Siapakah Saya dalam KristusSampel

Who I Am In Christ

HARI 8 DARIPADA 10

Saya ialah Warga Syurga

Rumah saya ialah di syurga. Saya hanya lalu di dunia ini saja.— Billy Graham

Bumi ini penuh dengan pemandangan dan pengalaman yang membuat kita terpegun. Matahari terbenam yang indah, gunung-ganang yang hebat dan agung, dan hutan yang mengagumkan cumalah beberapa contoh yang boleh kita petik. Kita tertarik kepada banyak hal di planet ini, namun bumi hanya kediaman sementara kita dan bukan tempat di mana kita akan hidup selama-lamanya. Pada waktu yang tertentu, kita semua akan meninggalkan dunia yang didiami sekarang ini. 

Kewarganegaraan kita sebagai pengikut Kristus ialah di syurga. Oleh itu, apabila keadaan tidak berjalan lancar dan kita mengalami kekecewaan di sini dan sekarang juga, kita boleh mengisi fikiran kita dengan harapan dengan mengingati kebenaran ini. Apabila kesakitan itu terlalu besar dan kita tertanya-tanya bagaimana kita mampu menanggungnya, kita hanya perlu mengingati bahawa pergolakan ini hanya sementara. Alkitab mengatakan bahawa hidup kita umpama wap, yang kelihatan sejurus lantas lenyap. Kewujudan singkat kita sebagai manusia di bumi ini adalah sangat kecil berbanding dengan keabadian di Syurga, kerana tempoh itu adalah untuk selama-lamanya. 

Bagaimanakah keadaannya di syurga? Alkitab memberikan kita sedikit maklumat mengenai rumah kekal kita, namun sebahagian besar daripada apa yang kita akan ketahui akan diperoleh pada hari kita meninggalkan bumi ini. Alkitab memang mengatakan bahawa Allah telah menyediakan sesuatu yang hebat bagi orang yang mengasihi-Nya (1 Korintus 2:9) dan segala yang benar ada di syurga (2 Petrus 3:13). 

Walau bagaimanapun, Wahyu 21 memberikan sedikit gambaran tentang syurga ketika Yohanes berkongsi apa yang telah disaksikannya. Inilah yang dikatakannya tentang syurga:

Kota itu suci.
Allah akan tinggal bersama dengan kita.
Kita akan menjadi umat-Nya.
Dia akan menyapu setiap air mata.
Kematian atau kesedihan atau tangisan atau kesakitan akan tiada lagi.
Yesus akan menjadikan semuanya baru.
Kota suci itu berkilauan dengan kemuliaan Allah.
Tidak ada rumah ibadat kerana Allah ialah rumah ibadat kita.
Sinaran matahari atau bulan tidak diperlukan kerana kemuliaan Allah meneranginya.
Segala sesuatu yang najis tidak akan dibenarkan masuk. 

Dapatkah anda membayangkannya? Sebuah tempat tanpa kejahatan, kesakitan atau kesedihan? Sebuah tempat di mana kemuliaan Allah adalah begitu terang sehinggakan matahari menjadi kurang terang? Sungguh mengagumkan dan luar biasa. Inilah rumah kita kerana kita ialah warga syurga.

Renungan

  • Dengan kata-kata anda sendiri, tuliskan maksud “Saya ialah warga syurga” bagi anda. 
  • Ulang “Saya ialah warga syurga” sepanjang hari anda — tetapkan pemasa dan ucapkannya setiap jam supaya kebenaran ini berakar umbi dalam anda. Tuliskannya atas sekeping kad dan meletakkannya di tempat yang sering dipandang.
  • Fikirkan situasi yang pernah dihadapi atau akan dihadapi, situasi yang dapat menerapkan kebenaran ini.
Hari 7Hari 9

Perihal Pelan

Who I Am In Christ

Siapakah anda? Soalan ini sering kali menerima balasan yang menyatakan sesuatu yang kita lakukan. Namun, identiti kita datang daripada apa yang Tuhan katakan tentang kita—bukan apa yang kita lakukan, dan tentunya bukan apa yang dikatakan oleh orang lain tentang kita. Mengetahui siapa kita sebagai pengikut Kristus adalah penting dalam perjalanan kita bersama dengan Yesus. Apabila kita mengetahui siapa kita, kita akan mengetahui apa yang harus dilakukan.

More

Pelan Alkitab original ini dihasilkan dan disediakan oleh YouVersion.