Mengasihi Seperti YesusSampel
Yesus Di Mana-mana Sahaja
Pada suatu malam musim bunga yang panas, keluarga kami menyaksikan perlawanan bola sepak di sebuah universiti tempatan. Anak perempuan saya berumur 5 tahun pada waktu itu, dan setibanya kami di sana, ia melihat seorang budak lelaki yang sedang bermain sendirian. Ia tidak mengenali budak lelaki itu. Budak lelaki itu tidak bertutur bahasa Inggeris dan agak berbeza daripadanya, namun, semua ini tidak menghalangnya daripada tersenyum dan menyertai budak lelaki itu dalam permainan rekaannya. Petang itu, mereka berdua ketawa dan bermain bersama, dan pada akhir perlawanan itu, mereka duduk di atas rumput, tercungap-cungap gembira, letih dan saling bersandaran.
Ketika mereka bermain, suami saya dan saya berjumpa dengan ibu bapa budak lelaki itu lalu memperkenalkan diri kami. Inilah permulaan persahabatan yang menakjubkan dengan sebuah keluarga yang berasal dari negara, budaya dan kepercayaan yang berbeza. Ini juga memberikan kami peluang untuk menjemput mereka ke dalam kehidupan kami, dan ini membawa kesan yang besar terhadap kami. Ini merupakan satu peluang yang unik untuk kami berkongsi kasih Allah secara praktikal dan peribadi, dan ini terus menjadi hubungan yang penting kepada keluarga kami. Hubungan ini mengembangkan kami, dan mengubah kami menjadi lebih baik.
Semua ini bermula kerana anak perempuan kami mengasihi budak lelaki itu seperti yang telah dilakukan oleh Yesus. Dia tidak pilih kasih. Dia menerima kita yang seadanya, walau apa pun latar belakang kita, dan terlibat dalam kehidupan kita apabila kita membenarkan-Nya masuk.
Bilakah kali terakhir anda menjangkau seseorang yang berbeza daripada anda secara sengaja? Sekiranya sudah agak lama, mintalah Allah untuk membuka mata anda akan peluang seterusnya. Dan ketika Dia berbuat demikian, bersedialah untuk memberikan respons. Itu mungkin mengubah kehidupan anda.
Amanda Sims
Life.Church Church Online
Perihal Pelan
Bagaimanakah kita dapat belajar untuk hidup seperti Yesus sekiranya kita tidak mengasihi seperti-Nya dahulu? Bacalah bersama dengan kakitangan Life.Church dan pasangan mereka ketika mereka menceritakan semula pengalaman dan ayat Alkitab yang telah mengilhamkan mereka untuk hidup dan Mengasihi Seperti Yesus sepenuhnya.
More