Matius 2 menyatakan bahawa mereka "diperingatkan oleh Allah supaya jangan kembali kepada Herodes," dan itulah yang dilakukan oleh mereka. Mereka pulang ke negeri asal mereka, manakala Yusuf dan Maria melarikan diri dari Betlehem untuk melindungi Yesus daripada Herodes dan pemburuannya yang ingin menumpahkan darah.

Dari segi sejarah, kita mengetahui sedikit sahaja tentang ahli ilmu bintang tersebut. Terdapat banyak teori tentang siapa mereka itu dan tentang negeri asal mereka, tetapi daripada teks yang dibaca ini kita merasakan mereka takut akan "peringatan oleh Allah" itu lebih daripada ketakutan mereka akan manusia itu, Herodes.

Apabila anda berfikir tentang ini, banyak keputusan yang kita buat setiap hari disebabkan oleh ketakutan kita akan Allah atau manusia. Kita ingin berfikir bahawa kita sentiasa lebih takut akan Allah dan tidak menghiraukan fikiran orang lain, tetapi kita sedar bahawa itu tidaklah benar; ada kalanya, tekanan sosial mendapat kemenangan ke atas kita. Kritikan manusia mungkin melukakan, dan tepukan manusia mungkin sangat menggembirakan. Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin hidup dan mati kerana kata-kata dan pengakuan orang lain.

Tindakan: Semasa anda berfikir tentang desakan dan tekanan kehidupan sehari-hari anda, adakah desakan dan tekanan itu berpunca daripada Allah atau manusia? Siapakah yang anda lebih ingin senangi dan muliakan? Jika anda rasa anda lebih takut akan manusia berbanding dengan Allah, bertaubatlah hari ini. Mintalah Allah untuk mengingatkan anda pada musim Krismas ini bahawa Dia ialah Tuhan dan pemerintah ke atas hidup anda dan seluruh ciptaan. Renungi ayat, "kasih yang sempurna melenyapkan segala perasaan takut," (1 Yohanes 4:18) semasa anda berdoa hari ini.

Hari 10Hari 12

Perihal Pelan

Timeless Wonder | a Christmas Reading Plan From New Life Church

Pelan tiga minggu ini meneliti kekaguman yang tak makan dek zaman terhadap kedatangan Allah kepada kita melalui Anak-Nya, Yesus. Pelan ini direka bentuk untuk bermula pada hari Isnin supaya setiap hujung minggu merangkumi kandungan yang lebih pendek yang dimaksudkan untuk rehat dan renungan pada musim cuti. Sertai kami sementara kami mengkaji maksud kelahiran Kristus terhadap masa depan, masa sekarang dan masa lalu kita.

More

Kami berterima kasih kepada New Life Church kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://newlifechurch.tv