Mula Di Sini | Langkah Pertama Dengan YesusSampel
Markus 8-9 | Siapakah Yesus
Hari ini, Markus 8 membawa kita ke teras keKristianan. Kita sudah mengikuti Yesus dan murid-murid-Nya agak lama. Mereka telah melihat mukjizat-Nya, merasakan belas kasihan-Nya, mendengar pengajaran-Nya. Kini, tibalah masa untuk membuat keputusan. Terdapat dua soalan utama di sini: Siapakah Yesus? Dan apakah syarat mengikuti-Nya?
Kita mulakan dengan ayat 27:
"Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, 'Menurut kata orang, siapakah Aku ini?'”
Satu soalan yang mudah. Di sinilah permulaannya apabila kita cuba memahami apa yang kita percaya. Kita mulakan dengan apa yang telah kita dengar daripada orang lain. Murid-murid itu telah memberikan beberapa jawapan yang pernah didengar: Ada yang berkata Yohanes Pembaptis, atau Elia, ataupun seorang nabi.
Kini, kita mempunyai banyak pendapat tentang siapa itu Yesus. Orang Islam menghormati Yesus sebagai seorang nabi besar daripada Allah - tidak berdosa dan dilahirkan oleh seorang anak dara. Orang Yahudi mempunyai pendapat yang bercampur-campur tentang Yesus - sesetengah orang melihat seorang rabi yang baik, yang lain melihat orang bidat, sementara ramai yang melihat Mesias. Ramai orang Hindu menghormati Yesus sebagai seorang guru kepada orang Yahudi, sementara ramai penganut agama Buddha menganggap Yesus sebagai orang yang mendapat makrifat. Maka, terdapat banyak idea tentang Yesus - kebanyakannya bersifat positif. Namun dalam ayat 29, Yesus mendesak:
"Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?"
Ini adalah soalan yang penting. Agar iman menjadi bermakna, ia perlulah bersifat peribadi. Tidak mencukupi untuk mengetahui apa yang dikatakan orang lain sahaja. Ia seharusnya fikiran anda: Siapakah Yesus kepada anda?
Sekarang adalah masa untuk membuat keputusan, dan Petrus memutuskan:
"Engkau adalah Mesias!"
Ini merupakan detik yang penting. Mesias bermaksud yang diurapi. Dialah orang yang dipilih Allah untuk menggenapi janji-Nya dan melengkapkan rancangan besar-Nya untuk menyelamat. Kita akan meneliti janji dan nubuatan Allah dalam perjalanan kita yang seterusnya. Buat masa ini, fahamilah bahawa penegasan Petrus adalah batu asas iman. Perjalanan kita dengan Allah bermula dengan fikiran kita tentang siapa itu Yesus.
Dalam ayat 31, Yesus mengajar mereka bahawa Mesias...
"...mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat."
Yesus tidak mahu mereka berasa terkejut apabila orang yang dipilih Allah ditolak oleh pemimpin yang munafik,
"...Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula."
Jadi, Allah mengemukakan semuanya. Dia akan dibunuh dan bangkit semula. Ia telah dinubuatkan berabad-abad lamanya, dalam Yesaya 53, Mazmur 22, Zakharia 12. Ia adalah rancangan Allah. Salib akan tiba tidak lama lagi.
Menarik, saliblah yang memisahkan Yesus dalam Alkitab daripada apa yang dikatakan orang lain. Orang Islam menolak cerita salib; orang Hindu bercakap tentang Yesus yang mencapai samadhi tenang; dan bagi penganut agama Buddha yang tidak percaya akan dosa, salib adalah kejam.
Pada mulanya, Petrus mempunyai reaksi yang sama. Dia menarik Yesus ke tepi dan menegur Dia. Walau bagaimanapun, Yesus menegur Petrus kerana memikirkan apa yang difikirkan manusia, dan mengetepikan apa yang difikirkan Allah. Fikiran manusia akan menyelamatkan orang yang baik daripada penderitaan, dan membiarkan orang yang jahat untuk menerima hukuman yang setimpal. Namun, bukan Yesus. Yesus menjalankan kehidupan yang benar, dan mengalami kematian orang berdosa. Dia telah mengambil tempat kita.
Kemudian dalam ayat 34, Yesus menjelaskan syarat menjadi murid-Nya. Baca dengan teliti:
"Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku."
Jika anda ingin mengikut Yesus, hafal ayat ini. Inilah kosnya. Demi mengikuti Yesus, anda mesti:
Melupakan kepentingan sendiri: Anda tidak boleh menyelamatkan diri, anda tidak mungkin cukup baik. Anda memerlukan Yesus.
Memikul salib: Setiap orang Kristian memikul suatu beban, suatu pengorbanan. Kehidupan tidak berlaku adil terhadap anda.
Dan mengikut Yesus: Ke mana saja Yesus tuntun, anda pun ikut.
Mengikuti Yesus adalah lebih daripada satu kepercayaan, sebagaimana perkahwinan adalah lebih daripada satu perasaan. Ia adalah suatu komitmen yang berterusan, satu perjanjian dalam darah-Nya. Ayat 35:
"Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya untuk-Ku dan untuk Berita Baik daripada Allah, akan menyelamatkannya. Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah hidup itu ditukar dengan sesuatu?"
Saya suka ayat itu. Anda faham maksud Yesus? Dia mengatakan bahawa hidup anda adalah lebih bernilai daripada seluruh dunia ini. Maka, lepaskan dunia ini, dan berpautlah pada Yesus. Bagi Yesus, hidup anda adalah berbaloi dengan pengorbanan-Nya. Apakah nilainya kepada anda?
Dalam hidup saya, saya telah mensia-siakan beberapa tahun meninggalkan iman kepada orang lain, "Mereka mempercayai ini dan itu." Walau bagaimanapun, tibanya masa untuk membuat keputusan - tentang iman saya sendiri. Terdapat perbezaan yang besar antara mempercayai perkahwinan dan betul-betul berkahwin. Terdapat perbezaan yang besar antara mempercayai sesuatu tentang Yesus dan mengikuti Yesus. Perbezaannya adalah komitmen dan pengorbanan. Pendeknya, perbezaannya adalah hidup anda. Dan ia memang berbaloi.
Baca Markus 8, dan jawab soalan-soalan hari ini. Menurut anda, siapakah Yesus, dan adakah anda bersedia untuk mengikut-Nya?
Renungan & Perbincangan:
- Menurut anda, siapakah Yesus?
- Apakah yang diperlukan untuk anda mengikuti Yesus? Tuliskan ayat 34 dalam kata-kata anda sendiri untuk hidup anda.
- Adakah mengikuti Yesus berbaloi dengan kosnya? Tuliskan ayat 35-36 dalam kata-kata anda sendiri untuk hidup anda.
Perihal Pelan
Jika anda baru kepada Yesus, baru kepada Alkitab, atau sedang membantu kawan yang baru kepada kedua-duanya - Mula Di Sini. Sepanjang 15 hari akan datang, panduan audio selama 5 minit ini akan membawa anda langkah demi langkah meneliti dua kitab asas Alkitab: Markus dan Kolose. Ikuti cerita Yesus dan ketahui asas-asas mengikuti-Nya, dengan soalan harian untuk renungan individu ataupun perbincangan kumpulan. Ikut sekali untuk bermula, kemudian jemputlah kawan anda bersama-sama dan ikut-Nya lagi!
More