Kehidupan BerubahSampel
Pengampunan
Saya terkenal sebagai seseorang yang berpegang pada kesakitan masa lalu. Saya masih boleh menamakan beberapa orang yang menyakiti saya bertahun-tahun yang lalu, walaupun mereka mungkin tidak mengingati saya sama sekali.
Semasa di sekolah rendah, ketika saya memberitahu kelas saya bahawa saya ingin menjadi seorang pelakon, seorang budak lelaki berkata bahawa perkara yang paling hampir saya dapat lakukan sebagai pelakon ialah memainkan peranan anjing lagak untuk Lassie.
Saya mempunyai dua pilihan: lupakannya atau hidup memikul beban berpegang pada luka itu. Ketidakmampuan memaafkan merupakan kepahitan yang membarah dalam diri kita. Sering kali, apabila anda menyimpan sakit hati dan kepahitan jauh di lubuk hati, keadaan ini akan menguasai anda dan akhirnya keluar dari mulut anda terhadap orang lain.
Memaafkan orang yang telah menyakiti anda tidak bermaksud perkara itu tidak berlaku atau tidak penting atau tidak apa. Ini juga tidak bermaksud mengambil tanggungjawab atau rasa malu untuk sesuatu yang tidak dilakukan oleh kita dan bukan sesuatu yang disebabkan oleh kita. Memaafkan orang lain merupakan kemurahan hati terhadap diri sendiri supaya anda boleh sembuh dan meneruskan hidup.
Sesetengah wanita boleh memaafkan semua orang yang pernah menyakiti mereka, tetapi mereka bergelut untuk memaafkan diri sendiri. Itu bukanlah harapan Tuhan. Jika Tuhan mengatakan dosa kita berada di dasar laut, kita tidak harus memakainya setiap hari seperti jubah.
Walau apa pun punca luka anda - disebabkan oleh diri sendiri ataupun orang lain - pemaafan membantu kita menjauhi keadaan yang membebankan kita dan melangkah ke arah apa yang Tuhan sediakan untuk kita. Saya enggan hidup di bawah label yang diucapkan terhadap saya, dan begitu juga dengan anda.
Saya percaya sebenarnya anda mungkin menolak masa depan yang Tuhan telah rancangkan untuk anda kerana anda terseleweng oleh perkara yang berlaku pada masa lalu. Jika anda membenarkan ketidakmampuan memaafkan untuk menentukan siapa anda ini, keadaan ini mudah bertukar menjadi sesuatu yang menghalang anda daripada melangkah ke hadapan.
Adakah saya berjaya menjadi pelakon yang terkenal? Tidak. Tetapi itu bukan rancangan Tuhan bagi saya. Jika saya menyimpan sakit hati itu dan cuba membuktikan dia salah dengan mengejar kerjaya lakonan, saya mungkin tidak mengetuai Changed Women's Ministries sekarang ini dan melihat kehidupan wanita berubah oleh perkongsian kebenaran Tuhan.
Jangan terlepas tujuan Tuhan untuk anda kerana anda tidak dapat memaafi. Fahami bahawa apa yang telah anda lakukan atau apa yang telah dilakukan kepada anda tidak mendefinisikan anda. Pilihlah untuk hidup dalam kebebasan, bersedia untuk mendengar Tuhan mendedahkan tujuan-Nya bagi hidup anda.
Perihal Pelan
Adakah anda selalu membandingkan diri dengan orang lain atau dengan standard masyarakat tentang ertinya menjadi seorang wanita? Bagaimana jika sebaliknya, anda mendefinisikan diri anda berdasarkan apa yang Tuhan katakan tentang anda dan belajar bagaimana melawan bohong musuh yang kerap itu? Pelan ini akan membantu anda menjalani setiap hari dengan harapan dan keyakinan dalam Kristus, mengetahui bahawa identiti anda terletak pada-Nya sahaja.
More