Kehidupan Berubah: TujuanSampel
Dicipta dengan Tujuan
Setiap orang antara kita dilahirkan untuk memenuhi satu tujuan khusus di dunia ini. Walaupun kita tidak memilih untuk mengakuinya, atau belum mengetahui tujuan itu, Allah telah mencipta setiap manusia dengan gabungan kurnia yang sangat unik yang ingin digunakan oleh-Nya untuk mengembangkan Jemaat-Nya. Mujurlah, Allah telah menempatkan bayangan dalam hati kita dan, melalui Roh Kudus, memimpin kita untuk menemui tujuan kita.
Sebagai kanak-kanak, kita memiliki imaginasi yang luas. Kita mencipta watak dan pelbagai dunia di mana kita melihat diri sendiri sebagai berupaya melakukan apa-apa sahaja. Tidak ada hadnya! Kita belum belajar apa itu ketakutan atau diberitahu bahawa kita tidak mungkin dapat melakukan sesuatu itu. Kita belum terbatas oleh kenyataan hidup yang payah atau rasa bimbang tentang status. Kita yakin tentang diri sendiri dan bebas untuk mengejar impian kita.
Saya ingat bahawa saya pernah bermain di laman depan rumah dalam pijama adiwira saya. Saya ialah Wonder Woman, menyelamatkan dunia daripada bahaya! Saya mengawal anjung, dan apabila ada tanda-tanda akan timbul kesusahan, saya akan menyelamatkan semua orang. Walaupun selepas bermain sepanjang hari, saya tidak akan jemu dengan semua itu.
Apabila saya menjadi dewasa, saya tertanya-tanya mengapa saya ingin menjadi penyelamat semasa kecil. Memanglah jelas kepada saya meskipun semasa muda, bahawa saya ingin membantu orang yang tidak berdaya. Sebagai seorang pastor, itulah yang saya dapat lakukan sekarang ini. Saya bekerja tanpa mengenal penat untuk menyelamatkan orang dari pintu neraka dengan memimpin mereka kepada Penyelamat kita. Saya sedar bahawa Allah menempatkan saya di dunia ini untuk membantu menyelamatkan orang lain. Dia menempatkan keinginan itu dalam diri saya sejak mulanya.
Mungkin anda tidak mahu menjadi adiwira. Sebaliknya, anda mengikuti rutin malam anak patung anda, ataupun anda mengatur patung binatang anda dan mengajar mereka. Barangkali anda berpura-pura menyembuhkan orang yang sakit, melaporkan berita, atau menerokai dunia baru. Walau apa pun impian anda semasa kecil, impian tersebut tidaklah berada dalam hati anda secara kebetulan. Allah telah menempatkannya dalam hati anda untuk tujuan tertentu. Sungguhpun dunia ini meyakinkan anda untuk mengetepikannya sebagai khayalan, ia masih ada—terjalin dalam diri anda yang telah dicipta-Nya
Jika anda tidak pasti tentang tujuan Allah untuk anda, lihatlah impian anda. Berfikir-fikir tentang perkara yang membuat anda menangis, meruntun hati sanubari anda, membangkitkan semangat anda, dan menimbulkan kemarahan tentang ketidakadilan. Dia menempatkan perkara tersebut dalam anda, mencipta anda secara unik untuk tujuan yang hanya dapat dipenuhi oleh anda.
Allah, terima kasih kerana Engkau telah mencipta saya dengan tujuan yang khusus. Terima kasih kerana Engkau mempercayai saya dan memberikan saya apa yang betul-betul diperlukan untuk memenuhi panggilan-Mu terhadap hidup saya. Tuhan, dedahkan minat, harapan, dan keinginan yang telah Engkau tempatkan dalam hati saya, dan tunjukkan secara jelas bagaimana saya boleh menggunakannya untuk Kerajaan-Mu. Tolonglah saya untuk hidup dalam kehendak-Mu dan memuliakan-Mu dalam segala perbuatan saya. Dalam nama Yesus yang berharga, amin.
Kitab
Perihal Pelan
Pernahkah anda tertanya-tanya apa yang Allah cipta anda untuk buat atau menanya-Nya mengapa anda mengalami pengalaman tertentu? Anda telah dicipta secara unik untuk peranan tersuai yang hanya dapat dipenuhi oleh anda. Meskipun anda berasa sesat, ataupun teragak-agak untuk bergerak, pelan 5 hari ini akan membantu anda mempercayai Allah, supaya Dia boleh memimpin anda ke arah tujuan anda.
More