Mengasihi Seperti YesusSampel
Seperti Kristus Mengasihi Gereja (bahagian 2)
Kami baru berkahwin selama dua tahun apabila isteri saya merasai kesakitan buat pertama kalinya: sakit menusuk yang menguasai semua derianya. Kesakitan itu akan berkurang sepanjang beberapa jam seterusnya dengan gelombang sakit, kerut muka, dan cucuran air mata. Sebagai seorang lelaki berumur 20 tahun yang kurus kering dan bersikap pemalu, saya telah berjanji akan mengasihi wanita ini biar apa pun yang terjadi, namun, saya menganggap bahawa keadaan yang paling buruk akan berlaku selepas persiapan beberapa dekad. Itu bukanlah perkara yang berlaku. Kesakitan itu berlaku berulang kali. Pada waktu malam, dengan bayi yang tidur di bilik sebelah, kami cuba berhubungan seperti yang dinikmati oleh kebanyakan pasangan suami isteri, namun, aktiviti kami menghasilkan kesakitan sahaja. Ini merupakan permulaan kemarau keintiman kami yang berterusan selama tiga tahun. Keadaan ini menyusup ke dalam bilik tidur kami dan menghantui perkahwinan kami seperti bayang-bayang panjang pada waktu senja. Perbuatan yang dimaksudkan untuk merapatkan kami telah dirampas dan kini merenggangkan kami. Kami mencuba lagi selepas beberapa minggu dengan harapan situasi itu telah berubah, tetapi tiada apa-apa yang berubah. Lama-kelamaan, kami tidak mencuba lagi. Banyak malam, kami tidur menghala dinding bilik sahaja. Saya boleh mendengar tangisan perlahannya kerana menahan sakit, dan air mata saya meleleh secara diam.
Ini bukanlah gambaran saya tentang perkahwinan. Pinggan mangkuk dan lampin bayi, kain kotor dan halaman rumput—semua tanggungjawab bertindih-tindih dan semakin merenggangkan kami. Tiada waktu berdamai selepas pertengkaran. Tiada pagi Sabtu. Tiada janji temu berdua-duaan. Pertempuran ini membuat kami mengalami trauma dari segi fizikal dan emosi. Saya fikir saya mengasihi isteri saya seperti Kristus mengasihi Gereja, tetapi saya tidak tahu maksudnya mengorbankan diri deminya. Saya sedar betapa sedikitnya saya tahu tentang mengasihi seperti Yesus. Saya berfikir sepenuh hati tentang penceraian. Banyak malam, saya berjaga menunggu isteri saya tidur dan berseru kepada Allah dalam doa. Saya melihat percubaan berulang saya untuk berhubungan dengannya diketepikan dengan cepat kerana sebab yang saya tidak faham.
Pada masa itulah, Allah membuka mata saya, dan saya ingat saya berfikir, inilah perasaan Yesus terhadap saya. Setiap pagi Dia ingin berhubung dengan saya, tetapi saya terlalu sibuk. Setiap malam sebelum tidur, daripada menghabiskan masa dengan Yesus, saya memenatkan diri dari segi emosi dengan mengasihani diri. Saya dapat membayangkan kesakitan dan kesedihan Yesus apabila saya berulang kali menolak undangan intim-Nya.
Selama ini, saya berpegang pada hak saya sebagai seorang suami sementara mendakwa ini bertujuan menguatkan perkahwinan kami. Sekiranya saya ingin mengatasi ini, saya perlu berubah. Walaupun ketika keadaannya rasa tidak adil, isteri saya memerlukan saya untuk mengetepikan hak saya sebagai suaminya dan mengasihinya tanpa syarat. Maka, setiap kali saya merasakan kepedihan tolakan, saya akan ingat akan perasaan Allah apabila saya menolak-Nya. Dalam Efesus, dinyatakan bahawa orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri. Saya mendapati bahawa ketika saya berasa paling tidak dikasihi, ketika inilah saya amat perlu mengasihi isteri saya. Kematangan seperti ini tidak timbul dengan peredaran masa semata-mata. Kematangan seperti ini perlu dipupuk melalui penderitaan, pengorbanan dan penyerahan.
Saya masih tidak dapat mengasihi isteri saya seperti Yesus, tetapi Dia dengan penuh rahmat-Nya telah memulihkan sepenuhnya perkahwinan kami dan memberikan kita ikatan yang kuat. Disebabkan oleh penderitaan kami dan pilihan kami untuk saling mengasihi sepanjang penderitaan itu, kami menikmati satu tahap keintiman yang tidak mungkin dialami oleh perkahwinan yang lain.
Michael Martin
Pasukan YouVersion
Kitab
Perihal Pelan
Bagaimanakah kita dapat belajar untuk hidup seperti Yesus sekiranya kita tidak mengasihi seperti-Nya dahulu? Bacalah bersama dengan kakitangan Life.Church dan pasangan mereka ketika mereka menceritakan semula pengalaman dan ayat Alkitab yang telah mengilhamkan mereka untuk hidup dan Mengasihi Seperti Yesus sepenuhnya.
More