Cahaya bagi Dunia - Renungan AdvenSampel
Sukacita
Sukacita Kita yang Kekal
oleh Pastor Sylvanus Elorm, Pengarah Serantau Afrika Barat
“Tetapi malaikat itu berkata, 'Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang.’” — Lukas 2:10
Kesukaan bagi dunia, Tuhan telah datang!
Kedatangan Tuhan Yesus telah membawa sukacita yang tidak terkatakan kepada penduduk bumi ini — sukacita yang terus dirasai dan dilihat di setiap pelosok pada Krismas. Sukacita terangkum dalam ...
· Lagu yang kedengaran di setiap rumah dan kedai.
· Hiasan yang cantik di rumah.
· Ramah mesra dan kebaikan hati sesama manusia.
· Kanak-kanak di jalan yang bersorak gembira dan teruja.
Sukacita ialah sebab mengapa banyak orang memiliki kenangan yang ajaib dan menakjubkan tentang Krismas — dan menantikannya dengan penuh harapan setiap tahun.
Walau bagaimanapun, apakah itu sukacita? Pelbagai kamus mentakrifkan sukacita sebagai kegembiraan yang amat sangat — tetapi hati kita menyedari bahawa sukacita adalah jauh lebih daripada kesyukuran yang timbul kerana keadaan berjalan lancar bagi kita, menerima semua mainan yang diingini, atau memakan hidangan sedap yang digemari.
Kegembiraan boleh dialami secara sementara sahaja. Kegembiraan tidak kekal lama. Namun, sukacita ialah keadaan yang kekal — keadaan bahagia walaupun dirasakan tidak mungkin. Sukacita yang sebenar berkaitan dengan kedatangan Yesus ke bumi, kerana adven-Nya membawa yang berikut kepada kita ...
· Pembebasan
· Penebusan
· Penghiburan
· Kedamaian
· Kekuatan
· Kebebasan
· Keselamatan
· Dan banyak lagi!
Sukacita ini — sukacita yang kekal — dimaksudkan untuk dikongsi dengan setiap orang — terutamanya semasa musim Krismas!
Pada Krismas ini, marilah kita mengisytiharkan Berita Baik dengan berani dan penuh sukacita supaya lebih banyak orang lagi akan mengalami kebebasan dan sukacita yang kita miliki dalam Yesus Kristus dan memenuhi syurga dengan lebih banyak sukacita!
Renungan
Sukacita menjadi miliki kita kerana Allah telah datang ke dunia ini. Bagaimanakah anda akan meraikan musim Krismas ini dengan penuh sukacita? Bagaimanakah anda boleh berkongsi sukacita ini dengan orang di sekeliling anda?
Permintaan Doa
Berdoalah untuk Pastor Elorm dan rakan OneHope yang lain — agar Allah terus memberkati pelayanan mereka semasa mereka berkongsi sukacita-Nya yang kekal dengan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia.
Berdoalah untuk orang muda di Sierra Leone dan Afrika Barat — agar sukacita Tuhan akan berjangkit dalam hati mereka pada Krismas ini semasa mereka meraikan kelahiran Kristus dengan kawan dan keluarga.
Berdoalah untuk orang dalam hidup anda yang belum mengetahui sukacita sebenar Krismas. Mintalah Allah untuk menolong anda bersikap berani semasa berkongsi Berita Baik dengan mereka.
Meraikan Krismas di Sierra Leone
Krismas ialah perayaan yang terbesar! Banyak orang berkumpul untuk parti dan temasya, dengan tarian dan keterujaan yang amat sangat. Bola sepak — sukan yang paling popular — juga bermusim sekarang.
Beras — makanan yang paling banyak dimakan di Sierra Leone — dituai pada musim Krismas, memungkinkan keluarga yang paling miskin pun untuk menghidangkan jamuan yang istimewa. Stew ayam dan daging yang lain ialah hidangan yang paling biasa.
Keluarga kerap bertolak ke kampung halaman untuk majlis perjumpaan dan parti dengan orang yang dikasihi. Biasanya, kanak-kanak dan remaja menerima baju baru dan hadiah lain daripada ibu bapa dan saudara-mara.
Kebanyakan orang Kristian akan menghadiri kebaktian gereja yang pendek pada Hari Krismas. Biasanya, mesej itu tertumpu pada kelahiran hina Kristus.
Kitab
Perihal Pelan
Jutaan orang Kristian di seluruh dunia ini akan meraikan hari Krismas tahun ini. Adven, perayaan yang indah dari segi simbolik menjelang hari Krismas, merupakan sebahagian yang besar daripada temasya hari Krismas di banyak negara. Semasa anda membaca renungan Adven yang menarik ini, anda berpeluang menyertai saudara dan saudari dari negara yang jauh dan meraikan bersama-sama serta belajar daripada perspektif dan tradisi mereka yang unik dan berkuasa.
More