Setiap Hati yang KerinduanSampel
Hamba yang Hina & Allahnya yang Mengagumkan
Ia ialah remaja yang belum kahwin dan akan menjadi hamil tidak lama lagi dari kota yang kecil, Nasaret. Menurut katanya sendiri, ia bukan siapa-siapa. Namun, malaikat Gabriel membawa berita yang bertentangan. Gabriel memberitahunya bahawa ia sangat diberkati oleh Allah dan ia berbahagia antara semua wanita…sentiasa.
Keistimewaannya yang tidak terduga ialah ia akan menjadi hamil dan melahirkan Anak, Mesias, dan kerajaan-Nya tidak akan berakhir. Walau bagaimanapun, butiran yang paling mengejutkan ialah ia akan menghamilkan Mesias sebagai anak dara.
Jika ada perempuan yang harus berasa cemas tentang berita kehamilan yang tidak dijangka, Marialah perempuan itu. Situasinya hampir mustahil untuk dijelaskan dan boleh memusnahkannya dari segi sosial. Namun, respons Maria terhadap berita ini lebih mementingkan hal kerohanian seperti utusan yang menyampaikannya. Respons Maria menunjukkan hati muda yang begitu penuh dengan kebenaran firman Allah sehinggakan tiada apa-apa yang dapat menggoyahkannya.
Nyanyian pujian Maria, atau Magnificat, penuh dengan pujian tentang apa yang telah dilakukan oleh Allah untuknya dan untuk Israel serta generasi masa depan. Semasa anda membacanya, fikirlah tentang hati Maria yang ingin sekali menyembah dan bersyukur.
1. Ia Bersyukur tentang Masa Sekarang
Terharu dengan pujian, Maria merujuk kepada Allah lebih daripada 20 kali dalam nyanyian pujiannya, dan lapan kali ia memuji-Nya kerana apa yang telah dilakukan oleh Dia. Hatinya selaras dengan melihat Allah bekerja dalam setiap lingkungan hidupnya. Keinginan terbesar Maria ialah membesar-besarkan, atau memuliakan, nama Tuhan.
2. Ia Bersyukur tentang Masa Depan
Maria melihat kerja penyelamatan Allah yang sedang dilakukan oleh Allah melalui Anak dalam kandungannya. Meskipun masih muda, ia menyedari bahawa Allah mengubah aturan sosial yang biasa dan mengangkat hamba yang hina sepertinya.
3. Ia Bersyukur tentang Masa Lalu
Disebabkan oleh pemahamannya yang dalam tentang Kitab Suci, Maria dapat melihat keadaannya berdasarkan segala sesuatu yang sudah dilakukan oleh Allah bagi Israel. Ia melihat peranannya dalam cerita penebusan Allah yang besar, kembali kepada perjanjian Abraham. Allah setia pada masa lalu dan akan terus setia di tengah-tengah semua perkara yang belum diketahuinya.
Maria mengakui bahawa ia cumalah seorang hamba Tuhan yang hina. Namun, Allah melihat melewati tarafnya dan memberikannya keistimewaan yang terindah yang pernah diberikan-Nya kepada mana-mana wanita.
Selepas Hawa, kita semua telah dilahirkan di bawah kutukan dosa, tetapi Anak lelaki Maria merupakan pengecualian. Bukan kerana Maria itu tidak berdosa tetapi kerana Yesus, yang dilahirkan oleh Roh Kudus tidak berdosa.
Maria diberkati, dan nyanyian pujiannya menyatakan hati muda yang penuh dengan kesyukuran dan kekaguman. Pertimbangkan kata-katanya, dan berusahalah untuk mencontohi kerendahan hatinya dan kesedarannya akan ketidaklayakannya di hadapan Allah. Semasa kita berbuat demikian, kita akan melihat Allah sebagaimana Maria melihat-Nya, kerinduan hati kita yang sebenar.
- Bersyukurlah kepada Allah kerana masa lalu, masa sekarang, dan masa depan anda. Bagaimanakah kesetiaan-Nya kepada anda pada masa lalu menambahkan kepercayaan anda dalam Dia sekarang ini dan bagi masa depan?
- Bagaimanakah Allah sedang mengatur semula kasih sayang anda untuk lebih mengasihi Dia?
- Bagaimanakah Allah sedang memanggil anda untuk menyatakan lebih banyak kesyukuran sekarang ini?
Kitab
Perihal Pelan
Dalam him Krismas Charles Wesley yang terkenal, "Kau yang Lama Dinantikan" (Come, Thou Long Expected Jesus), kita menyanyikan bahawa Yesus ialah sukacita bagi setiap hati yang kerinduan. Pada Adven ini, ketahuilah bagaimana perancangan kudus peristiwa manusia dan pelbagai respons terhadap kedatangan-Nya, mendedahkan kerinduan hati kita. Daripada raja dan pemerintah kepada gembala dan anak dara yang penuh harapan, kedatangan Yesus mendedahkan apa yang kita hargai. Temui Dia yang merupakan sukacita hati anda pada Krismas ini.
More