Mula Di Sini | Langkah Pertama Dengan YesusSampel
Markus 6-7 | Diutus untuk Melayani
Kita melihat Markus 6 pada hari ini, dan sudah tiba masanya untuk turun padang. Mengikuti Yesus tidak dimaksudkan untuk menjadi sukan tontonan, dan murid-murid bakal mendapat masa bermain.
Keadaannya sama buat anda. Jika anda mengikuti Yesus, anda telah dipanggil untuk pelayanan, tiada pengecualian. Jika anda bukan orang percaya, jemputannya masih terbuka. Walau bagaimanapun, ingatlah bahawa anda tidak dijemput untuk menyertai sesebuah institusi, anda dipanggil untuk suatu pergerakan.
Apakah maksudnya terhadap murid-murid itu? Mereka bakal mendapat tahu tentangnya. Markus 6, ayat 7:
"Dia memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu mengutus mereka berdua-dua, dan memberi mereka kuasa untuk mengusir roh jahat."
Perhatikan bahawa Yesus telah mengutus mereka. Pelayanan tidak menunggu orang untuk datang, ia pergi ke tempat yang mempunyai keperluan. Dan Dia telah mengutus mereka berdua-dua - pelayanan merupakan sukan berpasukan. Dia memberikan mereka kuasa - kuasa Allah - untuk pergi.
Dia juga memberikan mereka arahan. Ayat 8:
"Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat. Jangan bawa makanan, atau beg sedekah, ataupun wang."
Jadi, misi pertama mereka adalah satu pengajaran tentang iman. Tiada peruntukan - hanya iman. Akan tetapi, arahannya tidak sama setiap kali. Kemudian, Yesus akan mengutus mereka untuk misi yang lain dengan peruntukan. Misi bukanlah satu rumus atau resipi, ia merupakan suatu pengembaraan, dan kunci sebenarnya adalah mendapat arahan anda daripada Tuhan setiap kali. Mengikuti Yesus bermaksud mengikuti arahan, dan sentiasa mempercayai Allah. Dengan tangan kosong ataupun dibekali sepenuhnya, percayalah Allah untuk memberi.
Bagaimanakah ia berkembang? Ayat 12:
"Mereka mengusir roh jahat, menyapukan minyak zaitun pada orang sakit, dan menyembuhkan mereka."
Mereka telah melakukannya! Mereka percaya, dan Allah memberi. Mereka kembali kepada Yesus untuk memberikan laporan mereka, tetapi dengan cepat orang ramai telah berhimpun, dan dalam ayat 31, Dia berkata kepada murid-murid itu,
"Marilah kita pergi ke tempat yang sunyi supaya kita dapat sendirian dan kamu pun boleh berehat sekejap."
Petua pelayanan yang penting di sini adalah: berehat bersama dengan Yesus. Maka, mereka beralih ke satu tempat yang sunyi, tetapi orang ramai sampai ke sana terlebih dahulu! Maaf - tiada masa berehat. Ayat 34:
"Apabila Yesus turun dari perahu, Dia nampak orang ramai di situ. Hati-Nya penuh belas kasihan."
Saya selalu rasa kagum akan keupayaan Yesus untuk berbelas kasihan. Belas kasihan bermaksud "menderita bersama-sama" - dan itulah yang dilakukan Yesus. Dia melihat keperluan orang dan mengambil berat. Dan Dia mengajar murid-murid untuk mengambil berat.
Yesus mengajar dan hari telah lewat. Orang yang ramai - lokasi yang sunyi - dan mereka memerlukan makanan. Murid-murid memberitahu Yesus untuk menyuruh orang itu untuk pergi. Munasabah. Ayat 37:
"Tetapi Yesus menjawab, ‘Sebaiknya kamu beri mereka makanan.'"
Tumpukan perhatian. Murid-murid melihat keperluan itu, dan Yesus memberitahu mereka untuk memberi orang itu makanan. Namun, makanan tidak mencukupi. Jauh daripada cukup! Dan tempat itu sangat terpencil.
