Renungan Kesyukuran Harian Paul TrippSampel
Memanglah benar bahawa salah satu dosa terbesar dalam hubungan kita adalah dosa sifat pelupa. Pertimbangkan perumpamaan Yesus yang berikut:
Aku berkata demikian, kerana apabila Allah memerintah keadaannya seperti berikut. Seorang raja hendak memeriksa akaun pegawai-pegawainya. Apabila raja mula berbuat demikian, salah seorang pegawainya yang meminjam wang beratus-ratus juta dibawa menghadap. Pegawai itu tidak mempunyai cukup wang untuk melunaskan hutangnya. Oleh itu, raja memberikan perintah supaya pegawai itu dijual sebagai hamba bersama-sama anak isterinya dan segala harta miliknya, untuk melunaskan hutang. Pegawai itu sujud di hadapan raja dan memohon, ‘Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan melunaskan segala hutang hamba.’ Raja itu kasihan kepadanya lalu menghapuskan semua hutangnya dan membebaskan dia. Tetapi apabila pegawai itu keluar, dia berjumpa dengan seorang pegawai lain yang berhutang wang beberapa ratus sahaja kepadanya. Dia menangkap rakannya, lalu mencekiknya dan berkata, ‘Lunaskan semua hutangmu.’ Rakannya itu sujud di hadapannya dan memohon, ‘Bersabarlah, aku akan melunaskan hutangku!’ Tetapi pegawai itu tidak menghiraukan permohonan rakannya. Sebaliknya, dia memberikan perintah supaya rakannya dipenjarakan sehingga dia melunaskan hutangnya. Apabila pegawai-pegawai yang lain melihat hal itu, mereka sangat sedih dan melaporkan segala perkara itu kepada raja. Lalu raja memanggil pegawai yang jahat itu dan bertitah, ‘Hai hamba yang jahat! Semua hutangmu sudah dihapuskan kerana kamu memohon supaya beta mengampunimu. Sepatutnya kamu mengasihani rakanmu, sebagaimana beta sudah mengasihani kamu.’ (Mat 18:23-33)
Kita mungkin bersifat pelupa. Kita mungkin gagal mengingati keindahan kasih dan belas kasihan yang mengagumkan yang telah dicurahkan kepada kita. Kita mungkin lupa bahawa kita tidak mungkin memperoleh atau tidak patut menerima perkara yang terbaik dalam kehidupan kita; perkara yang terbaik itu hanya menjadi milik kita melalui kasih karunia. Inilah masalahnya: setakat mana anda terlupa akan kasih karunia yang telah diberikan kepada anda, setakat itulah mudahnya anda tidak berbelas kasihan terhadap orang lain. Setakat mana anda terlupa akan betapa banyak anda telah diampunkan, setakat itulah mudahnya anda tidak memaafkan orang lain dalam kehidupan anda. Jika anda gagal bersyukur terhadap kasih yang telah diberikan kepada anda secara percuma, demikian mudahnya juga anda tidak mengasihi orang lain sebagaimana yang seharusnya.
Memanglah dan sentiasalah benar bahawa tiada orang yang berbelas kasihan lebih baik daripada orang yang sangat yakin bahawa ia sendiri memerlukan belas kasihan dan bahawa kasih karunia telah diberikan oleh Allah yang penyayang. Dia memberikan apa yang tidak mungkin diperoleh; oleh itu, mengapakah kita berpaling dan enggan berbelas kasihan sehingga orang lain mencapai standard yang telah kita tetapkan? Panggilan untuk memaafkan orang lain segera mendedahkan keperluan kita akan pengampunan. Panggilan untuk berbelas kasihan mendedahkan betapa banyak kita memerlukan kasih karunia. Panggilan untuk memaafkan orang lain adalah pada waktu yang sama panggilan untuk mengingati dan untuk bersyukur. Apabila anda ingat betapa jauhnya anda daripada Allah, anda akan berlembut dengan orang lain yang jauh daripada Allah, dan anda berharap mereka akan menerima kasih karunia yang sama yang merupakan satu-satunya harapan anda. Semoga Allah memberikan kita kasih karunia untuk mengingati dan kerelaan untuk memberikan kepada orang lain apa yang telah diberikan kepada kita.
Kitab
Perihal Pelan
Hari Kesyukuran adalah masa untuk mengingati semua perkara baik yang telah diberikan secara murah hati oleh Allah kepada kita. Walau bagaimanapun, kadang-kadang kesibukan musim ini menghalang kita daripada meluangkan masa untuk mengucapkan syukur kepada Allah kerana banyak kurnia-Nya. Dengan renungan yang menggalakkan daripada Paul David Tripp, renungan pendek ini hanya memakan masa 5 minit, tetapi akan mendorong anda untuk merenungkan belas kasihan Allah sepanjang hari.
More