Bapa Mengasihi Anda Oleh Pete BriscoeSampel
Hari 3
Penghiburan Anda yang Sentiasa Hadir
Engkau telah mencipta kami untuk diri-Mu, ya Tuhan, dan hati kami akan terus resah sehinggalah kami menemui ketenangan dengan mengenal Engkau. —Augustine
Hidup ini merupakan suatu pergelutan. Setiap orang akan memberitahu anda demikian. Walau di mana pun kita, kita bergelut dengan pelbagai masalah dan kesukaran—kewangan, emosi, fizikal, dsb. Bagi setiap masalah yang dihadapi, tiada kekuarangan penyelesaian yang diusulkan. Sesetengah cadangan biasa yang kita dengar daripada bapa duniawi kita ialah "selesaikan sendiri" dan "bekerja kuat.”
Walau bagaimanapun, tidak seperti pendirian tersebut, Bapa syurgawi kita memberitahu kita sesuatu yang meliputi apa-apa masalah yang mungkin dihadapi:
TUHAN berfirman, “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketenangan fikiran kepadamu”. (Keluaran 33:14)
Allah akan memberikan kita ketenangan fikiran? Ada dalam kalangan kita yang mempunyai bapa yang asyik mendesak kita sehingga keletihan mental dan fizikal. Allah Bapa adalah berbeza. Dia menghiburkan kita. Ya, Dia mempunyai tugas untuk kita—dan hal tersebut adalah amat penting—tetapi Alkitab menjelaskan bahawa hal tersebut harus dilakukan dengan bergantung pada kekuatan Allah yang bekerja melalui kita, bukannya menggunakan kekuatan sendiri untuk melakukan hal untuk-Nya.
"Akulah [Allah] yang mengajar Efraim berjalan, dan yang mendukung dia; mereka tidak menyedari Akulah yang menyembuhkan mereka. Aku menarik mereka dengan pertalian manusia, iaitu dengan ikatan kasih. Bagi mereka Aku seperti orang yang mengangkat kuk daripada rahang mereka. Aku berpaling untuk memberi mereka makan.“ (Hosea 11:3-4)
Dalam petikan daripada Hosea ini, kita melihat bahawa Allah bukan sahaja memikul beban kita, malah Dia MAHU memikulnya kerana kasih-Nya yang tidak berhujung terhadap kita! Tiada batas terhadap apa yang Dia dapat urus, ataupun apa yang Dia akan lakukan untuk anda. Ini menimbulkan satu soalan yang sungguh membingungkan:
Apakah yang menjadi pergelutan anda melalui kekuatan diri, daripada mempercayai Bapa yang mengasihi anda?
Bapa, ambillah beban yang saya pikul sendiri. Saya tidak dapat mengatasi perkara ini. Saya melepaskan apa yang saya cuba lakukan sendiri kepada-Mu. Saya berhenti mencuba sendiri. Saya mempercayai kekuatan-Mu agar saya boleh sentiasa bergantung pada penghiburan-Mu. Amin.
Perihal Pelan
Kita diajar sejak kecil lagi bahawa Allah ialah Bapa kita dan kita ialah anak-Nya. Namun, menghubungkan Allah dengan Bapa tidaklah selalu mudah—terutamanya jika bapa duniawi kita bergelut untuk menunjukkan kasih yang diinginkan. Dalam kajian 16 hari ini, Pete Briscoe mengalihkan perhatian kita kepada Allah yang memenuhi semua keinginan kita akan kasih—menengaskan bagaimana Alkitab menyatakan Dia sebagai Bapa kita yang baik dan sempurna.
More