Cahaya bagi Dunia - Renungan AdvenSampel

Light of the World - Advent Devotional

HARI 1 DARIPADA 4

  

Pengenalan

oleh Presiden OneHope, Rob Hoskins

Berjuta-juta orang Kristian di seluruh dunia akan meraikan Krismas tahun ini — sepertimana anda dan keluarga anda bersiap sedia untuk meraikannya. 

Banyak orang akan memperingati hari yang istimewa ini dengan beberapa tradisi kegemaran anda — seperti menyanyikan karol Krismas dan kebaktian di gereja yang diterangi lilin. Sesetengah orang akan menandakan kelahiran Penyelamat dengan budaya tersendiri — memakan makanan yang pedas, meraikannya pada hari selain daripada 25 Disember, ataupun menempah tempat duduk di Kentucky Fried Chicken!

Semasa anda membaca renungan yang mengujakan ini, anda berpeluang menyertai dan meraikan bersama dengan saudara dan saudari dari negara yang jauh dan mempelajari perspektif dan tradisi mereka yang unik dan berkuasa.

Salah satu tradisi tersebut ialah Adven — perayaan simbolik yang indah menjelang hari Krismas, dan sebahagian besar daripada temasya Krismas di banyak negara. 

Kerap diperingati dengan penyalaan sebatang lilin pada setiap hari Ahad selama empat minggu, Adven menggambarkan Kristus sebagai "Cahaya Dunia". Setiap lilin melambangkan 1,000 tahun — menandakan 4,000 tahun dunia ini telah menantikan Mesias — dan penuh bermakna. 

  • Minggu 1 — Harapan. Pada hari Ahad ini, "Lilin Nabi" yang berwarna ungu mengingatkan kita bahawa Yesus akan datang. 
  • Minggu 2 — Kasih. Pada hari Ahad ini, "Lilin Betlehem" yang berwarna ungu mengingatkan kita tentang perjalanan Maria dan Yusuf ke Betlehem.
  • Minggu 3 — Sukacita. Pada hari Ahad ini, "Lilin Gembala" yang berwarna merah jambu mengingatkan kita tentang sukacita yang dialami oleh dunia ini kerana kelahiran Penyelamat.
  • Minggu 4 — Kedamaian. Pada hari Ahad ini, "Lilin Malaikat" yang berwarna ungu mengingatkan kita tentang janji malaikat dalam Lukas 2:14 — damai sejahtera di bumi.


Dengan struktur Adven ini, saya percaya iman anda akan rasa terdorong semasa anda membaca mesej Harapan, Kasih, Sukacita dan Kedamaian yang kena pada masanya dan relevan ini. 

Setiap renungan — yang ditulis oleh rakan pelayanan OneHope yang melayani di bahagian dunia yang lain — akan menyediakan ayat Alkitab dan wawasan untuk direnungi serta menolong anda dan keluarga anda untuk meraikan kedatangan Kristus dalam cara yang baru. 

Tambahan lagi, anda akan menemui beberapa gesaan doa yang khusus — bagi anda dan keluarga anda, dan untuk pelayanan kami di seluruh dunia yang menjangkau kanak-kanak dan orang muda dengan Firman Allah yang mengubah kehidupan — di samping fakta yang menarik tentang tradisi Krismas yang istimewa daripada budaya yang berbeza. 

Terima kasih kerana anda meraikan Adven — dan kelahiran Yesus Kristus — bersama dengan saya dan orang percaya di seluruh dunia ini! Saya bersyukur. 

Allah memberkati anda dan keluarga anda pada musim Krismas ini. Semoga musim ini dipenuhi harapan, kasih, sukacita dan kedamaian yang hanya dibawa oleh Kristus.


  

Harapan

Cahaya yang Berkerlip

oleh Hisho Uga, Pengarah Serantau Semenanjung Asia dan Jepun

“Kerana dengan berharap, kita diselamatkan. Tetapi jika kita boleh melihat apa yang kita harapkan, maka hal itu bukan lagi harapan. Siapakah mengharapkan sesuatu yang sudah dilihatnya?” — Roma 8:24

Abang ipar saya ialah seorang penulis drama, dan beberapa tahun lalu, ia menulis lakonan tentang tiga orang adik-beradik perempuan dewasa yang saling mendorong di tengah-tengah keadaan yang susah. 

