Jangan Berputus AsaSampel
Hari 3—Bertabah untuk Orang Lain
Paulus memang tahu tentang kesusahan. Ia mengalami pemenjaraan, pemukulan, nahas kapal, kelaparan, keletihan, dan banyak lagi demi Kristus. Namun, melalui semua itu, ia tetap tabah. Ia terus bergerak ke depan. Walau bagaimanapun, ia tidak berbuat demikian demi Kristus sahaja—ia melakukannya untuk orang lain.
“Sepanjang hidup kami, kami sentiasa diancam oleh kematian kerana Yesus, supaya kehidupan Yesus pun nyata pada tubuh kami yang fana. Hal ini bererti bahawa kami sentiasa menghadapi ancaman kematian, tetapi kamu mendapat hidup.”
Paulus sedar bahawa menahan kesusahan mewujudkan peluang untuk memuliakan Kristus, yang membawa kepada keselamatan banyak orang. Demikian juga dengan anda dan cara anda menjalankan hidup anda. Apabila anda tabah mengharungi waktu yang susah, berpegang pada hal yang benar dan mulia, orang lain akan memberikan perhatian. Apabila mereka melihat cara anda menghadapi waktu yang susah, mereka akan berminat untuk mengetahui lebih lanjut.
Adik lelaki saya menunjukkan ini dengan baik pada suatu musim hidupnya yang amat sukar. Dalam umur dua puluhan, ia dan teman wanitanya bersetubuh di luar nikah. Teman wanitanya hamil, dan mereka mendapat tahu sehari sebelum adik saya merancang untuk melamar. Mereka telah membuat kesilapan tetapi mereka tidak tahu apa yang bakal berlaku.
Tidak lama selepas mereka mengetahui tentang kehamilan itu, perempuan itu memutuskan hubungan dengannya, dan mereka tidak berjumpa sehingga anak perempuannya dilahirkan. Itu merupakan musim yang amat menyakiti hati adik saya. Ia bukan sahaja kehilangan perempuan yang dikasihi, malah terlepas pengalaman meraikan kelahiran anak perempuannya.
Hal yang betul-betul menakjubkan ialah bagaimana ia melalui musim itu dengan beriman dan ketaatan. Ia mengambil jalan pemulihan ekoran daripada dosanya, ia juga menemui keintiman serta penyembuhan Bapa. Orang yang mengenalinya—sesetengahnya bukan orang yang percaya—memberi perhatian terhadap ketabahannya di tengah-tengah ribut itu, dan semuanya menunjuk kepada Allah. Kesusahannya memuliakan Allah secara indah. Saya juga gembira melaporkan bahawa Allah telah menebus hubungan itu, dan kini mereka sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak!
Saya berkongsi ini kerana kita semua pernah mengalami waktu yang membuat kita ingin berputus asa kerana keletihan dan kekecewaan. Namun, kita tidak boleh berputus asa. Kita perlu meneruskan hidup walau betapa susah pun musim itu. Ia akan memberikan manfaat yang besar jika anda bertahan, tetapi ia juga akan melayani orang lain. Ketabahan anda berupaya mengarahkan orang lain kepada Kristus, lalu membawa kepada kehidupan yang terubah!
Kitab
Perihal Pelan
Pernahkah anda berasa sungguh penat atau tumpas dalam hidup sehinggakan anda ingin berputus asa? Alkitab penuh dengan dorongan untuk tetap tabah dan sabar meneruskan hidup! Pelan bacaan 7 hari ini akan menyegarkan anda untuk perjalanan akan datang.
More