Mula Di Sini | Langkah Pertama Dengan YesusSampel

Start Here | First Steps With Jesus

HARI 2 DARIPADA 15

Markus 2-3 | Diampunkan & Dipilih

Selamat kembali ke Mula Di Sini. Kita melihat Markus 2 pada hari ini, dengan salah satu cerita kegemaran saya. Dalam Alkitab, Yesus membuat beberapa dakwaan yang besar - cukup besar untuk menyebabkan Dia dibunuh. Walau bagaimanapun, sesiapa sahaja boleh membuat sebarang dakwaan. Persoalannya adalah - adakah Yesus membuktikannya? Dalam Markus 2, kita mendapati Yesus mengajar di sebuah rumah di Kapernaum, dan berita tentang itu tersebar. Ayat 2:

"Banyak sekali orang datang berkumpul di situ, sehingga tidak ada tempat. Bahkan di pintu pun penuh sesak dengan orang. Lalu Yesus memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada mereka."

Jadi, tempat itu penuh sesak dengan orang, dan Yesus mengkhabarkan Firman - iaitu, Alkitab. Yesus sentiasa memfokus pada Firman Allah. Dia juga melakukan mukjizat, tetapi Yesus menggelar mukjizat tersebut sebagai tanda, dan tanda menunjuk kepada sesuatu yang lain. Contoh yang sempurna: cerita hari ini. Ayat 3:

"Sementara Yesus berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh. Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Yesus. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, 'Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan.'"

Tunggu. Gulung semula pita itu. Adakah Dia mengatakan, "Dosamu sudah diampunkan?" Lelaki itu datang untuk penyembuhan, bukan pengampunan. Namun, Yesus mengetahui sesuatu: tiada isu dalam kehidupan yang sebesar dosa dan pengampunan. Lihatlah apa yang berlaku seterusnya. Beberapa orang guru Yahudi berada di sana, dan mereka terkejut. 

"Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!" (Markus 2:7)

Mereka adalah betul tentang bahagian terakhir ini. Mendakwa dapat mengampunkan dosa bermaksud mendakwa memiliki kuasa Allah. Jika itu tidak benar, ia adalah kata-kata kufur - suatu dosa yang amat serius. Yesus mengetahui fikiran mereka, maka Dia mengajukan satu soalan. Ayat 9:

"Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan’?"

Saya suka soalan ini. Pertimbangkannya. Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan? "Dosamu sudah diampunkan." Itu mudah dikatakan kerana tiada orang dapat melihatnya. Walau bagaimanapun, ia lebih sukar untuk dilakukan! Hanya Allah boleh mengampunkan dosa! Namun, mengatakan kepada orang yang lumpuh, "Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan" - itu mempertaruhkan segalanya. Semua orang sedang memandang. Jadi, dalam ayat 10 Yesus meneruskan,

"'Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.' Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, 'Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!' Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah."

Mukjizat ini adalah mengagumkan: orang yang lumpuh berjalan! Walau bagaimanapun, jangan terlepas tanda itu, ia menunjukkan kuasa YesusYesus memiliki kuasa Allah untuk mengampunkan dosa, dan Dia membuktikannya. Dia menggunakannya sekali lagi dalam cerita seterusnya. Dalam ayat 13, Yesus mengajar di tepi tasik, dan Dia melihat Lewi yang bekerja sebagai pemungut cukai. Pemungut cukai dibenci pada zaman itu, lelaki yang korup, yang menggelapkan jumlah wang yang lebih besar daripada jumlah yang diberikan kepada kerajaan. Ketamakan yang jahat. Namun, Yesus mendekati Lewi.

"Yesus berkata kepadanya, 'Ikutlah Aku.' Lewi berdiri lalu mengikut Yesus" (2:14).