Seluruh keluarga kami berasa amat teruja apabila surat khabar kebangsaan membuat ulasan tentang lakonan itu — lebih-lebih lagi apabila kami membaca ini:

“Dalam lakonan ini, harapan berkerlip seperti kelip-kelip.”

Itu merupakan ulasan yang indah tentang lakonan itu — tetapi juga pemerhatian yang berkuasa tentang sifat harapan. 

Harapan bukanlah lampu sorot yang terang, tetapi cahaya yang berkerlip. Bukan suara yang menggegarkan bumi, tetapi bisikan yang lembut. 

Harapan kita dibina di atas janji Allah dalam Firman-Nya — jaminan bahawa kemuliaan-Nya akan memenuhi dunia ini seperti air yang menutupi laut ... walaupun kita hidup dalam dunia yang sering kelihatan lebih gelap daripada terang. Terutamanya jika anda hidup di tempat yang mempunyai bilangan orang Kristian yang sedikit, seperti Jepun.

Bukti harapan kita mungkinlah sangat kecil. Ada kalanya bukti itu langsung tidak kelihatan. Namun, kita boleh berasa lega bahawa Yesus — Raja segala Raja dan Tuhan segala Tuhan kita — muncul pada suatu waktu dahulu, pada malam Krismas yang pertama, sebagai seorang bayi kecil dalam palung. 

Semasa musim Krismas ini, marilah kita menghargai keindahan cahaya yang berkerlip, iaitu, harapan kita — mempercayai bahawa meskipun cahaya ini kecil, cahaya ini akan menjadi permulaan tindakan indah dan berkuasa Allah.

Renungan

Apakah yang boleh anda lakukan untuk menjadi kelip-kelip harapan yang berkerlip di dunia yang gelap? Apakah cara kecil yang boleh Allah gunakan anda untuk mendatangkan kesan yang besar pada Krismas ini?

Permintaan Doa

Berdoalah untuk Hisho dan rakan OneHope kami yang melayani di tempat yang gelap di seluruh dunia ini agar mereka digunakan oleh Allah untuk mencetuskan kebangkitan dan menyinarkan cahaya harapan secara berkuasa.

Berdoalah untuk kanak-kanak di Jepun agar mereka menemui harapan Krismas yang tidak ditemui dalam Santa Claus, tetapi dalam Kristus. Mintalah Allah untuk menggunakan keterujaan mereka pada musim cuti ini untuk menarik orang muda dan keluarga mereka yang disayangi kepada Dia. 

Meraikan Krismas di Jepun

"Pencahayaan" Krismas merupakan tarikan yang sangat popular di mana stesen kereta api, taman, dan tempat awam yang lain diterangi oleh banyak lampu yang cantik. 

·Menempah tempat duduk di Kentucky Fried Chicken! Ini mungkin kedengaran pelik, tetapi ini ialah tradisi yang mantap di Jepun. KFC mula menerima tempahan tempat duduk pada awal bulan Disember — dan hanya orang yang telah membuat tempahan boleh membeli bucket ayam untuk musim cuti!

·Krismas merupakan cuti untuk pasangan (seperti hari Valentine). Biasanya, orang muda berpacaran dan bertukar hadiah daripada menghabiskan masa bersama dengan keluarga mereka. Sering kali, orang yang tiada janji temu untuk Krismas berasa amat sepi.

·Santa Claus cenderung menjadi watak utama pada musim ini, bukannya Yesus. Sebenarnya, kebanyakan orang Jepun tidak sedar bahawa Krismas ialah perayaan kelahiran Kristus. Walau bagaimanapun, keterujaan dan temasya itu merupakan peluang yang baik untuk menjangkau orang — dengan konsert Krismas awam, nyanyian karol, dan acara gereja. 

Pada tahun ini, OneHope akan mengedarkan Book of Hope edisi Krismas kepada pelajar di sekolah dan parti Krismas gereja.

Hari 2

Perihal Pelan

Light of the World - Advent Devotional

Jutaan orang Kristian di seluruh dunia ini akan meraikan hari Krismas tahun ini. Adven, perayaan yang indah dari segi simbolik menjelang hari Krismas, merupakan sebahagian yang besar daripada temasya hari Krismas di banyak negara. Semasa anda membaca renungan Adven yang menarik ini, anda berpeluang menyertai saudara dan saudari dari negara yang jauh dan meraikan bersama-sama serta belajar daripada perspektif dan tradisi mereka yang unik dan berkuasa.

More

Kami bersyukur kepada OneHope kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: http://onehope.net/