Walau bagaimanapun, ingatlah apa yang baru mereka pelajari: dengan tangan kosong ataupun dibekali sepenuhnya, percayalah Allah untuk memberi. Ayat 38:
"Yesus berkata kepada mereka, 'Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.' Setelah mereka pergi melihat, mereka berkata, 'Lima ketul roti dan dua ekor ikan.'"
Roti dan ikan itu hanya cukup untuk beberapa orang, bukannya beberapa ribu orang. Namun, lihat dengan teliti. Mereka memberitahu orang ramai itu untuk duduk, dan dalam ayat 41,
"Setelah itu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu lalu menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu."
Tunggu. Jedakan pita dan lihat dengan teliti. Yesus mengucap syukur, membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada setiap murid - berapa banyak?
Letakkan diri dalam keadaan mereka. Lihatlah tangan anda - barangkali setengah ketul roti, beberapa cebisan ikan. Lihatlah sekeliling anda - beratus-ratus orang. Namun, Yesus berkata berikan mereka makanan, maka, anda mengedarkan makanan itu. Ayat 42:
"Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan roti itu kira-kira lima ribu orang."
Itu adalah menakjubkan. Ia masih berlaku. Saya pernah dengar banyak cerita roti dan ikan kehidupan sebenar daripada kawan-kawan saya dalam pelayanan. Kerja bantuan hurikan di bahagian Selatan, memberikan makanan kepada golongan miskin di Mexico, dan banyak lagi. Ada kalanya, sebuah trak muncul entah dari mana. Ada kalanya, bekalan yang kecil tahan lebih lama daripada yang mungkin. Mukjizat yang bukan dibuat-buat - tetapi sentiasa di tengah-tengah memenuhi keperluan. Sentiasa dalam pelayanan berbelas kasihan.
Semasa anda membaca Markus 6 dan 7, perhatikan mukjizat Yesus. Adakah Dia menunjuk-nunjuk - atau menunjukkan belas kasihan? Adakah Dia mengajar murid-murid itu untuk melakukan mukjizat, atau untuk menjaga dan membantu walaupun semasa keperluan adalah jauh lebih daripada yang dapat diberikan mereka?
Saya telah pelajari dahulu bahawa saya tidak cukup. Walau bagaimanapun, pelayanan adalah panggilan untuk sesuatu yang lebih besar daripada diri kita, sesuatu yang tidak dapat dilakukan sendiri.
Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda memiliki apa yang diperlukan untuk membantu semua orang ini? Tidak? Saya juga. Namun, Yesus berkata pergi, jadi, pergilah. Dengan tangan kosong atau dibekali sepenuhnya, percayalah Allah… dan turun padang.
Renungan & Perbincangan:
- Pada pendapat anda, apakah yang diajarkan Yesus kepada murid-murid-Nya semasa Dia mengutus mereka tanpa wang? Bagaimana pula semasa Dia memberitahu mereka untuk memberikan makanan kepada 5,000 orang tanpa makanan yang mencukupi? Adakah pengajaran tersebut masih relevan pada zaman ini?
- Apakah pengalaman anda dalam melayani Allah dan membantu orang lain? Kongsikan cerita anda.
- Jika anda dapat melakukan apa-apa sahaja untuk Allah, apakah yang ingin anda lakukan?
Perihal Pelan
Jika anda baru kepada Yesus, baru kepada Alkitab, atau sedang membantu kawan yang baru kepada kedua-duanya - Mula Di Sini. Sepanjang 15 hari akan datang, panduan audio selama 5 minit ini akan membawa anda langkah demi langkah meneliti dua kitab asas Alkitab: Markus dan Kolose. Ikuti cerita Yesus dan ketahui asas-asas mengikuti-Nya, dengan soalan harian untuk renungan individu ataupun perbincangan kumpulan. Ikut sekali untuk bermula, kemudian jemputlah kawan anda bersama-sama dan ikut-Nya lagi!
More