Mula Di Sini | Langkah Pertama Dengan YesusSampel
Kolose 3 | Dibaharui Seperti Diri-Nya
Helo dan selamat kembali kawan-kawan. Kita bermula dengan soalan: Adakah mengikuti Yesus tentang tabiat yang baru ataupun diri yang baru? Adakah ia tentang menjalankan hidup secara berbeza ataupun menjadi berbeza? Jawapannya adalah kedua-duanya - tetapi tertibnya adalah penting.
Dalam Kolose 2, Paulus menjelaskan bahawa mengikuti Yesus bukan satu set peraturan yang perlu dipatuhi, ia adalah satu kehidupan yang baru. Kuburkan hidup yang lama dan kenakan hidup yang baru. Hari ini dalam bab 3, dia memberitahu kita cara menjalankan hidup baru itu. Ayat 1:
"Kamu sudah dihidupkan semula bersama-sama Kristus. Oleh itu kamu harus mengingini perkara-perkara yang di syurga, di tempat Kristus duduk di atas takhta di sebelah kanan Allah. Hendaklah kamu memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di syurga, bukan kepada perkara-perkara yang di bumi."
Inilah kuncinya: tetapkan hati anda - dan tetapkan fikiran anda - pada syurga. Fikir tentang Yesus. Fikir tentang syurga. Kumpulkan semua harta anda di sana. Letakkan pelaburan terbesar anda di syurga. Apabila kehidupan mengecewakan anda, sentiasa ingat untuk pandang ke atas. Ayat 3:
"Hal itu demikian kerana kamu sudah mati, dan hidup kamu tersembunyi dengan Kristus di dalam Allah."
Saya suka itu. "Hidup kamu tersembunyi." Orang lain akan tertanya-tanya apakah yang menyebabkan anda hidup - dan ia adalah Yesus. Dialah hidup anda.
Ayat selebihnya bab ini adalah tentang satu perkara: matikan hidup yang lama, dan hidup seperti manusia baru. Ayat 5:
"Oleh itu, matikanlah keinginan duniawi yang menguasai diri kamu, seperti perbuatan cabul, perkara yang tidak senonoh, hawa nafsu, keinginan yang jahat, dan ketamakan (kerana ketamakan itu serupa dengan penyembahan berhala)."
Tumpukan perhatian pada cara ia berfungsi. Seseorang Kristian berhenti melakukan hal yang jahat - bukan melalui pematuhan peraturan, tetapi dengan mematikan bahagian dalam diri yang ingin melakukan kejahatan. Maka, dalam ayat 8:
"…kamu tidak boleh… marah, mengamuk, dan mempunyai perasaan benci terhadap orang lain. Janganlah caci maki orang ataupun guna kata-kata lucah."
Berhenti berdosa adalah lebih senang dikatakan daripada dilakukan. Jadi, saya ingin mencadangkan dua hal. Pertama, kaji Roma 6 hingga 8. Hal yang penting di sini adalah dipenuhi Roh Kudus.
Kedua, mulakan tabiat yang sihat mengakui dosa anda kepada Allah dan kepada seseorang yang dipercayai. Yakobus 5 menyatakan:
"Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan dan berdoa bagi satu sama lain, supaya kamu disembuhkan" (Yakobus 5:16).
Penyembuhan daripada dosa bermula dengan pengakuan dan doa.
Dalam ayat 9 pula:
"Janganlah saling mendustai, kerana kamu sudah membuang hidup yang lama dengan semua sifatnya. Sekarang kamu menjadi manusia baru yang sentiasa dibaharui oleh Penciptanya iaitu Allah, supaya menjadi seperti Dia. Dengan demikian kamu dapat mengenal Allah dengan sempurna."
Itulah intinya. Hidup seperti manusia baru. Jadilah manusia baru yang dibaharui Allah. Allah sentiasa membaharui anda seperti diri-Nya. Dalam Kejadian 1, Allah telah mencipta manusia seperti diri-Nya, tetapi keserupaan itu telah dirosakkan dosa. Kemudian, Yesus datang. Yesus adalah menurut gambar Allah. Dia datang sebagai manusia untuk memberikan kita hidup baru dan membaharui kita dalam-Nya, memulihkan gambar kita yang dimaksudkan.
