Kehidupan Berubah: TujuanSampel

Living Changed: Purpose

HARI 2 DARIPADA 5

Pemberian daripada Allah

Pernahkah anda berhenti dan berfikir bagaimana semua bahagian kehidupan anda akan bercantum? Sama ada anda sedar atau tidak, Allah menempatkan perkara tertentu dalam hidup anda dan memberikan anda peluang untuk mengukuhkan kemahiran yang berbeza, supaya Dia boleh menyediakan anda untuk tujuan anda. 

Semasa berumur 30 tahun, saya mengenangkan waktu dalam kumpulan penyorak dan tertanya-tanya bagaimana kegiatan itu berkaitan dengan kehidupan dewasa saya. Selama 13 tahun, sejak tadika sehingga tahun akhir sekolah menengah, saya bersorak untuk sekolah saya dan mengetuai perhimpunan semangat. Semasa dewasa, saya tidak melihat sebab Allah memberikan saya pengalaman tersebut. 

Tidak lama selepas itu, saya menghadiri satu persidangan di mana saya mendengar beberapa orang wanita bercakap dengan bersemangat tentang memimpin orang lain kepada Kristus. Saya berfikir, "Saya mahu melakukan itu suatu hari kelak." Pada ketika itu juga, Allah membuat kesimpulan untuk saya. Hasil daripada pengalaman bersorak saya, saya rasa selesa berhadapan dengan orang yang banyak dan berupaya menarik perhatian mereka. Sepanjang tempoh itu, Allah menyediakan saya untuk peranan yang telah dicipta-Nya untuk saya.

Setiap pengalaman hidup anda menjadikan anda unik. Berfikirlah tentang bakat semula jadi yang telah diberikan oleh Allah kepada anda, peluang berbeza yang pernah diberikan, dan kemahiran yang diperoleh. Berfikirlah tentang tempat anda membesar, tempat yang pernah dikunjungi, apa yang telah dipelajari. Barangkali anda memahami budaya yang berbeza dan boleh berhubung dengan orang di seluruh dunia, ataupun barangkali anda menghasilkan seni yang memberikan ilham dan mendorong orang untuk mengambil tindakan. Pelbagai pengalaman dalam hidup anda mungkin kelihatan tidak relevan secara berasingan, tetapi apabila digabungkan, pengalaman tersebut memimpin anda ke arah sesuatu yang bermakna yang boleh digunakan untuk memuliakan Allah. 

Kita melihat ini dalam kitab Ester, yang menceritakan tentang seorang perempuan Yahudi yang berkedudukan unik untuk menyelamatkan bangsanya daripada genosid. Meskipun sebagai isteri dan permaisuri Raja Persia, Ester tidak memandang dirinya sebagai istimewa atau lebih penting dalam rancangan Allah berbanding dengan orang lain. Ia cuma berusaha sedaya upaya untuk hidup. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh identitinya, tempat kediamannya, zaman hayatnya, pengaruhnya, dan kebijaksanaan yang diberikan oleh Allah kepadanya, Dia telah menggunakannya untuk menyelamatkan orang Israel daripada kematian.

Tidak diragui bahawa Allah telah memberikan anda kemahiran, bakat, pendidikan, kuasa kewangan, status, atau pengaruh yang khusus bagi anda. Persoalannya ialah bagaimana anda akan menggunakannya. Anda tidak perlu terlibat dalam pelayanan sepenuh masa untuk melakukan kerja Allah. Anda boleh bekerja untuk Allah dalam perniagaan atau di rumah, bersama dengan banyak orang atau sebilangan kecil sahaja. Kebanyakan daripada kita tidak akan menjadi terkenal kelak, tetapi kita mempunyai lingkungan pengaruh dan kurnia unik yang diperlukan oleh orang dalam lingkungan pengaruh kita. Mintalah Allah untuk mendedahkan bagaimana perkara ini boleh melengkapkan anda untuk tujuan-Nya.

Allah, terima kasih kerana segala sesuatu yang telah Engkau berikan kepada saya dan kerana setiap peluang yang Engkau tempatkan dalam hidup saya. Tunjukkan kepada saya semua kekuatan, sifat, pengajaran, pengaruh, dan peruntukan yang telah Engkau berikan kepada saya yang unik bagi saya sahaja. Nyatakan bagaimana semua perkara itu bergabung untuk mengarahkan saya ke arah tujuan-Mu untuk hidup saya. Saya ingin menggunakan pengalaman lepas saya untuk Kerajaan-Mu. Tolonglah saya untuk memuliakan dan memberi penghormatan kepada-Mu. Dalam nama Yesus, amin.

Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

Living Changed: Purpose

Pernahkah anda tertanya-tanya apa yang Allah cipta anda untuk buat atau menanya-Nya mengapa anda mengalami pengalaman tertentu? Anda telah dicipta secara unik untuk peranan tersuai yang hanya dapat dipenuhi oleh anda. Meskipun anda berasa sesat, ataupun teragak-agak untuk bergerak, pelan 5 hari ini akan membantu anda mempercayai Allah, supaya Dia boleh memimpin anda ke arah tujuan anda.

More

Kami berterima kasih kepada Changed Women's Ministries kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.changedokc.com/