Menumpukan Hidup Anda Pada Menemui AllahSampel

Centering Your Life Around Meeting With God

HARI 3 DARIPADA 7

Melihat Allah sebagai Bapa Kita

Jika ada satu gelaran bagi Allah yang berkuasa mengubah hidup orang percaya secara dramatik, gelaran itu ialah "Abba" atau "Bapa". Melihat Allah sebagai Bapa kita mengubah segala-galanya. Dalam buku Brennan Manning, The Furious Longing of God, ia menanya soalan yang sewajarnya dan berkuasa:

Adakah kehidupan doa peribadi anda dicirikan oleh kesederhanaan, sikap berterus terang seperti kanak-kanak, kepercayaan tidak terbatas, dan kemesraan senang anak kecil yang merangkak duduk di atas riba ayahnya? Keyakinan bahawa ayahnya tidak kisah jika anaknya tertidur, mula bermain dengan alat mainan, atau mula berbual dengan kawannya yang lain kerana ayah itu tahu pada asasnya anaknya telah memilih untuk menyertainya pada waktu itu? Adakah itu semangat kehidupan doa dalaman anda?

Semasa saya membaca soalan tersebut buat pertama kalinya, saya berfikir, "Pastinya tidak semudah itu. Sudah tentu Allah menjangkakan lebih banyak daripada saya." Kita terlepas perhatian tentang maksud sebenarnya menjadi anak Bapa yang baik, dekat, dan penyayang. Kita menganjurkan perasaan tidak yakin pada diri sendiri, perspektif dan pengalaman terhadap kasih yang terjelma dalam Allah. Tiada apa-apa yang boleh kita lakukan untuk membuat Allah lebih mengasihi kita lagi. Tiada apa-apa yang boleh kita lakukan untuk membuat Dia kurang mengasihi kita. Dia suka kita kerana Dia suka kita. Dia ingin menyertai kita kerana begitulah Dia, bukan kerana kita menimbulkan keinginan-Nya terhadap kita.

Yohanes 3:16 mengatakan,“Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.”

Meskipun kita berdosa dan terpisah daripada Allah, Dia cukup mengasihi kita untuk berkorban demi kita. Demikian dalamnya kasih-Nya terhadap kita sehinggakan Yesus mengorbankan nyawa-Nya sebagai penebusan kesalahan, kegagalan, kelemahan, dan kekurangan kita. Jika Allah mengasihi kita tanpa syarat ketika itu, Dia mengasihi kita tanpa syarat sekarang ini. Jika Allah memilih kita ketika itu, Dia memilih kita sekarang ini. Jika Allah menginginkan kita ketika itu, Dia menginginkan kita sekarang ini.

Demi menumpukan hidup kita pada menemui Allah, kita mesti memahami sifat kasih-Nya terhadap kita. Kita mesti mula berhubung dengan-Nya sebagai Bapa kita yang baik dan penyayang lebih daripada apa-apa yang lain. Kita mesti mengetepikan sebarang tanggapan bahawa Dia memarahi kita, berjauhan daripada kita, tidak mengasihi atau tidak menginginkan kita. Kita hanya akan tertarik kepada Bapa syurgawi kita sebanyak mana kita mempercayai firman-Nya dan mempercayai kasih-Nya terhadap kita. Luangkan masa pada hari ini untuk menerima kasih Allah yang besar dan tidak bersyarat terhadap anda. Benarkan kasih-Nya untuk mengarahkan semula perspektif dan kepercayaan anda. Berikanlah respons terhadap kasih-Nya yang besar dengan membuka hati anda dan bersekutu dengan Pencipta, Pemelihara, dan Bapa syurgawi anda yang maha penyayang.

Doa

1. Renungi kebaikan Allah sebagai Bapa anda yang sempurna. Apakah maksud hubungan anda dengan Dia jika anda betul-betul memandang-Nya sebagai Bapa yang sempurna? Bagaimanakah anda mengarahkan semula perspektif anda berdasarkan firman-Nya?

“Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.” Yohanes 3:16

“Janganlah panggil sesiapa pun di dunia ini ‘Bapa’, kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga.” Matius 23:9

“Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun.” Yakobus 1:17

2. Bagaimanakah anda memandang Allah jika bukan sebagai Bapa yang penyayang? Bagaimanakah anda memandang Dia sebagai tuan, Pencipta yang jauh, atau Bapa yang marah atau pasif?

“Adakah kehidupan doa peribadi anda dicirikan oleh kesederhanaan, sikap berterus terang seperti kanak-kanak, kepercayaan tidak terbatas, dan kemesraan senang anak kecil yang merangkak duduk di atas riba bapanya? Keyakinan bahawa bapa anda tidak kisah jika anda tertidur, mula bermain dengan alat mainan, atau mula berbual dengan kawan yang lain kerana bapa anda tahu pada asasnya anda telah memilih untuk menyertainya pada waktu itu? Adakah itu semangat kehidupan doa dalaman anda?” Brennan Manning, The Furious Longing of God.

3. Mintalah Allah untuk menolong anda mengalami kedalaman kasih-Nya hari ini. Luangkan masa untuk menerima hadirat-Nya dan berharap pada kebaikan-Nya. Bukalah bahagian hidup anda yang tidak membuahkan kasih-Nya yang tidak bersyarat dan menerima semua kasih sayang yang diberikan oleh-Nya.

“Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus.” Efesus 1:3

Hari 2Hari 4

Perihal Pelan

Centering Your Life Around Meeting With God

Hidup ini ditandakan oleh satu pililhan: siapa atau apa yang menjadi tumpuan hidup kita? Pilihan ini membawa kita kepada keputusan yang membentuk siapa kita ini, perasaan kita, siapa atau apa yang dihargai, dan perkara yang akan dicapai pada akhir hayat kita. Menumpukan hidup kita pada diri sendiri atau perkara dunia ini hanya menyebabkan kemusnahan.

More

Kami berterima kasih kepada First15 kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.first15.org/