Cahaya bagi Dunia - Renungan AdvenSampel
Kedamaian
Raja Damai
oleh Pastor Maxim Belousov, Rakan OneHope di Ukraine
“Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.” — Filipi 4:7
Kehidupan pada Palestin abad pertama tidak mungkin aman.
Tidaklah susah untuk membayangkan perbualan gembala yang duduk di sekeliling api semasa menjaga ternakan mereka pada malam Krismas yang pertama itu. Berapa lama kita mesti hidup dalam ketakutan? Bilakah ini akan berakhir? Mengapa Allah membenarkan banyak perkara teruk untuk berlaku kepada kita? Adakah kedamaian mungkin bagi umat kita? Keluarga kita? Diri kita ini?
Namun, di tengah-tengah soalan yang susah, keraguan dan kerisauan tersebut, Allah menembusi kegelapan malam dengan malaikat untuk menenangkan mereka.
Dengan kemuliaan Tuhan yang terpancar di sekeliling mereka, malaikat memberitahu gembala — dan anda — bahawa Allah bukannya tidak tahu tentang keadaan anda. Dia tahu bahawa anda takut, tetapi anda tidak perlu berasa takut kerana Dia berkuasa. Mesias anda ada!
Juga, kata-kata yang terkenal dalam Lukas 2:14 —
"Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!"
Bagi anak perempuan di Syria yang baru kehilangan ibu bapa dan adik lelakinya kerana pengeboman, kata-kata tersebut menjanjikan bahawa peperangan akan berakhir.
Bagi ibu yang hatinya terseksa kerana ketagihan dadah, kata-kata tersebut menandakan ia tidak lagi berasa bersalah dan merupakan sebab untuk berharapan.
Bagi anda dan saya — dan seluruh dunia ini — ini merupakan hadiah Krismas yang tidak ternilai harganya. Marilah kita bersukacita dan memuliakan Allah: Penyelamat telah dilahirkan, Raja Damai sudah datang!
Renungan
Melalui kelahiran Yesus Kristus, Allah mahu kita untuk mengalami kedamaian-Nya yang kekal dan berjalan dengan sokongan-Nya. Dalam lingkungan hidup anda yang manakah anda perlu mengalami janji kedamaian Allah? Apakah persoalan dan pergelutan yang ditenangkan oleh Allah untuk anda?
Permintaan Doa
Berdoalah untuk pelarian Syria dan orang lain yang mengalami kedahsyatan peperangan pada Krismas ini agar mereka mengalami kedamaian dan penghiburan Allah.
Berdoalah untuk penjangkauan Krismas OneHope di Ukraine dan di seluruh Eropah — agar hati terbuka terhadap Injil, dan banyak kanak-kanak, orang muda serta keluarga mereka akan mempercayai Yesus Kristus.
Meraikan Krismas di Ukraine
Orang Ukraine meraikan hari Krismas pada 7 Januari!
Pada hari sebelum Krismas, keluarga dan kawan berkumpul untuk makan dan berpesta. Kanak-kanak dan orang dewasa menyanyikan karol dari rumah ke rumah, saling memberikan galakan, dan berkongsi harapan Yesus Kristus.
"Shchedryk" merupakan lagu Krismas yang digemari, oleh penggubah Ukraine, Mykola Leontovych, pada tahun 1914. Anda mungkin mengenali lagu itu sebagai "Carol of the Bells."
Orang muda suka melibatkan diri dalam pelbagai nyanyian — dan persembahan kilat berkumpulan — di gedung membeli-belah dan jalan yang sibuk pada hari Krismas.
Kumpulan pemuda dan sekolah minggu kerap berusaha untuk menjangkau komuniti mereka pada Krismas — melawat hospital dan rumah anak yatim untuk memberikan hadiah dan berkongsi cerita Krismas. Gereja juga menganjurkan kebaktian yang diterangi cahaya lilin, yang sentiasa penuh sesak dengan orang percaya dan tetamu.
Kitab
Perihal Pelan
Jutaan orang Kristian di seluruh dunia ini akan meraikan hari Krismas tahun ini. Adven, perayaan yang indah dari segi simbolik menjelang hari Krismas, merupakan sebahagian yang besar daripada temasya hari Krismas di banyak negara. Semasa anda membaca renungan Adven yang menarik ini, anda berpeluang menyertai saudara dan saudari dari negara yang jauh dan meraikan bersama-sama serta belajar daripada perspektif dan tradisi mereka yang unik dan berkuasa.
More