Siapakah Saya dalam KristusSampel
Saya Ialah Hasil Kerja Allah
Anda tidak terjadi secara kebetulan. Anda tidak dihasilkan secara besar-besaran. Anda bukan produk barisan pemasangan. Anda telah dirancang secara sengaja, diberikan bakat yang tertentu, dan ditempatkan dengan penuh kasih sayang di Bumi ini oleh seorang Tukang yang Pakar. — Max Lucado
Tubuh manusia adalah menarik. Bukan dari segi bentuk luarannya sahaja malah cara tubuh itu mengawal semua sistemnya. Contohnya, penyakit. Apabila objek asing, seperti kuman, memasuki tubuh kita, sel darah putih kita berkumpul untuk menghapuskan kuman itu. Kebanyakan masanya, kuman dimusnahkan dan kita tetap sihat.
Ataupun, lihatlah tulang dalam tubuh manusia apabila patah. Pemulihan tulang bermula dalam masa beberapa jam selepas kecederaan berlaku. Darah beku akan terbentuk, sel dihantar untuk membersihkan kawasan itu, dan salur darah yang baru akan terbentuk untuk mempercepatkan proses pemulihan. Kolagen akan beralih ke bahagian itu dan membentuk kalus, yang menyerupai tulang yang baru, tetapi adalah lebih lembut. Kalus ini memastikan semua ini berjalan lancar sementara tulang yang baru terbentuk.
Adakah semua ini berlaku begitu saja? Tidak, ketepatan seperti ini dalam membentuk tubuh manusia dan fungsinya merupakan ciptaan Allah. Oleh itu, kita dianggap sebagai hasil kerja Allah, karya agung-Nya. Kita benar-benar ciptaan seni Allah.
Tetapi kita tidak selalu rasa seperti itu, bukan? Pada bila-bila masa sahaja, kita…
...merungut tentang personaliti kita.
...berharap kita lebih tinggi.
…berhasrat untuk memiliki tubuh orang lain.
...lebih suka berbakat seperti sahabat kita.
Allah tidak melakukan kesilapan semasa mencipta anda. Dia tidak salah kira mana-mana bahagian untuk mencipta anda. Dia mengetahui setiap aspek kewujudan anda sebelum anda menarik nafas yang pertama di luar rahim ibu anda. Dia menentukan tekstur rambut, warna mata, ketinggian, dan keperibadian anda. Ketika melakukan semua ini dengan cara-Nya yang sempurna, Dia mengetahui dengan tepat akan cara Dia akan menggunakan komposisi anda yang unik ini untuk memberikan kesan terhadap dunia kita.
Oleh itu, bila anda berasa sedih tentang diri sendiri atau berharap rupa anda adalah berbeza lagi, ingatlah bahawa Allah tidak membuat kesilapan. Sebaliknya, anda ialah ciptaan seni-Nya. Anda ialah hasil kerja-Nya.
Renungan
- Dengan kata-kata anda sendiri, tuliskan maksud “Saya ialah hasil kerja Allah” bagi anda.
- Ulang“Saya ialah hasil kerja Allah” sepanjang hari anda — tetapkan pemasa dan ucapkannya setiap jam supaya kebenaran ini berakar umbi dalam diri anda. Tuliskan atas sekeping kad dan meletakkannya di tempat yang sering dipandang.
- Fikirkan situasi yang pernah anda hadapi atau akan hadapi, situasi yang boleh menerapkan kebenaran ini.
Perihal Pelan
Siapakah anda? Soalan ini sering kali menerima balasan yang menyatakan sesuatu yang kita lakukan. Namun, identiti kita datang daripada apa yang Tuhan katakan tentang kita—bukan apa yang kita lakukan, dan tentunya bukan apa yang dikatakan oleh orang lain tentang kita. Mengetahui siapa kita sebagai pengikut Kristus adalah penting dalam perjalanan kita bersama dengan Yesus. Apabila kita mengetahui siapa kita, kita akan mengetahui apa yang harus dilakukan.
More