Riang Ria: Meraikan Krismas Setiap HariSampel
Waktu yang Paling Indah Sepanjang Tahun
"Saya berharap kita boleh menyimpan semangat Krismas dalam balang dan membuka balang itu setiap bulan." — Harlan Miller
Pada musim Krismas, kita biasanya lebih lemah lembut berbanding dengan masa lain sepanjang tahun itu. Kita senyum lebih kerap, ketawa lebih kerap, dan menunjukkan kebaikan hati lebih kerap. Kita membiarkan orang lain memintas kereta kita di lebuh raya, kita menderma wang, dan kita mengucapkan kata-kata baik kepada orang yang cenderung menjengkelkan kita kerana, "Sekarang musim Krismas."
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja 25hb Disember berlalu, kita mengemas hiasan dan hadiah serta menyimpannya bersama dengan semangat Krismas. Kamu tahu, semangat Krismas yang membuat kita lebih sabar, menyumbangkan wang yang lebih banyak, dan bercakap dengan lebih lembut.
Bagi banyak orang, Krismas ialah waktu yang indah sepanjang tahun. Kita mendapati lebih senang untuk mengasihi orang lain dan bersikap baik hati pada musim itu. Disebabkan ia ialah tempoh yang pendek bagi tahun itu, kita berfikir, "Saya boleh mengetepikan satu perkara ini—sekarang ialah musim Krismas." Fikiran bahawa kita boleh bersikap demikian sepanjang tahun adalah mustahil. Namun, jika kita memandang orang lain melalui kanta yang berbeza dan melayan mereka sebagaimana kita ingin dilayani, kita dapat menjadikan ini realiti kita.
Pastor Craig Groeschel berkata, "Kita menilai orang lain berdasarkan perbuatan mereka tetapi kita menilai diri sendiri berdasarkan niat kita." Bagaimana kalau daripada menganggap yang buruk-buruk sahaja tentang orang lain, kita menganggap yang baik-baik sahaja? Bagaimana kalau kita percaya akan kata-kata seseorang sungguhpun berasa sangsi tentang perbuatan mereka terhadap kita. Meskipun pada musim Krismas, kita masihlah tidak sempurna dan kadang-kala ada orang yang akan menyinggung perasaan kita. Namun, jika kita boleh memahami bahawa semua orang berasa sakit hati dan bahawa semua orang memerlukan layanan yang lebih lembut, kita tidak akan rasa tersinggung.
Perempuan itu kelihatan tidak bertimbang rasa dan memotong cakap anda? Mungkin dunianya hancur kerana keguguran anak. Kanak-kanak yang berperangai buruk di bilik darjah lalu mengganggu pelajar lain? Mungkin ibu bapanya sedang dalam proses bercerai dan ia tidak tahu bagaimana mengatasi luka hatinya. Pastor yang tidak selalu menyapa anda di lobi gereja? Mungkin dunia peribadinya melumpuhkannya kerana anak perempuannya yang tidak terkawal.
Kita tidak boleh membuat anggapan tentang niat orang lain, dan kita tidak boleh menganggap bahawa mereka akan sentiasa memenuhi jangkaan kita. Marilah kita menunjukkan kasih kurnia yang sama yang kita ingin mereka tunjukkan kepada kita. Bukan semasa musim perayaan yang seronok sahaja, tetapi sepanjang tahun.
Renungan
- Adakah anda mendapati diri lebih baik hati semasa musim cuti Krismas? Ataupun, adakah anda berasa bahawa anda sentiasa sama dalam lingkungan ini?
- Apakah yang anda perlu lakukan untuk melayan orang lain dengan baik secara berterusan, setiap hari?
Perihal Pelan
Ada sesuatu yang istimewa tentang Krismas yang cenderung menampakkan sifat kita yang terbaik. Biasanya kita lebih baik hati, lebih murah hati, dan menghabiskan masa yang lebih lama dengan orang yang dikasihi. Bagaimana kalau ini tidak perlu berakhir pada bulan Disember? Bagaimana kalau kita boleh meraikan Krismas setiap hari?
More