Collective: Menemukan Kehidupan Bersama-samaSampel

Collective: Finding Life Together

HARI 5 DARIPADA 7

Bagaimanakah anda menentukan tujuan anda dalam kehidupan ini?

Kita kerap menanya kanak-kanak, "Apakah cita-cita kamu?" Apabila anda mempertimbangkan itu, ia merupakan soalan yang agak keterlaluan untuk kanak-kanak berusia 5 tahun. Apabila anda mencapai usia 18 tahun, tiba-tiba, wujudnya tekanan yang kuat untuk memahami segala sesuatu. Jadi, soalan besarnya adalah—Apakah yang harus saya lakukan dengan kehidupan saya?

Mujurlah, Yesus telah memberikan kita satu rangka untuk diikuti. Seperti yang telah dibincangkan pada hari pertama, tujuan utama kehidupan kita adalah untuk mengasihi Allah dan mengasihi orang lain. Ia kedengaran mudah, tetapi sukar dijalankan. 

Mengasihi orang lain bermaksud mengasihi mereka apabila mereka melakukan kesilapan, apabila mereka melayan anda dengan teruk, dan apabila mereka membuat anda marah. Ia bermaksud setiap keputusan perlu ditapis melalui kanta—Adakah keputusan ini sesuatu yang menunjukkan kasih terhadap orang lain di sekeliling saya? 

Yesus memberikan kita lebih banyak kejelasan tentang tujuan kita semasa Dia meninggalkan murid-murid-Nya. Dalam perintah terakhir-Nya, Dia menyatakan misi kita—untuk ke seluruh dunia, menjadikan orang murid, dan mengajar mereka untuk mentaati Allah. Dia juga berjanji akan menyertai kita sepanjang jalannya. 

Misi kita adalah memimpin orang lain kepada Yesus dengan mengasihi mereka seperti Yesus. Sekali lagi, ia kedengaran mudah, tetapi amat sukar. Walau di mana pun anda berada, itulah tujuan anda. Sama ada anda menceburi perniagaan atau bekerja di kedai kopi, jadikanlah misi anda untuk mengasihi orang di sekeliling anda dan memberitahu mereka tentang Berita Baik Yesus. 

Ketahuilah—anda tidak perlu melakukan sesuatu yang epik untuk melakukan sesuatu yang penting. Anda tidak perlu menjadi CEO atau menjadi pelayan sepenuh masa atau memperjuangkan sesuatu yang besar untuk membuat perbezaan. Semua itu adalah hebat, tetapi kita semua berpeluang melakukan hal yang besar setiap hari dengan mengasihi orang di hadapan kita. 

Maka, lepaskan tekanan itu. Lepaskan jangkaan yang keterlaluan terhadap diri anda. Allah menyertai anda, memimpin dan membimbing anda menuju jalan yang telah disediakan-Nya untuk anda. 

Masih tertanya-tanya tentang cara menyelaraskan kebenaran ini dengan keputusan besar di hadapan anda? 

Berikut adalah tiga soalan untuk membantu anda menentukan cara anda boleh mengerjakan tujuan anda—mengingati bahawa anda boleh mengasihi Allah, mengasihi orang lain, dan menjadikan orang lain murid walau ke mana pun anda pergi. 

1. Apakah pengalaman lampau yang telah membentuk anda? Pengalaman lampau tidak menentukan anda, tetapi ia boleh memaklumkan anda. Pernahkah anda mengharungi sesuatu yang anda ingin bantu orang lain melaluinya juga? Itu boleh membantu anda untuk menentukan hal yang menarik minat anda. 

2. Adakah anda merasakan apa-apa panggilan? Apakah yang menimbulkan kemarahan benar dalam diri anda? Contohnya, barangkali anda merasakan semangat kuat untuk melindungi kanak-kanak dalam situasi yang tidak selamat. Barangkali anda sentiasa mengambil berat tentang penjagaan orang sakit. Apa pun, fikirlah sama ada laluan kerjaya tertentu boleh membantu anda untuk melakukan lebih banyak perkara yang telah ditempatkan dalam hati anda oleh Allah. 

3. Apakah bakat semula jadi anda? Kita mempunyai kurnia yang berbeza daripada Allah demi kemuliaan-Nya. Apakah perkara yang biasa buat anda? Ia boleh membantu anda untuk menentukan apa yang harus dilakukan. 

Pertimbangkan: Luangkan masa untuk berfikir tentang soalan di atas. Berdoalah tentang jawapan anda, dan berbincang dengan orang yang rapat dengan anda. Lihatlah sama ada persilangan soalan tersebut boleh memberi anda kejelasan tentang tujuan anda. 

Doa: Allah, terima kasih kerana memberikan kami kurnia dan keupayaan yang berbeza. Tolonglah saya untuk lebih mengasihi-Mu dan orang lain di sekeliling saya. Tolonglah saya untuk menjadikan orang lain murid. Berikan saya kejelasan tentang lingkungan di mana saya boleh melayani-Mu dengan baik sekali, dan tunjukkan kepada saya langkah saya yang seterusnya. Dalam nama Yesus. Amin. 

Hari 4Hari 6

Perihal Pelan

Collective: Finding Life Together

Apabila anda mencapai umur 18 tahun, anda rasa bahawa anda telah memahami kehidupan anda. Namun, bagaimana kalau anda tidak memahaminya? Bagaimana kalau keadaan yang difikirkan anda bukanlah keadaan anda sekarang? Anda tidak bersendirian. Marilah kita sama-sama memahami persoalan terbesar kehidupan dalam Pelan Alkitab selama 7 hari oleh Collective ini, satu pengajian untuk golongan belia daripada Life.Church.

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Life.Church kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.life.church/