Itu mengubah segala sesuatu. Dalam ayat 11, ia melenyapkan perbezaan antara kita - perbezaan bangsa, warna kulit, jantina, dan status yang menyebabkan kebencian, penindasan, dan peperangan. Galatia 3 menyatakan,
"Dalam hal ini tidak ada lagi perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi, antara abdi dengan orang bebas, antara lelaki dengan perempuan. Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus" (Galatia 3:28).
Kita adalah setaraf, dan kita adalah satu dalam Kristus. Kesatuan adalah panggilan kita. Orang Kristian gagal melakukan ini untuk tempoh yang terlalu panjang, tetapi itulah panggilan kita.
Paulus memberikan kita gambaran hidup baru ini, kenakanlah...
"…belas kasihan, kemurahan, kerendahan hati, kelemahlembutan dan kesabaran."
Dengan kata lain, melayani orang lain sebagaimana Yesus melayani. Dan mengampuni sebagaimana Allah telah mengampunkan kita. Dan perkara yang terpenting - mengasihi. Mengikut Yesus bermaksud saling mengasihi.
Kita dipanggil untuk kedamaian, maka, biarlah kedamaian Kristus memerintah dalam hati anda. Kita dipanggil untuk kesatuan, maka, saling melayani satu sama lain dengan rendah hati. Anda mungkin sedar bahawa kebanyakan kata-kata yang menggambarkan hidup baru anda adalah tentang cara anda bertindak terhadap orang lain. Anda yang baru di dalam diri anda mempengaruhi cara anda melayani orang lain di luar. Maka, saling melayanilah dengan penuh kasih sayang. Itulah tabiat baru anda yang seterusnya: melayani orang lain.
Kemudiannya, dalam ayat 18, hubungan anda dibaharui di rumah dan di tempat kerja. Perkahwinan mencapai dinamik yang baru:
"Hai isteri, taatlah..." dan "Hai suami, kasihilah..." (3:18-19).
Perhatikan kata-kata itu dengan teliti, dan ingatlah apa yang baru dibaca dalam Galatia: lelaki dan perempuan adalah sama dalam Kristus. Walau bagaimanapun, kedua-dua suami dan isteri dipanggil untuk berserah dan berkorban. Namun, berserah tidak sama dengan mematuhi. Penyerahan adalah tanda hormat yang ditunjukkan antara orang yang setaraf, sikap memberi dan bekerjasama secara sukarela. Penyerahan merupakan tanda kerendahan hati yang mulia, menunjukkan rasa hormat dan memuliakan. Itulah panggilan tertinggi isteri Kristian.
Suami pula dipanggil untuk mengasihi. Ia bukan sahaja suatu perasaan, tetapi pengorbanan yang sebenar. Mengasihi seperti Yesus, mengorbankan nyawa untuk pengantin anda. Dengan kata lain, isteri berserah, sementara suami memberikan segala sesuatu. Untuk maklumat lanjut, baca Efesus 5 dan 1 Petrus 3.
Hari ini, bacalah Kolose 3. Mulakan beberapa tabiat yang baru - tabiat Alkitab, tabiat membuat pengakuan, tabiat melayani - bukan untuk menjadi manusia baru, tetapi kerana anda ialah manusia baru. Anda telah dibaharui seperti diri-Nya.
Renungan & Perbincangan:
- Pada pendapat anda, apakah maksud membuang hidup yang lama dan menjadi manusia baru? (Ayat 9-10).
- Apakah perubahan yang telah anda perhatikan dalam hidup anda yang menunjukkan bahawa anda "dibaharui" supaya menjadi seperti Pencipta anda? (Ayat 10).
- Hari ini kita telah menambahkan dua tabiat baru: pengakuan dan pelayanan. Mengapakah dua tabiat itu penting?
Kitab
Perihal Pelan
Jika anda baru kepada Yesus, baru kepada Alkitab, atau sedang membantu kawan yang baru kepada kedua-duanya - Mula Di Sini. Sepanjang 15 hari akan datang, panduan audio selama 5 minit ini akan membawa anda langkah demi langkah meneliti dua kitab asas Alkitab: Markus dan Kolose. Ikuti cerita Yesus dan ketahui asas-asas mengikuti-Nya, dengan soalan harian untuk renungan individu ataupun perbincangan kumpulan. Ikut sekali untuk bermula, kemudian jemputlah kawan anda bersama-sama dan ikut-Nya lagi!
More