Menumpukan Hidup Anda Pada Menemui AllahSampel

Centering Your Life Around Meeting With God

HARI 7 DARIPADA 7

Hidup daripada Kesatuan

Salah satu konsep yang paling sukar difahami tentang iman Kristian ialah Allah, dalam segala kekudusan dan kasih-Nya, diam dalam hati manusia. Anda dan saya telah disatukan dengan Allah oleh darah Yesus. Tiada apa-apa yang dapat memisahkan kita daripada Dia lagi. Dia adalah lebih benar daripada bumi di bawah kaki kita.

Perjanjian Baru dipenuhi kebenaran tentang kesatuan kita dengan Allah. Galatia 2:20 mengatakan, “Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku.” 1 Korintus 6:19-20 mengatakan, “Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah. Roh itu tinggal di dalam kamu, dan Allah sendiri yang mengurniakan Roh itu kepada kamu. Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Allah. Kamu sudah dibeli oleh Allah dan harganya sudah dibayar lunas. Oleh itu, gunakanlah tubuh kamu untuk memuliakan Allah.”

Roma 6:4 mengatakan,“Dengan baptisan itu, kita dikubur dengan Kristus dan ikut mati bersama-sama Dia, supaya sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian oleh kuasa Bapa yang mulia, kita pun dapat mengamalkan hidup yang baru.”
Kolose 1:27 pula mengatakan,“Allah merancang untuk menyatakan rahsia-Nya kepada umat-Nya; rahsia yang agung dan mulia untuk umat manusia. Inilah rahsia itu: Kristus tinggal dalam diri kamu, dan hal ini bererti bahawa kamu akan ikut menikmati kemuliaan Allah.”

Tiada sedetik pun yang anda terpisah daripada Allah. Allah ada dalam anda dan menyertai anda melalui setiap dugaan, kejayaan, kemenangan, dan kekalahan. Dia berpihak kepada anda dan tersedia bagi anda sepanjang hari, setiap hari. Meskipun dalam dosa kita, Allah tetap bersama. Meskipun dalam pemberontakan kita, Allah diam dalam kita. Satu perkara lagi yang kita harus belajar ialah cara membenarkan kesatuan ini meresapi setiap lingkungan hidup kita. Mengerjakan keselamatan kita bermakna belajar mengetepikan perkara yang tergolong dalam diri kita yang dahulu dan hidup berdasarkan identiti baru kita yang bersatu dengan Kristus.

Jika kita benar-benar ingin menumpukan hidup kita pada menemui Allah, kita mesti belajar mengakui kenyataan bahawa Dia sudah menyertai kita. Dia bukanlah Allah yang berjauhan yang duduk di syurga dan turun ke bumi bila kita meluangkan masa untuk-Nya. Dia bukanlah Allah yang hanya diam di dalam gereja, persekutuan, pelayanan, atau paderi. Dia ialah Allah yang diam dalam anda, mengasihi anda, menyukai anda, dan ingin menyertai anda melalui komunikasi yang tetap.

Hari ini, luangkan masa untuk memperbaharui fikiran anda tentang kebenaran kesatuan anda dengan Allah. Mintalah Dia agar menyatakan kedekatan-Nya supaya anda boleh “menikmati kehidupan yang baru” hari ini - Roma 6:4. Bukalah ruang hati dan fikiran anda untuk membenarkan hadirat Allah untuk meresapi setiap lingkungan hidup anda. Semoga hari ini menandakan perubahan yang radikal dalam hidup anda semasa Allah mula bergerak, bekerja, memberkati, dan berbicara ke atas segala sesuatu yang dilaksanakan oleh anda.

Doa

1. Renungi kesatuan anda dengan Allah. Perbaharui minda anda dengan mempercayai Alkitab bukannya perasaan anda atau pengalaman lalu.

“Aku telah disalib bersama Kristus, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Anak Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku." Galatia 2:20

“Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula.” 2 Korintus 5:17

“Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah. Roh itu tinggal di dalam kamu, dan Allah sendiri yang mengurniakan Roh itu kepada kamu. Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Allah. Kamu sudah dibeli oleh Allah dan harganya sudah dibayar lunas. Oleh itu, gunakanlah tubuh kamu untuk memuliakan Allah.” 1 Korintus 6:19-20

2. Apakah lingkungan hidup anda yang tidak ditandakan oleh kesatuan dengan Roh Kudus? Dalam lingkungan hidup anda yang manakah anda menjalankan hidup seolah-olah Allah tidak menyertai anda? Dalam lingkungan yang manakah anda berusaha dan bekerja untuk perkara yang sudah menjadi milik anda dalam Yesus Kristus?

3. Mintalah Roh Kudus untuk menyatakan kedekatan-Nya. Mintalah Dia untuk menolong anda menjadi seseorang yang menerima bukannya bertungkus-lumus; berehat bukannya berjerih payah.

“Diamlah, dan ketahuilah Aku Allah.” Mazmur 46:10

Hari 6

Perihal Pelan

Centering Your Life Around Meeting With God

Hidup ini ditandakan oleh satu pililhan: siapa atau apa yang menjadi tumpuan hidup kita? Pilihan ini membawa kita kepada keputusan yang membentuk siapa kita ini, perasaan kita, siapa atau apa yang dihargai, dan perkara yang akan dicapai pada akhir hayat kita. Menumpukan hidup kita pada diri sendiri atau perkara dunia ini hanya menyebabkan kemusnahan.

More

Kami berterima kasih kepada First15 kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.first15.org/