Kata-kata itu muncul lagi, jemputan yang sama. Tetapi kali ini, Yesus menjemput seorang pendosa - orang yang sangat jahat. Dan Lewi mengikut-Nya! Semasa Lewi menjemput Yesus dan murid-murid-Nya untuk makan malam, lebih ramai orang berdosa lagi yang hadir. Keadaan ini adalah amat sukar untuk difahami orang Farisi. Orang Farisi merupakan pemimpin agama - jenis yang bersifat menghakimi dan menganggap diri sendiri yang betul - yang tidak dapat memahaminya. Jika Yesus ialah seorang rabi yang baik, 

"Mengapa dia makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?" (2:16).

Ayat 17 merupakan satu pernyataan yang mendalam:

"Yesus mendengar pertanyaan mereka, lalu menjawab, 'Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya. Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi untuk orang yang dihina masyarakat.'"

Jangan terlepas ini, Yesus telah memilih orang yang berdosa. Lewi merupakan orang yang berdosa. Demikian juga kawan-kawannya. Walau bagaimanapun, sebagaimana doktor datang untuk menyembuhkan orang yang sakit, Yesus datang untuk mengampunkan dan memulihkan orang berdosa - untuk menjadikan mereka benar. Benar bermaksud benar di hadapan Allah. Itulah perkataan yang penting. Anda mengetahui bukan, perasaan antara dua orang apabila hubungan anda adalah betul - apabila tiada apa-apa yang menghalang anda? Dan anda mungkin tahu perasaan apabila hubungan itu adalah tidak betul - apabila satu tembok muncul di antara anda kerana kesalahan yang dilakukan. Itulah keadaannya dengan Allah. Dosa memisahkan kita. Kita telah bersalah. Namun injil - berita baiknya - adalah Yesus telah datang untuk membenarkan kita semula. Dia mengampunkan dosa, dan memanggil kita benar. Perkara yang dituntut-Nya daripada kita adalah iman. Benar melalui iman. Dan lebih menakjubkan lagi, Yesus memilih orang berdosa, menjadikan mereka benar, dan mengutus mereka ke luar untuk melayani Allah. Dalam bab 3, kita akan membaca tentang pemanggilan dua belas orang murid oleh Yesus, dan melantik mereka untuk menjadi rasul-rasul. Seseorang murid mengikut, seseorang rasul diutus - seperti seorang duta. Dalam senarai 12 orang itu, Lewi dimasukkan, cumanya namanya telah diubah kepada Matius. Yesus memilih orang berdosa, mengampunkan mereka, menyembuh dan mengubah mereka, dan Dia mengutus mereka untuk memberitakan berita baik kepada orang berdosa yang lain: Allah mengasihi anda. Menakjubkan. Dia masih melakukannya hari ini. Baca Markus 2 dan 3 pada hari ini. Jika anda mempunyai masa, ketik "Baca Bab Sepenuhnya" untuk memahami seluruh ceritanya. Saya akan menemui anda semula dalam bab 4.

Renungan & Perbincangan:

  • Pada pendapat anda, mengapakah sukar bagi pemimpin agama tersebut menerima bahawa Yesus makan bersama dengan orang berdosa?
  • Yesus membuat pernyataan yang mendalam dalam 2:17, "Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya. Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi untuk orang yang dihina masyarakat." Apakah maksud pernyataan ini bagi anda?
  • Apakah peranan yang dimainkan pengampunan dalam kehidupan anda? Kongsikan cerita anda.
Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

Start Here | First Steps With Jesus

Jika anda baru kepada Yesus, baru kepada Alkitab, atau sedang membantu kawan yang baru kepada kedua-duanya - Mula Di Sini. Sepanjang 15 hari akan datang, panduan audio selama 5 minit ini akan membawa anda langkah demi langkah meneliti dua kitab asas Alkitab: Markus dan Kolose. Ikuti cerita Yesus dan ketahui asas-asas mengikuti-Nya, dengan soalan harian untuk renungan individu ataupun perbincangan kumpulan. Ikut sekali untuk bermula, kemudian jemputlah kawan anda bersama-sama dan ikut-Nya lagi!

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Through The Word kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://throughtheword.org